Selamat Maal-Hijrah 1435H

Selamat Maulidurrasul

Thursday, September 8, 2011

Edisi Merdeka

Jangan Sampai Kita JATUH CINTA Dengan Dunia


Pepohon cintaku
Kian merimbun
Semakin dicantas
Makin bertunas
Tidak mampu
Mendustai hatiku
Rasa cinta
Fitrah manusia
Siapalah aku..
Menolak cinta
Yang hadir di jiwa
Tanpa dipaksa
Hidup ini
Tidak akan sempurna
Tanpa Cinta
Dari Tuhan Yang Esa


Lirik lagu “Kalimah Cinta” nyanyian kumpulan In-team ini sering berkumandang di corong radio. Kata-kata yang menyimpan maksud yang tersendiri.
Dustalah manusia yang menyatakan dapat hidup tanpa cinta. Penciptaan kita adalah natijah daripada cinta Allah kepada hamba-Nya. Kalau bukan kerana cinta Allah, manusia tak akan dapat hidup sebegini selesa di atas dunia.
Imam al-Ghazali di dalam Ihya’ ‘Ulumiddin menyifatkan dunia sebagai karya syair Allah dan Allah sebagai ‘Pengarangnya’. Namun, berapa orang yang dapat telusuri nilai cinta yang Allah tamsilkan dengan cinta antara insan.
Cinta termulia cinta kepada-Nya. Cinta terhina cinta kepada dunia. Kecintaan yang melampau kepada dunia membuatkan pemiliknya bertambah hina di sisi manusia, malah lebih hina daripada haiwan. Betapa tidaknya? Manusia berubah menjadi rakus, tamak, zalim dan bengis hanya kerana kecintaan kepada dunia. Ekoran daripada desakan-desakan perasaan ini, manusia merampas hak orang lain dengan mencuri, membunuh, memperkosa dan mengawal kebebasan orang lain.
Berapa ramai orang yang merdeka di dunia, tapi hati dan nuraninya terpenjara. Orang mukmin hatinya merdeka. Kerana dunia hanya berada di tangannya bukan di hatinya. Lihat kisah Asiah, permaisuri Firaun. Biarpun dirinya terkurung, tetapi jiwanya merdeka. Kesanggupannya untuk mati di tangan Firaun demi mempertahankan iman di dada telah membuktikan yang hatinya merdeka dari diterjah ketakutan dan sebagainya.
Berapa ramai orang yang menghayati erti kemerdekaan yang sebenarnya? Apa yang berlaku, sebahagian daripada remaja kita seolah-olah menganggap hukum-hukum Tuhan adalah penjara apabila mereka dengan sebolehnya ingin membebaskan diri dari lunas Ilahi. Mendakap kebebasan pada pandangan mereka yang sebenarnya memenjarakan jiwa mereka dengan nafsu dan emosi.
Sepatutnya gejala-gejala seperti bohsia, bohjan, black-metal, mat rempit, minah rempit dan sebagainya tidak berlaku andai remaja benar-benar menghayati dengan hati dan nurani erti kemerdekaan dari cara hidup Islam itu sendiri. Merdeka dari sudut Islam adalah merdeka dari pautan nafsu dan gejala-gejala yang dimurkai Allah.
Ingat jangan sampai kita jatuh cinta dengan dunia sehingga tiada kesempatan untuk mengenal cinta-Nya yang lebih mulus, luhur dan mulia..

-naurah musyahidah-

No comments: