Selamat Maal-Hijrah 1435H

Selamat Maulidurrasul

Saturday, December 24, 2011

Setulus Hati Salim

Sedalam lautan.. dalam lagi cintaku kepadamu. Seluas langit yang terbentang.. luas lagi ukuran cintaku kepadamu Bagaikan mentari yang memancar.. begitulah ibarat cintaku kepadamu.

Sesekali ‘Iffah Hanin rasa terbuai-buai dengan kata-kata itu.
Ah, budak kampungan! Dia hanya hendak bermain-main!, tingkah hatinya pula. Bunga mawar merah di atas meja diambil pula. Diperhatinya dan ditenung lama. Budak tu..
Sekilas ingatannya tertancap kepada seraut wajah berkumis nipis itu- pelajarnya yang sering membuat hal. Salim… Lelaki itu memang misteri sekarang ini. Dia sudah menjadi seorang yang pendiam sedangkan dulu dialah yang kuat mengusik guru dan pelajar. Kenapa ya? Terasa ingin ditanya soalan itu kepadanya.

Ketika itu, ‘Iffah Hanin melangkah masuk ke dalam kelas Lima Angsana. Hari pertama kehadirannya ke kelas itu disambut dengan lukisan perempuan bogel di atas papan hitam.
Merah padam muka ‘Iffah Hanin dibuatnya. Apabila ditanya siapa yang melukis.. seisi kelas menuding jari ke arah seorang pelajar lelaki yang duduk di hujung kelas.‘Iffah Hanin lantas menyuruh remaja yang bernama Salim itu memadamnya. Kemudian menyuruhnya berdiri di luar kelas sebagai denda akibat sikap tak bermoralnya.
Hati ‘Iffah Hanin semakin panas ketika melewati Salim ketika berjalan keluar dari kelas tersebut apabila Salim tanpa teragak-agak bersiul-siul kecil di hadapannya.
“Beginikah cara seorang pelajar Muslim menghormati guru?!” soal ‘Iffah menyindir.
Salim tersenyum. Ada idea nakal bermain-main di fikirannya.
Tanpa disangka tangan ‘Iffah Hanin disambar lalu dikucup.
“Beginikah caranya menghormati guru?”soal Salim pula.
Pang!!!
Pipi Salim ditampar.
“Kamu jangan biadap ya!!”jerkah ‘Ifffah. Terketar-ketar menahan marah.
Salim tertawa terkekeh-kekeh. ‘Iffah Hanin lantas segera berlalu dari situ dengan perasaan geram.

Keesokan harinya Salim dileteri di dalam bilik guru disiplin, Cikgu Shuib. Dia dihadiahkan sebatan. Kebetulan ‘Iffah Hanin yang melewati bilik itu ternampak Salim. Salim turut melihat ‘Iffah Hanin. Tiada rasa keinsafan pada wajah Salim bagi ‘Iffah.

“Kenapa awak tak buat kerja sekolah?” soal ‘Iffah kepada Salim pagi itu.
“Sebab saya malas, Ustazah.” Selamba jawapan Salim.
“Kalau awak malas macam mana awak nak kerja? Macam mana awak nak hidup kalau awak tak kerja?”
“Saya boleh hidup kalau kahwin dengan Ustazah!” jawab Salim. Wajah ‘Iffah masam mencuka.
“Awak boleh keluar!!” jerkah ‘Iffah sekuat hati.

* * *
“Biar saya tolong Ustazah!” Salim menawarkan bantuan sementelahan melihat ‘Iffah yang terkial-kial mengendong buku-buku di tangannya.
“Tak payah!” Kasar suara ‘Iffah menolak tawaran Salim ‘Iffah cuba juga mengendong buku-buku itu. Tapi, kemudiannya buku- buku itu berderetan jatuh ke tanah.
Sudahnya ‘Iffah terpaksa menebal muka menerima bantuan daripada Salim. Mereka berjalan beriringan di koridor. Masing-masing mendiamkan diri.
Sesampai di bilik guru, Salim masuk meletak buku-buku itu di atas meja. Sebelum Salim berpaling, ‘Iffah memanggilnya:
“Salim.”
Salim berpaling ke arah ‘Iffah.
“Terima kasih.” Ujar ‘Iffah setulus hati.
Salim tersengeh menjawab:
“ Kasih Ustazah sentiasa saya terima.”
Isy! Geram betul ‘Iffah mendengar ayat itu. Rasa macam hendak ditenyeh-tenyeh saja bibir Salim ketika itu. Perasaan suka yang mula menyelinap di hati bertukar menjadi benci yang meluap-luap. Meluat!
Begitulah sikap Salim! Banyak karenah tapi baik hati. Tetapi peristiwa hari itu mengubah tanggapannya terhadap Salim...
‘Iffah pulang lewat hari itu. Sengaja dia menghabiskan waktu sepetang itu dengan menyemak buku-buku pelajarnya.
Setelah selesai kerjanya, dia pun memadam lampu dalam bilik itu. Waktu itu sekitar pukul tujuh malam. ‘Iffah terkejut apabila tiba-tiba dia merasakan sepasang tangan kasar menolaknya dan menindihnya di atas lantai bilik guru tersebut. ‘Iffah menjerit lantang.
Seseorang datang menolong dan bergelut dengan lelaki itu. Mereka berguling-guling hingga keluar dari bilik guru tersebut. Di luar, ‘Iffah cuba mengamati wajah-wajah mereka. Pak Seman, penjaga sekolah tersebut dengan..
“Salim!” seru ‘Iffah. “Berhenti!!” Mereka terhenti bergelut. Pak Seman cepat-cepat memegang Salim.
“Ini orangnya Ustazah!” beritahu Pak Seman. Salim meronta-ronta sambil berkata:
“Bukan saya Ustazah! Bukan saya!!”
‘Iffah memandang ke arah lain. Perasaan benci yang teramat sangat terhadap pelajar lelaki itu subur di dalam hatinya.
Salim ditangkap polis atas tuduhan cuba memperkosa ‘Iffah. Memang ‘Iffah berasa lega dengan penangkapan itu. Tapi, kelegaan ‘Iffah tak lama ..
“Tolong! Tolong!” ‘Iffah menjerit. Lelaki itu cuba memperkosanya sekali lagi.
Tidak semena-mena, ‘Iffah dapat melepaskan diri dari pegangan lelaki tersebut. ‘Iffah cepat-cepat bangkit membuka lampu. Alangkah terkejutnya ‘Iffah apabila mendapati orang itu bukan Salim, tetapi Pak Seman, penjaga sekolah itu sendiri.
Salim muncul sekali lagi memberi bantuan. Dipukulnya Pak Seman sekuat hati. ‘Iffah menjerit:
“Cukup!!!”
Pak Seman dihadapkan ke balai polis.
“Terima kasih, Salim,” ujar ‘Iffah setelah keluar dari Balai Polis itu. Salim cuma memandang ‘Iffah.
“Kasih Ustazah sentiasa saya terima!” ujar ‘Iffah serentak dengan ucapan Salim. Mereka sama-sama tergelak.
Reda daripada ketawa, mereka sama-sama diam. Salim memandang ‘Iffah.
“Saya minta maaf Ustazah atas kenakalan saya selama ini..”ujar Salim penuh kesedaran. ‘Iffah tersenyum kecil. Dia pula mencerlung Salim.
“Salim, awak sambung belajar balik di sekolah ini ye?”
Salim memandang ‘Iffah lama. Kemudian, baru mengangguk.
Salim semakin rajin, malah kian maju dalam pelajaran. Salim juga tidak kerap mengusik pelajar-pelajar dan guru-guru seperti selalu kerana pada tahun ini dia ada peperiksaan.
Salim memang serius menghadapi pelajarannya. Semua itu tercermin pada wajahnya yang nampak bersungguh-sungguh menadah pelajaran dari guru-guru setiap masa.
Tetapi ‘Iffah jadi keliru dengan sikap Salim apabila menerima sepucuk surat dan sekuntum bunga mawar dari remaja lelaki itu.
Apakah dia hendak bermain-main lagi dengan ‘Iffah? Tak habis-habis hendak mengusik. Mungkin Salim kembali kepada sikap asalnya setelah lama berlakon menjadi ‘baik’. Begitu di fikiran ‘Iffah Hanin
Tiba hari yang ditunggu-tunggu, Salim dan semua pelajar tingkatan lima seluruh Malaysia menghadapi Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bagi tahun 2007.
Pada hari keputusan SPM diumumkan Salim pergi berjumpa dengan Ustazah ‘Iffah Hanin. Salim mendapat kejayaan cemerlang dengan keputusan 7A1 2A2 1C.
“Jadi, selepas ini awak akan menyambung pelajaran ke Universiti Islam Antarabangsa?” soal ‘Iffah.
“Ya. Ustazah doakanlah kejayaan saya.”
“Insya’-Allah.” Mereka terdiam sedetik.
“Ustazah,” panggil Salim.
“Ya?”
“Ustazah dah terima hadiah dan surat saya?” tanya Salim seperti ragu-ragu.
“Surat?” ‘Iffah Hanin berpura-pura bertanya balik.
Salim mengiyakan.
“Tak ada”, jawab ‘Iffah Hanin.
“Saya minta maaf kalau permintaan saya ini dikira melanggar adab seorang murid kepada seorang guru. Tetapi saya memang ikhlas hendak mengambil Ustazah sebagai teman hidup saya”, ujar Salim.
‘Iffah tercengang. Dia tercari-cari ayat untuk membalas ujarannya.
“Tak naklah saya kahwin dengan kamu!” ujar ‘Iffah selamba. “Saya tak larat nak tanggung kamu”
“Ustazah tak payah tanggung saya. Nanti bila saya dah berjaya saya akan tanggung Ustazah. Saya akan tanggung Ustazah seumur hidup.”
‘Iffah Hanin macam hendak ketawa melihat kesungguhan Salim. Dia cuba berlagak serius.
“ Tak mahulah saya tunggu kamu! Nanti saya jadi anak dara tua dulu..” ujar ‘Iffah Hanin.
“Tak apa! Ustazah tak payah tunggu saya. Nanti kalau masa saya dah berjaya Ustazah masih belum ada sapa-sapa saya masih ada peluang kan? ,” tuturnya mengadap ‘Iffah Hanin penuh berharap.
‘Iffah terdiam sedetik sebelum akhirnya mengangguk.
“Yes!!” teriak Salim.
Daripada:

Naurah Musyahidah

Bila Hati Dah Suka

Hati digamit rindu. Jiwa berbunga riang. Serasa seluruh alam turut bernyanyi. Indahnya alam ini. Begini rupanya rasa apabila dilamun cinta.

Nadhrah tersenyum sendirian mengenangkan bait-bait ayat yang ditutur oleh Rayyan. Jiwa terasa kembang..segar… Satu rasa yang selesa..

“Nadhrah, benarkan Rayyan berkata sesuatu?”
Nadhrah yang sibuk menaip terhenti. Panahan matanya terjunam pada wajah Rayyan.

“Dah lama Rayyan rahsiakan perkara ini..”
Nadhrah masih setia untuk mendengar ayat seterusnya.

“Nadhrah, Rayyan dapat rasa sesuatu selama mengenali Nadhrah. Suatu rasa yang indah. Dan Rayyan yakin yang Rayyan telah jatuh cinta kepada Nadhrah.”

Nadhrah cuba menelan liur. Namun, rasa terlekat. Dia menunduk. Arus darahnya terasa berubah arah.. membuak ke muka. Ketika itu tiada siapa di pejabat. Orang lain semua keluar makan. Tinggal dia berdua dengan Rayyan.

“Adakah Nadhrah rurut rasakan perkara yang sama?”
Nadhrah kelu. Cuba betulkan suara. Segala pergerakan rasa tidak kena. Pandangan mata Rayyan betul-betul menusuk jiwa. Dan jantung Nadhrah mula bergegar. Nadhrah tak betah begitu.
“Tak pelah, Rayyan bagi Nadhrah masa. Nadhrah fikirlah!”

Semenjak itu Nadhrah menjadi tidak menentu. Semenjak itu makan Nadhrah tak pernah lalu. Semanjak itu Nadhrah mula dilambung rindu. Wajah Rayyan bermain di kamar mata Nadhrah. Kenapa Nadhrah rindu? Apakah Nadhrah turut mencintainya?

Nadhrah ingat pertemuan pertama Nadhrah dengan Rayyan. Masa itu Nadhrah baru kerja. Rayyan agak sombong. Nak sembang dengan Nadhrah ..jangan haraplah. Kalau ada pun sekadar tersenyum..bertegur-sapa.

Tetapi sejak mereka dikehendaki bekerja bersama membuat satu tugasan mereka menjadi rapat. Pun begitu Nadhrah tidak pernah menyimpan apa-apa perasaan. Tetapi, kenapa sejak Rayyan meluah perasaannya Nadhrah terasa melayang-layang?

Nadhrah telah jatuh cinta. Suatu bisikan lembut singgah ke telinganya. Indahnya! Indahnya cinta itu!

“Kenapa Nadhrah? Kenapa mak tengok Nadhrah lain macam sekarang?” suara emak bergayutan di corong telinga.

“Tak ada apalah mak. Mungkin banyak kerja.”Nadhrah menipu.
“Nadhrah jangan terlalu fikirkan kerja. Nanti sakit pula”, nasihat ibunya.
“Jangan risau mak. Insya-Allah Nadhrah tak apa-apa.”

Benarkah? Benarkah Nadhrah tak apa-apa? Nadhrah dah bagai nak gila disampuk rasa ini. Tetapi Nadhrah suka. Nadhrah rasa gembira. Semangat bekerja bertambah. Tetapi Nadhrah belum bagi keputusan.

“Nadhrah rasa Nadhrah pun sukakan Rayyan.” Nadhrah mengangkat muka melihat wajah di dalam cermin-wajahnya sendiri. Hampir setengah hari dia berlatih menyebut ayat itu.

Isyh! Malulah! Apa kata Nadhrah tulis surat. Tak malu sangat..Nadhrah segera mencapai pen dan kertas menulis. Hanya beberapa patah perkataan. Cukuplah.

Nadhrah lipat kemas-kemas. Nadhrah masukkan dalam sampul surat biasa. Esok dia akan hantar kepada Rayyan. Sungguh hatinya tak sabar menunggu hari esok.

Nadhrah datang awal ke pejabat hari itu. Harap dapat beri sendiri kepada Rayyan. Nadhrah duduk berteleku di meja. Seorang demi seorang pekerja hadir. Tetapi wajah Rayyan tak nampak-nampak. Nadhrah tunggu lagi. Nadhrah buat kerja seperti biasa. Tetapi hati terkenangkan Rayyan. Apakah Rayyan sakit?

Sampai waktu rehat, Zaiton mengajak Nadhrah pergi kenduri. Pada mulanya, Nadhrah tolak. Tetapi bila diajak berkali-kali Nadhrah ikut. Kata Zaiton, hari ini hari perkahwinan rakan sekerja mereka. Ye ke? Nadhrah tak tengok kad kenduri yang sampai kepadanya. Punya sibuk! Dia tersenyum sendiri.

Sesampai di rumah kenduri, Nadhrah turun dari kereta. Mereka sama-sama beriringan ke tempat makan. Sesudah makan, Zaiton mengajaknya berjumpa rakan sekerja mereka itu. Nadhrah ikut juga.
Zaiton menyapa:
“Wah, segak engkau!”
Nadhrah turut melihat orang disapa sambil tersenyum. Tetapi..
Dentuman guruh terasa bergempita di dada Nadhrah. Senyuman Nadhrah tidak menjadi. Setitis air mata Nadhrah luruh. Di depannya orang yang didambanya saban hari. Pengantin itu ialah Rayyan.

Nadhrah berlari ke kereta. Nadhrah menangis tersengguk-sengguk. Tetapi Nadhrah tahu Nadhrah tidak boleh lari dari kenyataan ini. Nadhrah harus terima. Harus terima walaupun ia perit untuk ditelan. Dan Nadhrah akur..jodoh di tangan TUHAN.

Lakaran nukilan rasa dari;

Naurah Musyahidah

Wednesday, December 14, 2011

Taubat


Tuhan
kerdilnya daku
berbanding hamba-hamba terpilih-Mu
Syukurku yang tercalar
Mehnah ujian-Mu yang menderu-deru
Sebenarnya untuk sedarkan aku
Daripada dodoian dunia
Aku jarang berjiwa hamba kini
Jiwa yang merasa kerdil
Malunya ya ALLAH
Aku yang pernah ‘mencalarkan’ syukur
Aku akan cuba ya ALLAH
untuk menempuh mehnah-MU
Demi satu kemanisan
Kemanisan bersama-Mu
Kemanisan cinta-Mu
Ampunkan daku
Aku ingin selalu bertaubat kepada-Mu

Daripada:
naurah musyahidah
Diterbitkan:Harmoni 15-30NOv2010