Selamat Maal-Hijrah 1435H

Selamat Maulidurrasul

Sunday, November 28, 2010

Maaf

Burr..!
Menderu ombak mengibas sayapnya ke pantai. Kapal-kapal nelayan teroleng-oleng di tengah laut dipukul ombak.
Fadhlina mengadap pantai. Berkibar-kibar seketika mini telekungnya ditiup angin. Dia meraba dada.
Dup!Dap!Dup! Alhamdulillah.. Dia masih bernyawa. Masih berpeluang menyedut udara ini..
Tiba- tiba dia terasa sesak. Kenangan semalam datang mengimbau..
“Maafkan aku”, suara Fadhlina perlahan.
“Pergi kau dari sini!” jerkah Hasreen.
“Aku berjanji tak akan buat lagi…” rayu Fadhlina.
“Aku kata pergi!”
“Tolonglah maafkan aku…” rayu Fadhlina lagi.
“Aku kata pergi! Pergi! Aku benci kau!! Benci !!!”
Suara Hasreen menjerit serasa menggegar pantai. Jiwanya terasa sendat. Udara yang disedut terasa seperti serpihan-serpihan kaca yang menyusup masuk ke dalam peparunya. Tangan meramas pasir. Lama. Kemudian, terlerai.. Bersama berderainya perasaan di hati.. Ya Allah.. andai nafasku terhenti kala ini…. Dia terduduk. Astaghfirullah….!
Dia tak boleh menyerah! Orang beriman tidak boleh berputus asa. Mesti kuat! Mesti tabah menghadapi cabaran hidup ini..

* * *

Prak!!! Bunyi kayu pecah terdengar di telinga. Biar padan muka! Dasar penipu!
“Rin tahu tak apa yang Rin buat ni?” tegur si ibu.
“Biar padan muka dia! Dia ingat orang heran sangat dengan hadiah yang dia beri.”
“Rin, Lin nak berbaik semula dengan Rin. Berilah dia peluang”, pujuk Puan Hakimah.
“Bukan Rin tak pernah bagi peluang kepada dia sebelum ini… ”
“Tapi kali ni mak nampak Lin memang betul-betul menyesal. Bagilah dia peluang..!”
Bukan dia tak pernah beri peluang kepada Lin. Masuk kali ini dah tiga kali Lin buat hal. Dia sendiri melihat Lin menyelongkar laci asramanya. Rin nak mencuri! Baikkah Lin?
Maaf, dia bukanlah sebaik Rasulullah yang boleh memaafkan kejahatan orang lain terhadap diri sendiri. Dia insan biasa cuma. Yang punya perasaan! Ada hati!
“Maafkan aku Rin..” Pernah Fadhlina datang menghulur tangan kepadanya. Hasreen berpaling ke arah lain. Dia masih tak dapat memaafkan Lin. Dosa Lin bagi Hasreen terlalu besar. Lin telah mencurangi persahabatan mereka. Kepercayaannya punah kerana sikap Lin Dia berlalu pergi. Langsung tak pandang wajah Lin.
Ingat semudah itu dia akan memaafkan Lin? Dia masih ada harga diri! Lin ditinggalkan termangu-mangu sendiri.
“Rin tak pergi tengok Lin?” Suara Kak Salmi datang menyinggah.
“Kenapa pula dengan Lin?” soal Hasreen. Pancing benar apabila mendengar nama itu.
“Pergilah jenguk dia! Dengar kata dia sakit..”.
Entah kenapa rasa risau itu tiba-tiba datang bertunda-tunda di hati Hasreen kala itu, sedangkan ketika kali pertama dia mendengar ujaran itu dia tidak terasa apa-apa.
Lin…

* * *

“Lin, makan sikit yea..” pujuk Puan Naurah. Fadhlina menggeleng lemah.
“Kak Lin, makanlah sikit..” pujuk adiknya pula, Farhana.
Fadhlina tetap menggeleng. “Kak Rin tak datang?” Soalan itu juga yang ditanyakan oleh kakaknya.
Farhana serba salah. Mencari idea.
“Kak Rin sekejap lagi datang. Kak Lin makan dulu ye….” Fadhlina geleng.
“Tak mahu! Kak Lin nak tunggu sampai Kak Rin sampai dulu” ujarnya tegas.
Puan Naurah tak tahu nak buat apa lagi. Macam-macam cara diusahakan supaya Fadhlina mahu makan, tapi Fadhlina tetap enggan. Kalau dipaksa nanti muntah pula. Aduhai…

Kak Lin..
Bukan Farhana tak faham apa yang berlaku di antara Kak Lin dengan Kak Rin. Farhana faham benar. Ibunya sendiri yang menceritakan semuanya kepada Farhana. Sudah berpucuk surat Kak Lin kirim kepada Kak Rin. Baru-baru ini, Kak Lin kirim pula hadiah hari lahir kepada Kak Rin. Kata Kak Lin, dia nak jadi orang terawal beri hadiah kepada Kak Rin. Tapi, apa yang Kak Lin dapat? Kak Rin koyak surat di depan Kak Lin sendiri.
Badan Kak Lin kurus sangat. Bibir Kak Lin tak semerah dulu. Bibir Kak Lin pucat. Sakit Leukemia yang dihidapi Kak Lin sudah sampai ke kemuncaknya. Berat sungguh hukuman Kak Rin terhadap Kak Lin! Sehingga Kak Lin setenat ini pun.. Kak Rin tak tunjuk muka.
“Farhana!” seru ibunya. Farhana lekas-lekas datang menghampiri ibu dan kakaknya. Mata terarah kepada Fadhlina. Kenapa Farhana dengar desah nafas Kak Lin kali ini lain benar?
“Lin..ingat Allah” Ibunya memperingati.
“Allahhh..” sambut Fadhlina Keras bunyi suaranya. Fadhlina tercungap-cungap. Nampak letih. Farhana panik. Puan Naurah kaget. “Lin ikut mama..”arah ibunya.
“ Asyhadu an la ilaha illaLLAH” “Asy..hadu..an..la ila..ha..illlal..LAHHH” ikut Fadhlina.
“Wa asyhadu anna Muhammadar Rasulullahh.”
“Wa asy..hadu..anna.. Muham..madar.. Rasu..lul..lahhh” sambut Fadhlina.
Dadanya berombak tinggi sekali. Kemudian, turun mengejut. Dan akhirnya..diam. Kaku. “Kak Linnn!!!” Farhana mengongoi.

* * *

“Lin!”
Dum! Panahan kilat mencerahkan ruang kamarnya seketika. Dia meraup wajahnya berkali-kali.
Astaghfirullahal’Azim.. dia bermimpi rupanya Hasreen menggapai bingkai gambar yang sekian lama ditelungkupnya di kepala katil. Sekeping gambarnya dan Fadhlina berlatar belakangkan pemandangan laut di pantai Kampung Aman ditenungnya. Panas tangan Fadhlina memeluk bahunya ketika itu masih terasa. Gambar ketika ukhuwwah mereka sedang berkembang mekar. Ketika itu dia datang mengunjungi kampung Fadhlina di Terengganu sempena cuti sekolah.
“Aku fikir kalau ada duit nanti aku nak bina rumah di sini,”suara Fadhlina setahun lalu datang bertancap di ingatannya.
“Di sini?” tanya Hasreen hairan. Hasreen mengitari kawasan yang tiada berpenghuni itu.
“Ya, di sini,” ujar Fadhlina bersungguh. “Di sini aku rasa kedamaian..ketenangan..keharmonian..yang sukar dilafazkan dengan kata-kata. Serasa segala masalah hilang apabila aku mengadap laut lepas ini..”
“Apa kata kalau kita sama-sama bina rumah di sini, beranak-pinak di sini..?” soal Fadhlina.
“Gila kau!!” Hasreen mencurah sedikit air laut itu ke muka Fadhlina.
“Aku dah agak! Orang Bandar tetap orang Bandar..”kata Fadhlina selamba.
“Apa kau kata?” soal Hasreen.
“Aku kata.. kau ni macam badak air.. Pantang jumpa air berendam..”ujar Fadhlina sambil ketawa terkekeh-kekeh.
Tak semena-mena Hasreen menarik tangan Fadhlina hingga jatuh ke dalam air. Fadhlina kekuyupan. Dia meludah air laut yang termasuk dalam mulutnya. Masin!
“Sebiji macam badak air..!” Giliran Hasreen pula ketawa terkekeh-kekeh.
Ha!Ha!Ha! Serasa suara ketawa mereka bergema memenuhi ruang kamar biliknya.
Dum! Dentuman guruh bergema di luar kamarnya. Terungkai kenangan itu dari ingatannya. Hasreen merenung gambar Fadhlina.
Lin.. Apakah kenangan itu kan berulang kembali?

* * *

Assalamu‘alaikum, Lin! Aku datang , Lin.
Tak sangka mimpi burukku semalam benar-benar menjadi kenyataan.
Tadi aku ke rumahmu. Aku ingat nak bermalam sehari dua.
Tapi, apakan daya kehadiranku tidak diperlukan. Aku dihalau adikmu, Farhana.
Marah betul Ana kepadaku! Kau beruntung, Lin kerana mempunyai adik yang amat menyayangimu.
Hendak dibandingkan dengan aku yang sememangnya dilahirkan tanpa kakak, abang atau adik.
Kata Ana, aku tak sedar diri, ego, bongkak… tak layak untuk menjadi sahabatmu.
Ana tak mahu tengok muka aku lagi, Lin. Benci benar dia pada diriku.
Aku tak kisah,Lin. Aku tak simpan dalam hati pun. Memang aku yang salah..aku yang tidak tahu menghargai kebaikanmu.
Aku tak pandai menilai keikhlasanmu. Memang patut aku dilayan sebegitu. Aku tengok ibumu amat bersedih.
Masa aku tiba tadi aku lihat matanya bengkak. Di tangannya tergenggam gambar lamamu.
Aku terkilan, Lin. Aku telah ‘merampas’ kebahagiaan seorang ibu.
Walau reaksi ibumu tetap bersahaja, tapi aku tahu rasa kesedihan selepas pemergianmu masih menyesak di dadanya.
Kalau boleh aku sanggup menjadi penggantimu. Namun, kutahu aku tak sama denganmu, Lin. Aku tak dapat memberi kebahagiaan seperti mana dirimu.
Kau tahu Lin ibuku juga tampaknya turut menyayangimu. Selepas mengetahui berita kematianmu ibuku menangis semahu-mahunya.
Sukar dia hendak menerima takdir pemergianmu. Hingga ke hari ini ibu masih bermuram.
Mungkin dia kesal dengan kedegilanku, Lin. Aku tak mahu mendengar kata, Lin.
Aku angkuh…sehingga menjadi penyebab kepada kematianmu.
Lin, ayahku pula sering marah-marah padaku. Bila aku buat silap sikit, dia terus tengking aku.
Entah apa silapnya aku sendiri tak mengerti. Agaknya dia turut terkesan dengan pemergianmu.
Kau gadis baik. Sebab itulah semua orang sayang kepadamu. Mereka amat sedih dengan pemergianmu, Lin. Kau bertuah, Lin!
Aku seorang sahaja yang malang agaknya, Lin.
Semenjak pemergianmu aku sering menjadi sasaran kemarahan orang lain. Aku dituduh sebagai ‘pembunuh’.
Pembunuh kebahagiaanmu, Lin.
Kata orang, aku yang menyebabkan hidupmu menderita. Aku yang menyebabkan hidupmu tersiksa.
Kalau bukan kerana aku kau tak akan menjalani akhir hayatmu sederita itu.
Mungkin benar apa yang mereka katakan. Walaupun kutahu pemergianmu adalah suatu takdir yang sudah termaktub, tapi Tuhan telah tentukan akulah yang menjadi penyebab kepada takdir itu.
Sepatutnya aku yang mesti pergi dulu,Lin. Bukan kau. Kau orang baik. Tempoh hidupmu seharusnya panjang lagi.
Orang baik seperti kaulah yang orang harapkan. Bukannya orang jahat sepertiku yang hanya menambah beban kepada orang lain. Merampas sinar bahagia orang. Langsung tidak menyenangkan orang. Aku masih ingat kata-kata ibumu.
Ibu yang terlalu sengsara itu masih sudi mengukir senyum kepada aku, ‘pembunuh’ sebahagian hidupnya.
Kau tentu ingat hadiah lukisanmu sempena hari lahirku tempoh hari. Kata ibumu, kau amat menyayangi lukisan itu.
Harta yang paling kau sayang itulah yang kau hadiahkan kepadaku. Pesan ibumu lagi supaya aku menjaga lukisan itu baik-baik. Supaya rohmu tenteram, supaya rohmu tenang.
Ah, tinggi amat harapan ibumu! Tidak terdaya rasanya diriku untuk menggapainya.
Apabila mendengar pesanan ibumu aku rasa seperti hendak menyuruhnya mengambil kapak menamatkan riwayatku kala itu juga.
Biar hukuman berat di atas dosaku tamat waktu itu. Aku tak sanggup lagi menanggung beban dosaku ini, Lin.
Terlalu, berat, Lin!
Sebenarnya aku telah membohongi ibumu. Aku beritahunya aku akan mematuhi pesanannya.
Aku akan menjaga pemberianmu seperti menjaga diriku sendiri. Betapa besarnya pendustaanku terhadap ibumu!
Mana mungkin aku mampu menyempurnakan janjiku. Lukisan pemberianmu itu telah aku rosakkan.
Aku suruh ibuku buang pemberian berhargamu itu ke dalam tong sampah.
Pemberianmu yang paling berharga itu hanya layak berada di dalam tong sampah, Lin?
Kenapa kejam sangat aku ni, Lin? Kenapa?
Patutlah Ana benci sangat pada diriku, aku jahat.
Lin, mungkin kau juga dah bosan dengar aku bercerita.
Dah muak tengok muka aku agaknya Muka yang tak tahu malu, muka yang tak sedar diri.
Tak apalah, Lin. Aku terpaksa berundur diri. Bukan aku merajuk, Lin.
Aku tak layak untuk merajuk di atas kesilapanku sendiri. Cuma masa tak mengizinkan.
Selepas ini aku akan datang lagi, Lin. Biarlah kalau semua seisi kubur ni muak tengok muka aku pun.
Biarlah kalau burung-burung mengata aku ni ibarat hidung tak mancung pipi yang tersorong-sorong.
Aku tak kisah. Yang penting aku dapat mengunjungi pusaramu, Lin. Dapat menatap pusaramu ini pun sedikit sebanyak sudah memadai. Kalau dulu kau yang seringkali terkejar-kejar mengharapkan maafku. Kini, giliran aku pula.
Biarlah aku pula yang meneruskan ‘tradisi’ itu.
Itu sahaja yang aku termampu. Sebagai penyambung ukhuwah kita yang tak sempat berkembang mekar.
Selamat tinggal, Lin. Semoga Allah sentiasa melimpahkan limpah kurnia-Nya kepadamu.
Kuharap rahmat Tuhan sentiasa mengiringimu di ‘sana’.
Semoga ketabahanmu semasa hidup di dunia kan tertebus.
Aku kan sentiasa mendoakan kesejahteraanmu, itu janjiku. Al-Fatihah!


Cetusan Rasa daripada; Naurah Musyahidah (nama pena)

No comments: