Selamat Maal-Hijrah 1435H

Selamat Maulidurrasul

Friday, June 26, 2020

Proses Kreatif Menulis Cerpen



SAYA tidak pasti jumlah sebenar cerpen saya yang sudah disiarkan di pelbagai media sejak saya mula menulis bermula pada 1976 sehingga kini. . Cuma pada kali terakhir saya membuat anggaran kira-kira empat tahun lalu lebih, 120 buah cerpen sudah disiarkan.
            Saya memang pernah membuat catatan mengenai penyiaran cerpen-cerpen saya seperti judul, tarikh disiarkan dan  media yang menyiarkan. Tetapi catatan itu hilang dan sejak itu saya tidak mencatat tetapi keratan cerpen yang sudah disiarkan itu, saya ada menyimpannya untuk koleksi.
            Manakala salinan cerpen asal (carbon copy) hampir separuh sudah  hilang entah ke mana. Semua ini akibat berpindah rumah dan mengemas dan terlupa di mana disimpan. Bagaimanapun sebahagiannya masih dapat disimpan.
            Menggunakan mesin taip merupakan cara yang sangat popular ketika itu untuk menulis. Oleh kerana mesin fotokopi pun masih belum meluas penggunaannya ketika itu, apabila menaip cerpen terpaksa membuat salinan dengan menggunakan karbon. Salinan asal untuk dihantar ke akhbar atau majalah, sementara salinannya disimpan sebagai rujukan.
            Apabila penggunaan komputer untuk menulis diperkenalkan, saya di antara yang tidak mahu ketinggalan memiliki set komputer waktu itu. Ketika itu komputer masih menggunakan Wordstar dan menggunakan disket yang besar. Kerja-kerja menulis lebih mudah sedikit kerana tidak mencetuskan bunyi bising berbanding mesin taip. Meskipun menggunakan komputer, masalah untuk menyimpan salinan cerpen, tetap timbul.
            Biarpun dokumen boleh disimpan di cakera keras, cekera liut dan disket ada ketikanya komputer mengalami proses kehadiran versi terbaru menjadikan komputer lama menjadi kurang kelajuannya. Apabila bertukar kepada komputer yang lebih baru, adakalanya  data-data di dalam komputer lama tidak dapat dipindahkan.
            Lebih menyedihkan, salinan cerpen yang disimpan di dalam cakera liut dan disket tidak dapat digunakan pada komputer baru. Saya masih menyimpan data-data cerpen yang sudah disiarkan di dalam disket tetapi malangnya, ia tidak boleh digunakan lagi. Ini bermakna satu lagi bahan dokumentasi sudah berkubur.
            Apabila saya diminta untuk menulis  bagaimana proses menulis cerpen bermula, saya tidak ada lagi salinan asal cerpen melainkan keratan akhbar yang menyiarkannya. Sikap saya sejak dahulu lagi, tidak gemar untuk menaip semula perkara yang sama kerana bagi saya, ia membuang masa.  
            Sememangnya di antara banyak-banyak cerpen yang sudah dihasilkan, proses kreatif untuk mengarang cerpen-cerpen itu tidak  ada yang sama . Ada sebahagiannya, idea datang spontan malah ada juga yang terpaksa mendapatkan bahan-bahan rujukan sebelum menulis cerpen dilakukan.
            Proses menulis cerpen sejak dahulu sehingga sekarang, saya boleh kategorikan dengan tiga tahap.
Tahap pertama:
Tahap awal menulis ketika pengalaman masih baru dan tidak dan  pemilikan ilmu bantu tidak mencukupi dan menggunakan mesin taip.
Tahap kedua:
Tahap pertengahan menulis ketika terlalu ghairah menulis dan menghasilkan cerpen tanpa putus-putus ketika penggunaan komputer baru diperkenalkan.
Tahap ketiga:
Tahap ketika sudah mencapai kepuasan menulis dan menggunakan komputer yang serba memudahkan..
Pada peringkat awalan menulis, tidak dinafikan proses kepengarangan begitu rancak. Ada sahaja idea hendak ditulis. Di mana sahaja ada akhbar dan majalah yang menyediakan ruangan cerpen,  saya pasti akan menembusi akhbar dan majalah itu. Justeru pelbagai majalah dan akhbar sudah menyiarkan cerpen saya.
Manakala pada tahap kedua penulisan, proses mengarang semakin laju. Malah pada satu ketika dalam catatan yang pernah saya buat, sebanyak 15 buan cerpen disiarkan sepanjang tahun. Ini bermkna cerpen saya  disiarkan setiap bulan  adakalanya dua cerpen diaiarkan dalam masa sebulan.
Boleh dikatakan, semua majalah dan akhbar yanmg pernah diterbitkan  dapat saya tembusi malah ada majalah dan akhbar yang pernah menyiarkan cerpen saya ini, sudah lama berkubur tanpa nisan. Bagaimanapun kemunculan majalah-majalah baru mutakhir ini tidak mencetuskan minat untuk saya menulis cerpen.
Pada tahap ketiga pula, proses menghasilkan cerpen menurun mendadak. Ini kerana ingin mahu menjaga kualiti cerpen di samping hanya mengirimkan cerpen-cerpen  ke ahbar-akhbar utama dan majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka sahaja. Malah sebagai penulis yang sudah menempa nama dan anugerah, kewajaran ini perlu diambil kira untuk menjaga mutu penulisan.
Pada tahap ini, kepentingan kualiti cerpen lebih diutamakan . Ini menyebabkan dalam setahun, kadang-kadang  tiada satu pun cerpen disarkan di akhbar dan majalah. Saya hanya mahu menghasilkan cerpen-cerpen yang berkualiti sahaja untuk menjaga kredibeliti. Pada satu tahap apabila cerpen sudah menembusi Majalah Dewan Sastera, saya mula mengambil keputusan untuk tidak menulis cerpen ke majalah-majalah. Saya berpendapat,  peluang harus diberikan kepada penulis baru mendapat tempat di majalah..
Bagaimanapun faktor-faktor lain seperti keterbatasan masa, jauh daripada galakan teman-teman kerana masing-masing sudah membina kehidupan sendiri dan sebagainya menjadi pendorong ‘kemandulan’ karya ditambah pula  sekian lama menulis cerpen pelbagai  tema  sudah digarap sehingalah seolah-olah sudah tiada lagi yang hendak ditulis. Mana mungkin mahu menulis perkara yang sama sedangkan semua itu sudah ditulis ketika mula-mula menulis cerpen sebelum ini.
Sebagai penulis cerpen, saya terlalu mengharapkan ada perubahan-perubahan terhadap cerpen yang pernah saya hasilkan,. Saya tidak mahu menghasilkan karya yang streotaip sejak dahulu sehingga sekarang.
Jika ada orang bertanya, adakah saya sudah puas menulis?
Ya, saya sudah puas menulis. Bukan bermankna saya tidak mahu menulis lagi. Saya masih mahu menulis tetapi saya akan menulis apa yang belum pernah saya tulis sebelum ini.  Malah apabila ditanya, mengapa sudah lama tidak berkarya, saya lebih senang memberikan jawapan, agar peluang lebih diberikan kepada penulis baru yang berebut-rebut mendapatkan tempat. Apabila sudah sampai ke satu tahap, ada editor  yang menelefon mahukan cerpen saya, bermakna saya bukan lagi sukar untuk mendapatkan tempat dan tidak perlu berebut dengan  penulis yang baru menempa nama.
Saya tahu mereka juga sukar untuk bersaingan dengan penulis yang sudah mapan. Lalu apa salahnya beri mereka peluang mencipta nama?
Untuk proses kreatif ini, saya memilih cerpen berjudul Kelkatu Bersayap Unggu yang disiarkan di Majalah Dewan Budaya pada tahun 1999 saya jadikan sebagai model proses kepengarangan saya bagaimana menghasilkan cerpen ini.
Saya mendapat idea untuk menulis cerpen KBU ketika mengikuti Bengkel Cerpen Mastera yang diadakan pada 11 Ogos- 17 Ogos 1998 di Wisma Agra Mulya, Cisarua, Bogor, Jawa Barat, Indonesia.
Peserta Malaysia yang ikut sama berbengkel bersama saya ialah SM Zakir dan Saroja Theavy a/p Balakrisnan, manakala  Haji Hamzah Hamdani selaku pembimbing kami. Peserta dari Indonesia pula antara lain. Ode Berta Ananda, Helvy Tiana Rosa, Nenden Lilis, Agus Noor, Joni Ariadinata dan AS Laksana tiada wakil dari Singapura dan Brunei.
Kota Bogor terletak di tanah tinggi dengan  ketinggian rata-rata minima 190 meter, maksima 350 meter dari paras laut. Manakala   jaraknya  dari ibu kota Jakarta  lebih kurang lebih 60 km. Kota Bogor mempunyai keluasan wilayah 118,5 km² dan mengalir beberapa sungai yang permukaan airnya jauh di bawah permukaan dataran, aiitu: Ci (Sungai) Liwung, Ci Sadane, Ci Pakancilan, Ci Depit, Ci Parigi, dan Ci Balok. Topografi yang demikian menjadikan Kota Bogor relatif aman, dingin dan jauh  dari nahaya banjir.
Udaranya relatif sejuk dengan suhu udara rata-rata setiap bulannya adalah 26°C dan kelembaban udaranya kurang lebih 70%. Suhu rata-rata terendah di Bogor adalah 21,8°C.
Bogor terletak pada kaki Gunung Salak dan Gunung Gede yang  sangat kaya dengan hujan orografi. Angin laut dari Laut Jawa yang membawa banyak wap air masuk ke pedalaman dan naik secara mendadak di wilayah Bogor sehingga wap air langsung  menjadi hujan. Hampir setiap hari turun hujan di kota ini dalam setahun (70%) sehingga digelar “Kota Hujan”.
            Wisma Agra Mulya tempat di mana kami berbengkel merupakan tempat yang biasa digunakan untuk kursus bagi kakitangan Jabatan Pendidikan dan milik pemerintah  agak tinggi dari jalan utama perjalanan dari Jakarta ke Puncak dan Bandung. Suasana cukup dingin dan nyaman dan tenang.
Saya, SM Zakir, Saroja Theavy dan Haji Hamzah Hamdani di tempatkan di banglo dua tingkat dan berlainan bilik. Kami sampai pada hari Ahad bertolak dari Kuala Jam 9.30 pagi dan sampai di Jakarta kira-kira dua jam kemudian.
Sampai Lapangan Terbang Sukarno – Hatta kami diambil dengan kenderaan Kijang bersama Pak Jaruki, salah seorang ahli jawatankuasa bengkel  dan pemandu Pak Yem.
Pagi Isnin kira-kira 7.00 pagi sementara menunggu sarapan, saya duduk di beranda dingkat atas banglo untuk melihat suasana persekitaran waktu pagi. Seperti biasa persekitaran Wsma Agra Mulya ini di kelilingi oleh kehijauan perkebunan teh dan dilatari pergunungan tinggi yang diselimuti kabus.
Pagi itu saya melihat kanak-kanak sekolah yang tinggal di sekitar perkebunan teh itu sudah keluar ke jalan utama untuk ke sekolah dengan menaiki lori. Selain ada di antara penduduk yang sudah mula berkerja di kebun the sejak awal pagi lagi.
Di jalanan pula kenderanan bertali arus mungkin ke tempat kerja masing-masing. Saat itu saya terkenangkan waktu seperti itu saya dalam perjalanan dari rumah ke pejabat di Komplek PKNS Shah Alam. Jika perjalanan lancar masa 30-35 minit sahaja sudah sampai ke pejabat.
Ketika  sedang duduk seorang diri di beranda saya terlihat seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50 an sedang  melihat-melihat ketulan batu yang sebesar tiga atau empat pemeluk. Dia berpusing-pusing mengelilingi batu besar itu Batu-batu besar itu pula  letaknya di bawah  tempat kawasan kami berbengkel. Tentu sahaja  di situ ada aliran anak sungai yang mengalir dari pergunungan..
Lama saya perhatikan. Di dalam fikkiran, saya tertanya-tanya apa yang hendak dibuat oleh  lelaki itu dengan batu besar itu. Hendak diangkat, mustahil. Kalau 50 orang mengangkat pun belum tentu batu  akan bergerak.
Lelaki seorang diri  itu mundar mandi dan mengelilingi batu itu seperti sedang mencari sesuatu. Lama kemudian saya terdengar seperti batu yang besar itu diketuk-ketuk. Saya perhatikan dengan teliti. Memang, dengan menggunakan tukul dan  besi tajam, lelaki itu mengetuk batu itu seorang sedang membuat garisan.
            “Mustahil lelaki itu dapat memecahkan batu itu dengan dua peralaatn itu.” Saya berkata di dalam hati. Namun hati kecil saya  menjawab, “ Tidak ada yang mustahil di dalam dunia ini jika satu pekerjaan itu dilakukan bersungguh-sungguh.”
            Kemudian hati kecil saya berkata lagi, apakah tidak ada pekerjaan lain, selain  kerja memecah batu itu. Kalau di Malaysia rasa memang tidak  ada yang sanggup memecah batu sebesar itu hanya dengan tukul dan besi keras. Jika ada pun mesti menggunakan mesin gerudi.
            Hati kecil saya menawab, “Itu lebih baik darpada meminta-minta atau mencuri. Sekurang-kurang keringatanya yang jatuh itu bernilai untuk menncari rezeki bagi sesuap nasi anak dan isteri.
            Ketika sedang asyik melihat gelagat lekaki itu, seorang kakitangan Wisma Agra Mulya itu memanggil saya memberitahu sarapan sudah siap dan meminta supaya  tempat makan di bangunan lain yang brsebelahan dengan banglo kami tinggal.
            Saya tinggalkan lelaki pemecah batu itu untuk bersarapan.  Selesai bersarapan kami terus ke dewan bengkel dimulakan dengan sesi berkenalan, pembentangan kertas kerja dari wakil Malaysia dan Indonesia dan berlarutan sehingga waktu makan tengah hari.
            Selesai berbengkel kami makan tengah hari, berehat dan solat zohor. Selesai solat zohor, saya ke tempat tadi untuk melihat di mana lelaki tadi bekerja. Saya terkejut apabila terlihat baru sebesar itu sudah terbelah dua. Tetapi tidak kelihatan lelaki itu, mungkin pulang berehat ke rumah untuk makan tengah hari.
            Pukul 2.30 kami berbengkel lagi sehingga jam 5.00 petang, disambung dengan minum petang. Setelah berbual-bual dengan peserta bengkel saya naik ke rumah untuk solat asar dan duduk ke tempat tadi. Saya terkejut apabila yang terbelah dua itu sudah terbelah empat.
            Sangkaan saya meleseet. Perkerjaan yang susah djika dilakukan dengan teliti akan menjadi senang. Orang yang tidak biasa tentu tidak sanggup berbuat demikian. Mungkin kerana sudah biasa, memecah batu dengan tukul sudah menjadi perkara biasa bagi lelaki itu.
            Pagi keesokan saya tidak melihat lelaki itu bekerja, sebaliknya saya dan SM Zakir  sementara menunggu sarapan, saya menelusuri lorong-lorong dan di perkebunan teh di sekitar Wisma Agra Mulya, melihat lebih dekat mereka bekerja.   
            Petang itu saya lihat tempat di mana lelaki si pemecah batu itu bekerja. Kelihatan baru-batu yang besar itu sudah menjadi  kecil sehingga sebesar biji kelapa. Saya tidak tahu apa hendak dibuat dengan batu-batu itu sehinggalah pada  satu petang, tiga hari kemudian  saya terlihat dia dan berapa orang memunggah batu-batu itu ke dalam sebuah lori kecil.
            Saya beranggapan batu-batu itu dijual kepada pemborong atau kontrak untuk dibuat rumah atau apa-apa sahaja. Hasil daripada bekerja itulah dia memberikan untuk anak dan isteri. Peristiwa itu habis di situ sahaja sehinggalah kami pulang semula ke Malaysia dengan membawa sekarung kenangan.
            Seminggu sejak  peristiwa itulah saya  terfikir untuk menulis cerpen berdasarkan apa yang saya lihat  tentang lelaki pemecah batu itu. Lahirlah cerpen ‘Kelekatu Bersayap Unggu.” (KBU).
            Secara ringkas cerpen ini mengisahkan seorang lelaki pemecah batu  yang menjual pecahan batu-batu untuk menyara hidupnya. Lelaki inilah yang saya perhatikan ketika mengikuti bengkel cerpen MASTERA di Wisma Agra Mulya. Namun watak lelaki ini hanya model  di dalam cerpen KBU. Lelaki ini yang menjadi penggerak cerpen.
            Untuk menghidupkan cerita, saya wujudkan kelekatu. Namun di dalam cerpen KBU, saya mengambil latar di dalam sebuah rumah pada waktu malam. Saya bayangkan lelaki pemecah batu itu di dalam rumahnya pada waktu malam yang hanya bertemankan pelita minyak tanah.
            Saya tidak menceritakan apa yang saya lihat, iaitu kerja sehariannya sebagai pemecah batu, tetapi saya cuba menuliskan apa yang saya bayangkan ketika di berada di rumah. Saya tidak melihatnya tetapi saya hanya membayangkannya.
            Seperti yang ditulis di dalam cerpen, itulah yang saya bayangkan keadaan dirinya di sebuah rumah kayu pada waktu malam ketika dia berehat setelah kepenatan memecah batu pada waktu siangnya.
            Lelaki itu berkomunikasi dengan kelekatu yang  menjadi tetamunya pada malam itu. Saya membayangkan ketika lelaki pemecah batu itu memecah batu, ada kelekatu memerhatikanya. Namun hanya pada malamnya sahaja, kelekatu itu bertandang ke rumah lelaki itu dan berbicara tentang dunia ini.
            Seperti manusia, kelekatu juga berperaaan seperti manusia, menjalani hidup sehari-harian dengan berhadapan dengan pelbagai masalah dan cabaran. Namuan perjalanan manusia dengan kelekatu tidak jauh berbeza, masing-masing berhadapan dengan cabaran.
            Jika hidup kelekatu mengejar lampu pada waktu malam, begitu juga manusia mengejar arus hidup. Sesekali lelaki itu cuba menyelami dirinya menjadi seperti kelekatu itu. Dia cuba membayangkan jika dia menjadi seperti kelekatu, sesudah itu dia akan berterbangan pada waktu malam mencari cahaya.
Tiada sesiapa yang menyangka, kelekatu yang hidup  aman di dalam tanah tetapi apabila keluar mencari lampu, nasib tidak menyebelahi apabila sayap-sayapnya akan tertanggal dan tidak mungkin akan terbang lagi. Alangkah baiknya jika kelekatu tidak keluar dari liang pertapaannya tetapi oleh keraan terlalu asyik mengejar lampu, akhirnya diri mereka sendiri yang terpaksa menagggung akibatnya.
            Sebenarnya banyak yang tersurat dan tersirat di dalam cerpen KBU. Untuk mencari kelainan daripada biasa, saya tidak menulis cerpen KBU  sebagaimana biasa ditulis. Saya menggunakan watak lelaki pemecah batu itu dengan kelekatu itu berkomunikasi seperti dalam adegan sebuah drama pentas.
            Cerpen dalam drama atau drama dalam cerpen. Ada babak., ada latar, ada pelakon dan keperluan yang diperlukan di dalaam sesebuah drama pentas.  Kepada orang lain, mungkin cara ini bukan baru tetapi bagi saya, inilah cubaan pertama saya  menulis cerpen bercampur drama.
            Sepulangnya dari mengikuti bengkel Cerpen Mastera saya telah berjaya menghasil beberapa buah cerpen yang berlatarkan belakang suasana persekitaran bengkel dan selain KBU, lahir cerpen, Sepotong Tangan Di jalanan, Cisarua dan seekor Rama-Rama dan Merawat Sunyi  dan beberpa buah  lagi cerpen yang kesemuanya sudah disiarkan.
            Kesemuanya dalam bentuk drama dalam cerpen atau cerpen dalam drama atau saya guna istilah sendiri sebagai Mapen (drama cerpen).
            Mengenai berapa lama aya menyiapkan cerpen ini, saya kurang pasti. Tetapi apa yang pasti di dalam lingkungan seminggu sebab kesemua bahan-bahan atau idea untuk menulis cerpen ini sudah lama terperap di dalam ingatan, hanya menunggu masa yang sesuai untuk ditulis.
            Ada juga cerpen yang saya tulis memakan masa sebulan lebih atau dua tiga jam sahaja. Semuanya bergantung kepada idea, mood dan   ilmu bantu yang mencukupi untuk menyiapkan sesebuah cerpen.
            Kebiasaan pada waktu malam, waktu yang sesuai untuk saya menulis cerpen. Saya tidak boleh menulis di dalam suasana yang agak bising. Malah sehingga kini pun saya masih menulis cerpen di dalam keadaan dan sunyi. Sunyi memudahkan idea datang dan menyelinap dalam ruang fikiran.

 https://muhdnasruddin.wordpress.com/proses-kretif-menulis-cerpen/

No comments: