Selamat Maal-Hijrah 1435H

Selamat Maulidurrasul

Friday, June 26, 2020

Kontroversi Nur Muhammad di Alam Melayu



ROHIMUDDIN (tengah), Mohd Syukri Yeoh (kanan) dan Diyauddin membentangkan ceramah bertajuk Nur Muhammad dalam Perdebatan Ulama Melayu pada wancana Bersiri 2016 Manuskrip Alam Melayu di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
ROHIMUDDIN (tengah), Mohd Syukri Yeoh (kanan) dan Diyauddin membentangkan ceramah bertajuk Nur Muhammad dalam Perdebatan Ulama Melayu pada wancana Bersiri 2016 Manuskrip Alam Melayu di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
KONSEP Nur Muhammad sememangnya menimbulkan perdebatan dalam sejarah peradaban Islam khususnya dalam ranah tasawuf bermula abad ketiga Hijrah (H).
Persoalan kosmologi yang boleh dilihat dalam pelbagai disiplin ilmu seperti tafsir, hadis, sejarah dan tarikat itu sebenarnya sudah pun mengiringi kedatangan Islam ke alam Melayu seawal abad pertama Hijrah lagi.


Ia menunjukkan konsep ilmu yang kompleks itu sudah pun diperkatakan di alam Melayu ketika tamadun Islam pada umumnya mencapai zaman keemasan khususnya dengan kewujudan Bait al-Hikmah di Baghdad pada 217H.

Perbincangan konsep itu turut disorot pada Wacana Bersiri Manuskrip Alam Melayu Nur Muhammad dalam Perdebatan Alam Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.
Pimpinan Umum, Yayasan Kerukunan Ulama Nusantara Banten, Sheikh Rohimuddin Nawawi Jahari al-Bantani, berkata ahli sejarah menegaskan Islam masuk ke Alam Melayu pada abad pertama Hijrah yang secara langsung dibawa dari tanah Arab, manakala wilayah pertama yang menerimanya ialah Aceh.

Kerajaan Islam Perlak

"Kerajaan Islam pertama di alam Melayu ialah Perlak pada 225H atau abad ke-9 Masihi (M) yang turut menyaksikan peradaban Islam di Baghdad baru mengalami zaman kejayaan dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan Islam, falsafah dan sains.
"Di tengah-tengah kejayaan ini, nilai positif yang melimpah tidak mampu membendung nilai negatif yang muncul sehingga mendorong sebahagian ulama zahid memfokuskan diri kepada ilmu serta amal.
"Mereka juga menjauhi kekuasaan dan politik yang selalu dijadikan alat oleh ilmuwan lemah untuk mencapai cita-cita mendapatkan harta dan pangkat," katanya pada wacana dipengerusikan Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu (PPMAM), Prof Madya Dr Mohd Syukri Yeoh Abdullah.
Sheikh Rohimuddin berkata, setelah terbunuhnya al-Hallaj, golongan ulama zahid sentiasa mendapat tentangan dan selalu menjadi tumpuan kontroversi daripada ilmuwan berkepentingan.

Siti Jenar, Hamzah Fansuri

"Ibn Arabi ialah ulama yang membawa bendera tarikat rohani dalam mengimbangi kehidupan Islam dari sisi rohani dan hakikat, bahkan beliau menyempurnakan pembahasan dhawq atau konsep rasa dengan melahirkan terminologi baharu yang segar dan ilmiah.

"Beliau juga mendapat tentangan sama sehingga muncul pada abad berikutnya, pembela dan generasi penerus seperti Imam al-Sha'rani, Abd al-Karim al-Jili dan Abd al-Ghani al-Nabulsi," katanya pada acara anjuran PPMAM, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM.

Di alam Melayu, kata Sheikh Rohimuddin, dari kes Siti Jenar di Jawa sehingga Sheikh Nuruddin al-Raniri dengan pengikut Sheikh Hamzah Fansuri, yang semuanya berpunca daripada lingkungan kekuasaan dan politik yang semakin dijauhi dari kendali ulama dan ahli tasawuf.

"Namun wajar ditekankan bahawa keadaan itu tidak terlepas daripada peranan luar, iaitu kaum teosofi Yahudi dan orientalis Barat melalui penjajahan mereka yang bersama-sama menghancurkan sendi hakikat dan kerohanian Islam.

"Justeru, pemahaman konsep Nur Muhammad dan yang seumpamanya seperti Insan Kamil dan tajalli sentiasa diseret keluar dari ranah rohani yang kasyaf kepada pemahaman falsafah akal yang lemah dalam memahami hakikat," katanya pada wacana yang turut dihadiri Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) Surabaya, Dr Dhiyauddin Qushwandi.

Sastera Jawa, manuskrip Melayu

Beliau berkata, abad permulaan Islam masuk ke Alam Melayu turut menyaksikan kitab seperti al-Futuhat al-Makkiyah, Shajarat al-Kawn dan Fusus al-Hikam karya Ibnu Arabi; Daqaiq al-Akhbar fi Dhikr al-Jannat wa al-Nar (Abd al-Rahim al-Qadi); al-Anwar al-Muhammadiyyah min al-Mawahib al-Ladunniyyah (Yusuf Ismail al-Nabhani); al-Insan al-Kamil (al-Jili) dan Bahr al-Lahut (Sheikh Abdullah Arif).

"Bahkan Wali Songo menulis pemahaman Nur Muhammad ini dalam bahasa kesusasteraan Jawa seperti Wirid Hidayat Jati, Serat Centhini dan Serat Niti Mani.

"Kemudian ulama alam Melayu sendiri menulis, mensyarah dan menterjemah kitab mengenainya seperti al-Muntahi dan Syair-Syair Hamzah Fansuri; Nur al-Daqaiq fi Kashf Asrar al-Haqaiq (Sheikh Shamsuddin al-Sumatera'i); Bad' Khalq al-Samawat wa al-Ard (Sheikh Nuruddin al-Raniri); Sharh al-Mawahib al-Mustarsalah (Sheikh Abdul Rauf); Durr al-Nafis (Muhammad Nafis al-Banjari) dan Manhal al-Safi (Sheikh Daud al-Fathani)," katanya.

Sheikh Rohimuddin berkata, konsep itu berkembang dalam pembinaan peradaban masyarakat alam Melayu tetapi zaman moden menyaksikan kritikan ditimbulkan kembali termasuk menganggapnya berasal dari aliran Syiah Ismailiyah yang diambil daripada falsafah Yunani dan ajaran Zoroastrian.
Kritikan itu tidak berasas kerana Syiah Ismailiyah yang melampau lebih mengagungkan Saidina Ali dan menolak Nabi Muhammad SAW sehingga mendakwa kononnya Malaikat Jibril tersilap menyampaikan wahyu, selain tuduhan itu banyak berpandukan kepada tulisan orientalis yang mengkaji Islam menurut pemahaman modenis sekular.

https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2016/04/144525/kontroversi-nur-muhammad-di-alam-melayu

No comments: