Selamat Maal-Hijrah 1435H

Selamat Maulidurrasul

Saturday, February 17, 2018

Dakwa Dapat Ubati HIV

Pengamal perubatan dakwa temui penawar HIV/AIDS



MACHANG 20 Nov. - Seorang pengamal perubatan tradisional, Tuan Muhammad Tuan Bongsu, 54, hari ini membuat pengakuan beliau telah menyembuhkan kira-kira 10 pesakit HIV/AIDS.

Walau bagaimanapun, ubat penawar penyakit itu yang menggunakan kombinasi 30 herba belum disahkan secara saintifik oleh mana-mana institusi perubatan termasuk Kementerian Kesihatan.

Begitupun, seorang daripada pesakit itu turut tampil pada sidang akhbar di kediaman Tuan Muhammad di Taman Seri Mentara di sini hari ini, bagi membuktikan dakwaan itu dengan menunjukkan keputusan pemeriksaan klinikal yang pada awalnya positif, telah bertukar kepada nonreactive atau negatif.

Menurut Tuan Muhammad, kesemua herba itu antaranya daun mengkudu, daun hempedu bumi dan ginseng, telah diadun menjadi kapsul dan saling bekerjasama bertindak balas terhadap penyakit berkenaan.

Bekas kontraktor itu memberitahu, beliau telah menceburi bidang perubatan tradisional secara serius sejak 2003 apabila seorang ahli keluarganya disahkan menghidap AIDS dan berazam untuk membuktikan bahawa semua penyakit ada ubatnya.

“Sebenarnya kira-kira setahun sebelum itu, ada kenalan saya yang ahli keluarganya meninggal dunia kerana HIV, ekoran itu saya terpanggil untuk mengkaji dan mendapatkan teori mengenai penyakit itu.

“Tiba-tiba saya diuji Allah apabila ahli keluarga saya sendiri yang menghidap HIV pada 2003. Masa itu saya benar-benar terdesak, dalam masa yang sama juga dia penagih dadah tegar. Dua masalah serentak.

“Saya banyak memohon Allah memberi petunjuk dan daripada petunjuk itu, saya menemui doktor-doktor dan tabib Cina untuk lebih memahami penyakit ini dan memperkuatkan lagi teori yang saya sudah kumpul sebelum ini. Saya belajar virus dan kesannya kepada manusia, fungsi sistem tubuh manusia dan penyesuaian antara herba dan penyakit itu.

“Saya menjadikan ahli keluarga saya itu sebagai eksperimen, perbaiki penawar dari semasa ke semasa, sehinggalah saya berjaya menghasilkan formulanya.

“Hasilnya ahli keluarga saya itu sembuh daripada penyakit tersebut dalam tempoh tiga tahun mengambil penawar saya," dakwanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Sumber: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131121/dn_19/Pengamal-perubatan-dakwa-temui-penawar-HIVAIDS

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131121/dn_19/Pengamal-perubatan-dakwa-temui-penawar-HIVAIDS#ixzz57OeNeXe9
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: