Selamat Maal-Hijrah 1435H

Selamat Maulidurrasul

Monday, September 13, 2010

Rindu Seorang Sahabat

Sahabat… detik masa yang berlalu kian menghimpit ruang rasa ini. Masih adakah sinar cahaya untuk kuteruskan perjalanan? Suara emak (ibu angkat) bertempik kian perlahan. Ayah(bapa angkat) mungkin sedang sibuk menyiapkan diri sesegaknya.
Ana (adik angkat), gadis yang baru menjangkau dua puluh tiga tahun itu entah ke mana. Tiada lagi suara nakalnya untuk mengusik. Armin(adik angkat) mungkin tengah menghubungi imam di Kampung Selarong Lalang dan orang-orang kampung lain.
Aku? Merenung diri di dalam cermin kamar. Menyusul rasa tidak percaya di dalam sanubari. Akukah yang berdiri ini? Sesekali muncul pertanyaan itu di celah-celah minda. Akukah? Hanya renungan yang bersabung dengan bayangan diri di balik cermin. Na‘im membetulkan songkok di atas kepala. Na’im menyimpul kain songket di pinggang. Na’im ketatkan butang baju Melayu di leher. Na’im tegakkan sapu tangan di dalam kocek. Segalanya serba tak kena. Ada sesuatu yang kurang.
“Islam sukakan kekemasan. Kemas dalam serba-serbi.” Kernyihan Baihaqi menyongsong jelma di layar kornea.
“Iye?” Sengaja Na’im (sebenarnya Kiat Seng kerana belum Islam ketika itu), menguji dengan ketidakacuhannya membalas kata. Berharap amarah yang akan tehambur, sebaliknya ketenangan jua yang terhampar luas mendatari wajah Muslim itu.
“Islam sukakan keindahan kerana Islam itu indah.” Baihaqi masih tak jemu-jemu menyambung bicara. Kiat Seng atau Na‘im yang masih terpempan dengan reaksi si pemuda, terkebil-kebil menadah gegendang telinga. Pun begitu dicuba juga membalas ujaran Baihaqi. “Habis tu, kenapa Islam suruh wanita muslimahnya bertutup litup menyembunyikan keindahan kalau benar Islam sukakan keindahan.”
Nah, pastinya tidak terjawab Baihaqi dengan persoalan tersebut!
Baihaqi tersenyum cuma. Menapak perlahan hingga hampir sekali dengan Na‘im. Sebelah tangannya disangkutkan ke bahu Na‘im lalu ditepuk berkali-kali.
“Islam sukakan keindahan’,ujarnya. “Dan Islam menghargai keindahan. Dan itulah salah satu cara Islam menghargai keindahan ciptaan Tuhan. Menyuruh wanita Muslimah supaya jangan mendedahkan keindahan yang ada sewenang-wenangnya. Kerana sesuatu keindahan itu kan tetap indah selama ia terpelihara.”
“Tetapi bukankah setiap yang indah itu adalah untuk dinikmati?”
“Dinikmati dengan cara yang terhormat. Keindahan di dalam Islam adalah sesuatu yang terhormat. Wanita Islam dihormati kerana keupayaannya memelihara keindahan yang ada. Ibarat mutiara di dalam tiram. Sukar diperolehi, tetapi tetap indah terpelihara. Sesiapa yang memperolehinya, adalah orang yang beruntung. Mutunya tidak berkurang sedikit pun. Dibandingkan manik-manik di tepi jalan. Memang cantik, tetapi tidak setanding kualiti mutiara yang terpelihara tersembunyi di sebalik tiram. Perlu usaha yang bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Perlu terjun ke dasar laut mencarinya. Dan tidak semestinya di dalam setiap tiram itu mempunyai mutiara. Dan sungguh bertuah orang yang berjaya menemuinya.”
Na‘im senyum. Pun begitu masih tidak dapat membendung gelodak di hati. Masih ada sisa kenangan yang tertinggal. Mana mungkin dia memisahkan diri dari semua itu. Segalanya terasa bagai telah sebati dengan jiwa. Na‘im melangkah perlahan. Menuju ke kereta yang telah disediakan. Sebentar lagi dia akan dibawa menuju ke rumah Norlin. Diiring bersama amanah yang memberat di jiwa.
“Islam merupakan agama rekaan Muhammad. Muhammad mendakwa dia utusan tuhan. Kitab yang didakwanya diturunkan oleh tuhan merupakan kitab rekaannya” Suaranya suatu ketika dahulu kembali menerjah. Debat Antara Agama yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya yang melibatkan wakil dari agama Islam, Buddha, Hindu dan Kristian mendapat sambutan yang menggalakkan. Kenyataan yang dibuat Kiat Seng, wakil agama Buddha mendapat kritikan hebat daripada pelajar-pelajar beragama Islam. Menghangatkan suasana dewan.
“Seribu empat ratus tahun dahulu manusia belum lagi mencapai tingkat tertentu dalam Sains. Penemuan Sains hari ini telah dinyatakan di dalam al-Quran seribu empat ratus tahun dahulu. Penemuan yang diperolehi Keith Moore mengenai tempoh masa janin di dalam perut ibu adalah berdasarkan penelitiannya terhadap hadith Nabi tentang penciptaan manusia. Kata Keith Moore, kalau bukan kerana rujukannya daripada hadith Nabi, dia tidak akan dapat bertemu dengan kenyataan tersebut. Dan ini dibuktikan dengan penemuan Sains yang dibuat oleh Keith Moore. Bagaimana seorang yang didakwa telah mencipta al-Quran seperti Nabi Muhammad dapat mengeluarkan kenyataan yang bertepatan dengan fakta sains yang baru ditemui akhir-akhir ini. Ini membuktikan bahawa Nabi Muhammad merupakan utusan Tuhan. Kerana baginda mungkin tidak dapat mengetahui tentang kenyataan ini kalau bukan diberitahu oleh Tuhan Pencipta. ” Suara lantang Norlin menguasai dewan.
Kenyataan yang membuatkan ramai penganut agama lain seperti Buddha, Kristian dan Hindu terpempan. Inilah kenyataan yang dicari. Inilah bukti yang telah melonjakkan Islam di tingkat tertinggi. Ekoran daripada Debat Antara Agama tersebut, ramai penganut agama lain terutamanya Buddha yang memeluk Islam. Dan salah seorang daripadanya ialah Kiat Seng yang telah bertukar nama kepada Muhammad Na‘im.
Itulah kenangan cintanya. Saat hatinya mula dipagut asmara.Tetapi takdir menentukan yang Norlin akan menjadi isteri Baihaqi dahulu sebelum Na‘im.
Sejenak fikirannya diserbu dengan insiden yang melanda Baihaqi. Insiden yang begitu mencengkam jiwa. Membakar semangatnya untuk meneruskan perjuangan Islam ini.
“Aku di tingkat atas Akademi Pengajian Islam, Bahagian Syariah. Banyak sb yang sedang menunggu di bawah. Aku rasa tak sedap hatilah!” ujar Baihaqi kali terakhir sebelum dikejutkan dengan berita penangkapannya. Penangkapan yang dibuat kerana Baihaqi disyaki terlibat dengan pengeboman Dewan Besar Universiti. Baihaqi yang ditunggu-tunggu di kafetaria tak muncul-muncul. Telefon bimbit Baihaqi dihubungi, namun tiada bersambut. Setengah jam selepas itu Na’im mendapat panggilan telefon.
“Hello, Na’im. Berita buruk! Baihaqi ditangkap bawah ISA..”
“Apa?” Ujaran Baihaqi yang kali terakhir terngiang-ngiang di telinga Na’im. Na’im bersegera menuju ke tempat yang dimaksudkan beserta kawan-kawan yang lain.
“Maaf! Kamu semua tidak dibenarkan berjumpa dengan Baihaqi..” beritahu polis tersebut. Salah seorang dari teman-temannya bertindak mengamuk membaling apa sahaja yang ada di situ. Keadaan bertambah kalut apabila ada yang mengugut supaya dipertemukan dengan Baihaqi. Na’im cuba mengawal keadaan. Mereka pulang. Pulang dengan hampa. Baihaqi tidak dapat dibawa balik.
Mereka kehilangan seorang ketua sekarang. Tanpa sedar air mata bergenang di kolam mata Na’im. Mesyuarat tergempar yang diadakan untuk mencari penyelesaian menjadi majlis air mata. Terbayang di fikiran masing-masing keperitan hidup di dalam penjara. Norlin bangun memberi cadangan supaya berunding dengan pihak atasan universiti. Malam itu hampir semua surau dalam kampus-kampus universiti melakukan sembahyang hajat. Tangisan bergema di mana-mana di dalam doa. Begitu kudusnya perasaan mengharapkan keselamatan sang sahabat.
“Amin!” Mereka berpelukan. Seketika Sufian menepuk-nepuk belakang Na’im. Saling mententeramkan perasaan sendiri. Ya Allah kami sayang sahabat kami. Lepaskanlah ia dari siksaan dan dugaan ini. Ampunkanlah dia andai ada kesalahan yang dilakukannya. Dia hamba-Mu jua Tuhan. Dia ciptaan-Mu jua Tuhan. Kalau Kau tak ampunkan Kau tak akan rugi. Kasihanilah dia Tuhan. Doa termakbul. Timbalan Naib Canselor sendiri yang berunding dengan pihak berkuasa. Dengan mengemukakan keraguan-keraguan terhadap kesalahan yang disabitkan kepada Baihaqi, dia dibebaskan.
Ah.. Satu berita gembira yang amat dinanti-nantikan buat sahabat-sahabatnya malah hampir semua mahasiswa termasuk pelajar berbangsa Tionghua dan India. Baihaqi memang disenangi ramai. Baihaqi adalah sahabat yang sejati, juga ketua yang berdedikasi.
Baihaqi juga disenangi Norlin. Mereka berkahwin selepas tamat pengajian. Suatu kegembiraan buat Na’im tatkala melihat wajah ceria Baihaqi di hari pernikahannya, walaupun terselit jua di celah hati rasa sedih kerana tidak dapat menyunting bunga idaman- ia milik Baihaqi! Na’im berjabat tangan mengucapkan tahniah kepada Baihaqi dan..
“Aku nikahkan dikau dengan Norlin binti Hamzah..” Na’im kembali ke alam realiti. Merenung Norlin yang bakal diperisteri. Merenung diri yang masih tak dapat menerima kehilangan Baihaqi.
“Baihaqi sudah pergi”, beritahu Norlin. Na’im terpana memandang Norlin. Mata berkaca dan pandangan mula kelabu disimbahi air pilu.
“Ini surat terakhir Baihaqi”. Norlin menyerahkan. Na’im membuka lipatan kertas dan membaca.. Gila! Gila!! Na’im mencemuh di dalm hati. Permintaan yang begitu melirihkan hatinya betul-betul didamba oleh sang sahabat.
“ Aku.. aku terlalu mencintainya” Suara keramat Baihaqi ketika masih dapat duduk di atas kerusi roda kembali menari di dalam kepala Na’im.
“Tapi, aku harus bersedia untuk kehilangannya.” Na’im menyorong kerusi roda itu sehingga duduk berteduh di bawah pohon cemara. Daun-daun kering berserakan dipuput angin.
“Engkau tak takut kehilangan aku?” soal Na’im.
“Aku takut”, balas Baihaqi. “Engkau lebih takut kehilangan dia daripada aku!” Na’im menyiku Baihaqi.
“Aduh!” Baihaqi mengaduh. “Macam mana ni? Kata nak jadi jururawat aku..”
“Habis tu.. kau nak aku lembut macam Norlin ke… abang dah makan? Abang nak tidur? Abang sakit ke?” Na’im membuat gaya lembut. Baihaqi tergelak.
“Sebab itu aku takut kehilangan kau. Sebab susah tau nak cari orang seperti kau”, ujar Baihaqi. “Iyelah tu!”
“Eh! Tak percaya? Kalau boleh aku nak kau ambil alih tugas aku menjaga Norlin.” Na’im terdiam. Baihaqi menggenggam erat tangan Na’im. “Aku tahu kau juga mencintai Norlin…” Berderau darah Na’im.
“Kau jangan nak mengarut!” Na’im menarik tangan.
“Mungkin ini hikmahnya, Na’im. Aku harus pergi untuk memberi kau peluang menyintai Norlin.”
“Boleh tak kau jangan mengarut??!” marah Na’im. Suara amarah Na’im pada hari itu serasa bergema. Baihaqi kelihatan menikus di kerusi roda.
Pemergian ini janganlah ditangisi. Iringilah ia dengan doa dan hadiah buat sahabatmu ini. Memang hidup ini indah. Mempunyai teman sepertimu, isteri sesetia Norlin dan juga sahabat-sahabat yang lain. Tapi Na’im, yang terindah hanyalah ‘di sana’. Berdoalah supaya sahabatmu ini mengecapi saat yang terindah ‘di sana’ nanti.
Untaian kata-kata dari warkah terakhir Baihaqi itu bermain-main di fikiran Na’im.
“Baihaqi mengidap barah tulang.” Barah tulang??! Bengkak di hidung Baihaqi yang disangka berpunca daripad resdung, rupanya petanda bahawa Baihaqi mengidap penyakit barah tulang!
“Aku dah penat, Na’im”, suara Baihaqi lemah.
“Kita mesti berusaha berubat. Kita tak boleh menyerah kalah”, ujar Na’im.
“Aku dah tak ada harapan.”
“Kau putus asa pada rahmat Allah?!”
“Bukan. Cuma aku nak menerima kenyataan.”
“Kenyataan apa?”
Baihaqi senyum. “Kenyataan bahawa sudah sampai masa untuk aku bertemu dengan-Nya.”
Ya Allah! Air mata tidak dapat diseka ketika dia mengucup wajah luhur itu.
“Baihaqi.. kau pergi juga menemui-Nya”
Tidak semua yang kita rancangkan berlaku. Perancangan Allah itu lebih baik, Na’im.
Kata-kata Baihaqi dari warkah itu terus mengitari fikirannya. Na’im tersedu-sedu menangis ketika mengangkat tangan berdoa selepas selamat akad nikah. Bukan kerana gembira dengan perkahwinan ini, tetapi kerana rindu seorang sahabat.

Hasil Nukilan: Naurah Musyahidah

No comments: