Selamat Maal-Hijrah 1435H

Selamat Maulidurrasul

Tuesday, April 11, 2017


Satu Kerja Dalam Satu Masa

"Finish your first draft and then we'll talk," demikian nasihat Michael
Korda, editor sebuah syarikat penerbitan, kepada seorang penulis baru.

Maksud daripada kata-kata itu, kalau seseorang itu betul-betul mahu
 penulis, dia perlu menyiapkan draf pertama tulisannya. Dengan kata
lain, dia mesti menulis sampai selesai atau sampai ke noktah akhir.
 mahu menulis novel misalnya, siapkan novel itu. Apabila draf karya
itu sudah siap, barulah editor dapat memberikan komentarnya atau
terus menyuntingnya jika karya itu sudah cukup baik.

Apabila disebut draf, ia bermaksud tulisan itu belum diapa-apakan oleh
penulis sendiri mahupun editor. Penulis belum melakukan proses
'self-editing' atau belum menggilap karyanya. Proses 'selepas menulis'
belum berlaku. Biar apa pun, karya sudah siap ditulis. Tinggal untuk
disemak dan dibetulkan mana yang patut.

Oleh itu, apabila menulis, kita perlu menulis sampai selesai. Sewaktu
menulis, jangan fikir untuk membaiki apa-apa. Jangan fikir soal ayat
yang janggal, perkataan yang kurang sesuai, paragraf yang terlalu
panjang, intro yang kurang sesuai dan soal-soal lain yang akan
membantutkan proses menulis. Gunakan waktu menulis untuk menulis
 semata-mata.

Dalam bengkel-bengkel saya, saya selalu menekankan peri penting
penulis menempuh tiga proses dalam menulis iaitu sebelum menulis,
 semasa menulis danselepas menulis. Hal ini kerana ramai penulis
baru menyangka kerja menulis hanya melibatkan menulis itu sendiri.
 Mereka tidak terfikir bahawa ada proses sebelum dan selepas menulis.
Oleh sebab itu saya menemui calon-calon penulis yang kerja menulisnya
sering terganggu kerana mereka asyik hendak membetulkan tulisan yang
'sedang' ditulis. Walhal kerja membetulkan tulisan itu adalah kerja
 'selepas' menulis.

Penulis tidak boleh membuat dua kerja dalam satu masa - menulis dan
membetulkan tulisannya. Siapkan dulu kerja menulis, kemudian barulah
semak dan baiki tulisan yang sudah siap.

Bagaimana halnya kalau seseorang penulis itu melakukan proses 'sebelum'
dan 'semasa' menulis dalam waktu yang sama? Misalnya, sambil duduk
menulis, dia mencari fakta dan maklumat untuk dimuatkan dalam tulisannya.
 Jari-jemarinya mengetik papan kekunci dan dalam masa yang sama dia
menyelak bahan-bahan rujukan. Cara ini juga tidak praktikal. Kerja
menulisnya juga akan terganggu. Kesan buruk yang lain, gaya olahannya
akan kaku kerana dia akan terpengaruh dengan gaya bahasa daripada
bahan rujukannya.

Cara yang terbaik, sewaktu menulis, kita buat satu kerja dalam satu masa.

No comments: