Selamat Maal-Hijrah 1435H

Selamat Maulidurrasul

Thursday, June 3, 2010

I’jaz al-Quran

I’jaz al-Quran


I’jaz al-Quran ialah keajaiban yang ada pada al-Quran sehingga meletakkan al-Quran selayaknya sebagai mukjizat agung Rasulullah s.a.w. Seterusnya membuktikan kebenaran riasalah baginda dengan menegaskan bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.
Ulama’ menjelaskan tentang I’jaz al-Quran ini di dalam kitab-kitab mereka . Ulama menegaskan bahawa kemukjizatan al-Quran adalah terletak pada kekuatan yang ada pada al-Quran itu sendiri dan bukan kerana ‘sorfah’ (yakni Allah memasung keupayaan manusia daripada mendatangkan ayat seumpama al-Quran).
Ini adalah kerana al-Quran adalah kalam Allah, yakni kata-kata Allah yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab. Kata-kata Allah yang sebenarnya tidak bersuara, tidak mempunyai perkataan dan tidak pernah sama dengan sesuatu pun di dunia ini.
Bentuk-bentuk I'jaz yang terdapat di dalam al-Quran boleh dibahgikan kepada empat bahagian:

Pertama: Pengkhabaran tentang masa akan datang

Firman Allah yang bermaksud:
"Alif, Lam, Mim. Telah dikalahkan bangsa Rom. Di tanah yang paling rendah di permukaan bumi, dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang dalam berapa tahun. Bagi Allah lah urusan sebelum dan sesudah.” (Surah Ar-Rum: ayat 1-4.)

Ayat ini telah terlebih dahulu turun semasa hayat baginda sebelum peristiwa kemenangan tentera Rom, yakni Byzantine selepas kekalahan mereka di dalam peperangan.

Kedua : Pengkhabaran tentang masa lampau

Jika diteliti tentang sejarah hidup Nabi Muhammad s.a.w semenjak dilahirkan hingga baginda wafat, kita dapati bahawa Nabi Muhammad s.a.w merupakan seorang ummi (tidak tahu membaca dan menulis). Penghabaran tentang peristiwa-peristiwa lampau seperti kisah-kisah para Nabi yang sebahagiannya disebut di dalam kitab Taurat dan Injil dan sebahagiannya hanya disebut di dalam al-Quran membuktikan kemukjizatan yang terdapat pada kalam Allah ini. Bagaimana mungkin seorang nabi yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis) dapat menulis kitab seperti al-Quran sedangkan baginda tidak pernah belajar dengan mana-mana Yahudi atau Nasrani ketika sebelum al-Quran diturunkan.

Ketiga : I’jaz Balaghi

I’jaz Balaghi merupakan bentuk kemukjizatan dari segi bahasa yang digunakan di dalam al-Quran. Sebagai contoh di dalam firman Allah yang bermaksud :
“Dan bagi kamu pada qisos itu( bunuh balas) ada kehidupan wahai Ulil Al-Babb semoga kamu bertaqwa”
(Surah al-Baqarah(2): ayat 179)
Firman Allah ini apabila dibandingkan dengan kata-kata orang Arab : al-Qatlu anfa lilqatl (pembunuhan dapat dihindarkan dengan pembunuhan), didapati maksud firman Allah ini lebih menepati makna dan menyeluruh. Ini adalah kerana dengan melaksanakan hukum qisos nyawa setiap manusia terselamat. Manusia akan takut untuk membunuh sesama sendiri kerana tidak mahu dibunuh sebagai balasan daripada kesalahan membunuh itu. Jadi, dengan melaksanakan hukum qisos ini, ia akan memberi ruang kepada manusia untuk hidup aman.

Keempat: I’jaz ‘Ilmi

I’jaz ‘Ilmi ialah penemuan pelbagai ilmu yang terdapat di dalam al-Quran. Di antaranya ialah penemuan saintifik yang hanya berjaya diperolehi pada masa selepas penurunan al-Quran itu. Perletakan kalimah (‘alaq) di dalam ayat kedua surah al-‘Alaq mendorong kepada pengkajian para saintis. Didapati kalimah (‘alaq) apabila dirujuk kepada Bahasa Arab bermaksud sesuatu yang melekat. Sementara, dari sudut lain pula kalimah ini juga bermaksud “LINTAH”. Penemuan sains mendapati terdapat sesuatu yang berbentuk “LINTAH” di dalam perut ibu ketika di awal proses kehamilan. Ini membuktikan keagungan al-Quran yang merupakan mukjizat teragung Rasulullah s.a.w.

Daripada :

Naurah Musyahidah

1 comment:

Unknown said...

Penerangan Yang baik