Kain Kafan dari Turin (atau dalam bahasa Inggeris: Shroud of Turin) adalah sepotong/sekujur kain yang agak lama dan berwarna coklat serta memiliki gambaran seorang lelaki yang kelihatan telah diseksa secara fizikal. Ia dilihat mempunyai ciri-ciri agak sejajar dan selari bahawa pemakai asal kain kafan ini mati akibat disalib. Kain ini disimpan di gereja kecil kerajaan di Katedral Santo John si Pembaptis yang terletak di kota Turin, Itali. Kebanyakan penganut Kristian menganggap kain ini sebagai kain kafan kepunyaan Yesus Kristus ketika saat beliau dimakamkan.
Gambaran pada kain kafan tersebut jauh lebih jelas dilihat dalam keadaan hitam-putih apabila kaedah penskrinan atau pengimejan dibuat dalam bentuk (foto negatif) jika dibandingkan dalam warna coklat yang asal. Gambar negatif yang jelas mononjol ini, buat pertama kalinya dilihat pada malam hari 28 Mei 1898 di atas pepiring fotografi terbalik milik seorang ahli fotografi amatur Secondo Pia. Dia ialah satu-satunya ahli fotografi yang dibenarkan untuk mengambil gambar foto kain berkenaan ketika kain tersebut sedang dipamerkan di Katedral Turin. Menurut Pia, dia hampir menjatuhkan dan memecahkan pepiring fotografi tersebut akibat rasa terkejut ketika melihat gambaran seseorang lelaki telah muncul di atas kain tersebut.[1][2]
Kain kafan ini menjadi topik perdebatan yang hangat dan sengit di antara para ilmuwan, Pendeta Kristian, ahli sejarawan, dan para penulis mengenai di mana, bila dan bagaimana kain kafan serta gambaran di atasnya boleh terhasil. Dari pandangan ahli agamawan Kristian, pada tahun 1958, Paus Pius XII telah menyetujui gambaran kain kafan tersebut ada hubung-kait dengan ketaatan Gereja Roman Katolik ke atas Wajah Suci Yesus, yang dirayakan setiap tahun pada Hari Selasa Pengampunan Dosa (Inggeris: Shrove Tuesday) atau Hari Selasa sebelum Hari Rabu Abu. Beberapa sumber Kristian mempercayai bahawa kain kafan tersebut merupakan kain yang menutupi Yesus ketika ia diletakkan di dalam makamnya dan gambarannya tercetak pada serat-serat kain tersebut pada saat atau ketika menghampiri bahawa dia dipercaya bangkit dari kematiannya. Pihak yang ragu-ragu di sisi lainnya beranggapan dan menuduh bahawa kain kafan tersebut merupakan karya pemalsuan dari zaman Abad Pertengahan; beberapa pihak lain pula mengaitkan kejadian terciptanya gambaran ini adalah hasil dari tindak balas kimia atau proses-proses alamiah yang lain.
Berbagai ujian telah dilakukan terhadp kain kafan ini, namun demikian perdebatan mengenai asal-usulnya masih tetap berlaku. Pentarikhan radio-karbon pada tahun 1988 yang dilakukan oleh tiga kelompok ahli sains bebas telah menemukan hasil, lalu telah diterbitkan di dalam jurnal akademik Nature yang membayangkan bahawa kain kafan tersebut telah dibuat ketika Abad Pertengahan, sekitar 1300 tahun setelah Yesus dilahirkan. Pernyataan-pernyataan akan wujudnya prasangka, keraguan dan kesalahan di dalam pengujian-pengujian yang dijalankan telah membawa kepada kemunculan berbagai spekulasi berikutan dari hasil penerbitan tersebut, dan ia dijawab oleh Harry E. Gove[3] bersama beberapa orang yang lain. Walaupun demikian kontroversi pentarikhan ini tetap terus tiada kesudahan.
Analisis lanjutan yang diterbitkan pada tahun 2005, misalnya, telah menyatakan bahawa contoh kain yang diambil oleh para kelompok penguji awal untuk menghitung usia kain tersebut mungkin diambil dari bahagian kain kafan yang bukan merupakan sebahagian daripada kain kafan dari Turin yang asal. Kain kafan dari Turin yang asal juga dikatakan telah mengalami kerosakan akibat kebakaran di akhir Abad Pertengahan yang mungkin boleh juga menambahkan unsur karbon pada kain tersebut, hal ini mungkin menyebabkan kadar radiokarbon yang lebih tinggi lalu menyebabkan bacaan pada umur kain tersebut semakin bertambah. Analisa ini pun dipertanyakan oleh pihak yang ragu-ragu seperti Joe Nickell yang berhujah bahawa kesimpulan tersebut berasal dari penulis Raymond Rogers yang membuat kesimpulan daripada "menganalisa dengan cara permulaan dari kesimpulan yang diinginkan dan kemudian baru menelusuri kembali pada bukti-bukti yang ada".[4] Mantan editor jurnal Nature Philip Ball telah mengatakan bahawa idea yang menyatakan Rogers mengarahkan penelitiannya pada suatu kesimpulan yang telah tercipta sebelumnya adalah "tidak adil" kerana Rogers memiliki "sejarah karya-karya penelitian yang patut dihargai".
Namun begitu, penelitian pada tahun 2008 di Oxford Radiocarbon Accelerator Unit mungkin merubah pentarikhan tahun 1260-1390 yang sebelum ini diterima pakai, yang menyebabkan pengarah institusi tersebut Christopher Ramsey terpaksa untuk mengundang komuniti ilmuan lain untuk melakukan pengkajian baru ke atas keaslian kain kafan tersebut.[5][6] "Dengan penentuan radiokarbon dan dengan semua bukti yang lain yang kita miliki mengenai kain kafan ini, terlihat disini adanya suatu konflik dalam tafsiran terhadap bukti-bukti yang berbeza" kata Gordan kepada BBC pada tahun 2008 setelah penelitian yang baru muncul.[7] Walaupun tetap berfikiran terbuka, Christopher Ramsey tetap menekankan bahawa beliau berasa amat terkejut bila hasil pengujian pada tahun 1988 terbukti amat berbeza dengan hasil ujiannya baru-baru ini, apalagi bila perbezaannya dilihat hampir "seribu tahun" kebelakang.
Kain Kafan dari Turin di dalam Gereja Katolik Rom
Hubungan rasmi pertama antara gambar pada kain kafan tersebut dan Gereja Katolik terjadi di dalam tahun 1940 berdasarkan permintaan rasmi Sister Marie Pierina De Micheli kepada kuria agama di kota Milan, Itali, untuk memperolehi keizinan menghasilkan sebuah medal dengan gambar tersebut. Keizinan ini diberikan dan medal pertama dengan gambar tersebut dipersembahkan kepada Paus Pius XII yang menyetujui keberadaan medal tersebut. Gambar wajah itu kemudian digunakan untuk menjadi apa yang dikenali sebagai Medal Wajah Suci yang dikenakan oleh banyak umat Katolik, yang pada mulanya sebagai saranan perlindungan ketika Perang Dunia Kedua. Pada tahun 1958 Paus Pius XII menyetujui gambar wajah tersebut dalam hubungannya dengan devosi Katolik pada Wajah Suci Yesus, dan menyatakan bahawa hari perayaannya adalah setiap tahun pada satu hari sebelum Hari Rabu Abu.[8][9]
Pada tahun 1983 kain kafan ini diberikan kepada Takhta Suci oleh Keluarga Savoia. Namun, seperti banyak relik semacamnya, Gereja Roman Katolik tidak memberikan pernyataan bahawa kain tersebut merupakan kain kafan makam Yesus ataupun merupakan hasil pemalsuan. Seperti halnya devosi-devosi Katolik rasmi yang lain, masalah tersebut diserahkan pada keputusan peribadi masing-masing umat Kristian selama pihak Gereja tidak mengeluarkan pernyataan yang bertentangan dengannya di masa hadapan. Dalam pandangan Gereja Kristian, baik kain tersebut asli atau bukan, ia tidaklah memiliki hubungan apapun dengan keabsahan (kebenaran) ajaran Yesus.
Mendiang Paus John Paul II menyatakan pada tahun 1998, "Semenjak kita tidak berurusan dengan masalah keimanan, Gereja tidak boleh memberikan jawapan terhadap pertanyaan-pertanyaan tersebut. Gereja mempercayai tugas-tugas penelitian ini pada kaum ilmuwan untuk menghasilkan jawapan-jawapan yang cukup terhadap pertanyaan-pertanyaan yang berhubungan dengan kain kafan ini". Ia memperlihatkan dirinya tergerak secara mendalam oleh gambar kain kafan tersebut dan menyelenggarakan pameran umum pada tahun 1998 dan 2000. Dalam khutbahnya di Katedral Torino pada Hari Minggu tanggal 24 Mei 1998 (pada hari peringatan 100 tahun foto Secondo Pia tanggal 28 Mei 1898), Paus John Paul II berkata: "... Kain Kafan ini merupakan sebuah gambaran cinta Tuhan dan dosa manusia" dan "... cetakan yang ditinggalkan oleh tubuh yang terseksa dari yang disalib, yang memperlihatkan kemampuan manusia yang luar biasa untuk menyebabkan penderitaan dan kematian bagi sesama manusia, berdiri sebagai lambang pihak-pihak tidak bersalah yang menderita di setiap zaman.
https://ms.wikipedia.org/wiki/Kain_Kafan_dari_Turin
No comments:
Post a Comment