Selamat Maal-Hijrah 1435H
Selamat Maulidurrasul
Thursday, September 22, 2011
‘Makcik’ ku sayang verse ‘Budak hingusan'
Berdesing hati Salwa Fu’adah mendengarnya. Memang sejak dari mula dia tidak menggemari dengan rancangan ini. Dipujukkan juga hatinya mendengar nasihat ayahanda tercinta. Tapi, apabila mendengar kelantangan suara dan kebengisan wajah lelaki itu, hatinya bagai hendak menarik balik keputusan itu.
“Awak cuba cermin muka awak!” ujar lelaki itu, Imran Zakuan. “Yelah! Muka awak tak nampak tua! Tapi sebenarnya awak lebih tua daripada saya. Takkan saya nak tengok isteri saya berkedut dulu daripada saya! Lagipun awak ni layak saya panggil makcik tau tak!”
Makcik? Bagai tersiram minyak petrol ke api yang marak, Salwa Fu’adah tidak dapat menahan marah.
“Siapa nama awak?” soal Salwa kasar.
“Imran Zakuan”, Lelaki itu menjawab.
“Ya, adik Imran Zakuan atau anak Imran Zakuan.. Ingat makcik ni berkenan sangat ke dengan cik adik? Bagi makcik.. adik Imran Zakuan ni budak hingusan saje!” Salwa Fu’adah melepaskan kata.
Bagai peluru dari senapang, kata-kata itu membidik terus ke jantung Imran Zakuan. Terbelalak biji matanya mendengar.
Serentak itu, Salwa Fu’adah menyambar tas tangannya dan berjalan keluar dari restoran itu.
Dia ingat dia hebat sangat! Ingat aku ni tak ada citarasa ke? Sampai nak ambil orang sebaya adik seperti dia sebagai calon suami? Kalau bukan kerana ayah.. dia tak akan hadiri majlis janji temu itu. Berlagak! Perasan! Sumpah seranah Salwa Fu’adah bertubi-tubi. Sehingga tanpa sedar dia berjalan ke lorong pejalan kaki yang sunyi tak berpenghuni.
Tiba-tiba sekujur tubuh besar muncul di hadapannya. Salwa berpaling ke kiri.. Juga ada seorang lelaki yang kecil sedikit daripada lelaki tadi datang merapatinya. Salwa berpaling ke kanan pula.. Seorang lelaki yang berpakaian selekeh menuju ke arahnya. Salwa menoleh hendak patah balik. Dia mula mengangkat langkah seribu.
Tetapi, Salwa Fu’adah tersilap jalan. Jalan yang diambilnya adalah jalan mati. Mata Salwa Fuadah melingas ke kiri kanan menyorot wajah lelaki-lelaki asing itu. Terdetik seribu sesalan kerana tidak menguasai ilmu mempertahankan diri.
“Awak nak apa?? Duit?”
Lelaki-lelaki itu menyeringai ketawa.
“Boleh juga..”sambut salah seorang daripada lelaki-lelaki itu, lantas menyambar tas tangan Salwa Fu’adah.
Badan Salwa menggigil apabila lelaki-lelaki itu tetap tidak beranjak setelah mendapat tas tangannya. Mereka menghampiri Salwa Fu’adah..
“Ingat Allah! Jangan buat macam ni..” Salwa Fu’adah merayu.
Nampaknya kata-kata Salwa Fu’adah sedikit pun tidak memberi kesan kepada mereka. Mereka tertawa mendekati dan Salwa Fu’adah menjerit sekuat hati.
“Tolong!”
Di dalam benak, Salwa berdoa: Ya Allah selamatkan aku!
Dush!
Satu tendangan hinggap ke bahu salah seorang lelaki itu. Satu penumbuk melayang ke muka lelaki yang seorang lagi. Setiap orang lelaki itu, mendapat habuan pukulan daripada Imran Zakuan. Salwa terpacak menyaksi adegan itu di depan matanya. Tak sangka adegan yang selama ini dilihatnya di dalam drama..benar-benar berlaku di hadapannya.
Lelaki-lelaki itu melarikan diri kerana tidak tahan dipukul oleh Imran Zakuan. Kemudian, Imran Zakuan datang merapati Salwa.
“Awak okay?”
Salwa tertunduk tidak menjawab. Sebaliknya, hinggutan bahu Salwa sebagai jawapan. Dia menangis teresak-esak.
Imran Zakuan gelabah. Perempuan yang dilihatnya garang ketika memarahinya tadi kini kelihatan lemah di hadapannya. Perempuan itu kelihatan keanak-anakan. Perlahan-lahan Imran Zakuan menyeluk saku. Dikeluarkannya sapu tangan dan dihulurkan kepada Salwa.
Lambat-lambat Salwa menyambut. Dikesatnya air mata yang berlinangan.
“Terima kasih ya!”ujar Salwa lembut. Imran Zakuan mengangguk-angguk. Mereka berjalan beriringan sehingga ke kereta Salwa. Sesampai di kereta, Imran bersuara:
“Balik dengan sayalah!”
Salwa Fu’adah memandang wajah itu. Tiada senyuman. Penuh kesungguhan.
“Tapi..”
“Tak pe! Mudharat.. Demi bapa awak..” Ujaran Imran itu memancing persetujuannya. Sudahnya mereka berdua balik dengan kereta ProtonExora Imran Zakuan.
Sunyi menyelubungi suasana di dalam kereta itu. Imran Zakuan membuka radio. Terdengar dendangan lagu “Kalimah Cinta” oleh kumpulan In-team berkumandang. Masing-masing dibawa berfikir tentang kata-kata dalam lagu itu.
“Siapalah aku.. menolak cinta.. yang hadir di jiwa.. tanpa dipaksa..” Serentak dengan lirik lagu itu mereka sama-sama saling berpandangan. Kemudian, sama-sama membuang pandang ke luar cermin kereta.
Zup! Berdesup di dalam hati mereka rasa debaran kerana hanya berdua ditemani lagu sedemikian rupa.
Imran Zakuan bagai tak dapat memadam wajah Salwa tadi. Caranya memandang menusuk ke hati. Dan debaran indah itu datang tanpa diundang. Salwa turut dihimpit perasaan gelisah.
“Ehem!Ehem!” Imran Zakuan berdehem beberapa kali. Cuba menghambat kesunyian yang menyelubungi mereka.
“Minta maaf ya!”tercetus ujaran itu dari bibir Imran Zakuan.
“ Ya?” Salwa berpaling. Tapi, hanya dapat memandang wajah itu sedetik. Cepat-cepat dia melarikan matanya daripada bertentangan dengan Imran Zakuan. ‘Budak hingusan’ yang dikatanya tadi begitu mendebarkan hatinya kini. Kenapa dia nampak Imran begitu segak malam ini..?
“Pasal tadi..”,jelas Imran.
“Saya pun minta maaf..” ujar Salwa. “Pasal tadi”, jelas Salwa pula.
Imran memberhentikan kereta sesampai di hadapan rumah Encik Ariff, ayah Salwa. Salwa membuka pintu kereta, berpaling kembali kepada Imran sebelum keluar:
“Terima kasih!”
Imran tersenyum berkata: “Ilalliqo’” Hati Salwa berkencang hebat mendengar ayat itu. Ayat Bahasa Arab yang bermaksud “Semoga kita berjumpa lagi!”. Selepas berkata begitu, Imran segera memecut keretanya.
“Macam mana?” Datang soalan dari ayahnya, Encik Ariff.
“Entahlah..” jawab Salwa.
Entahlah?
* * *
“Tak kot!” jawab Imran kepada ayahnya, Encik Ismail.
“Tak??” Tercengang.
“Dia macam..” Sedetik fikirannya dihidang kembali dengan senyuman dan ucapan terima kasih Salwa. “Entahlah!”
* * *
“Saya pun tak tahu ayah..” ujar Salwa Fu’adah. Sekilas terimbas kembali wajah Imran Zakuan ketika melontarkan kata-kata tajam di restoran itu. Kemudian, wajah itu berganti pula dengan kelembutan layanan Imran Zakuan selepas menyelamatkannya. Ah, dia hanya menganggap ku sebagai seorang kakak atau pun makcik!
“Makcik??”
Encik Ismail tercengang.
“Ya, saya seperti makcik kepada dia!” Salwa Fu’adah mengiyakan.
Petang itu redup kerana hari seperti hendak hujan. Mereka bertemu enam beranak di rumah Encik Ariff. Encik Ismail, Puan Khadijah, Encik Ariff dan Puan Busyro tak puas hati. Mereka nak tanya dari hati ke hati kepada anak mereka.
“Siapa kata?” tanya Encik Ismail
“Saya kata”, Imran Zakuan mencelah. Semua mata menuju kepadanya.
“Dan saya pula budak hingusan saja bagi dia!”
“Siapa kata?”
“Saya.” Suara halus Salwa menyambut. Pandangan mata mereka beralih pula kepada Salwa Fu’adah.
“Ya Allah! Apa hal kamu berdua ni?” getus Puan Busyro.
Imran Zakuan tak sedap duduk. Hatinya mendesak-desak untuk bercakap.
“Memang awak makcik”, ujarnya lagi. “Tapi, itu dulu..”
Hm?
Wajah Salwa Fu’adah terangkat melihat Imran Zakuan.
“Saya bersedia menerima Salwa Fu’adah sebagai isteri saya..” Terlepas juga kata- kata itu dari bibir Imran. Salwa terpana. Mata mereka bertentangan.
“Sah?” tanya Encik Ismail kepada Encik Ariff.
“Sah?” Encik Ariff bertanya pula kepada Salwa. Salwa tersenyum malu menundukkan wajah. Senyuman itu berjangkit pula kepada Imran Zakuan.
“Belum lagi!” Puan Khadijah menyampuk. Seisi keluarga tergelak.
Di luar rumah pelangi terpancar indah setelah hujan reda.
Hasil Nukilan;
Naurah Musyahidah (nama pena)
Thursday, September 8, 2011
Edisi Merdeka
Jangan Sampai Kita JATUH CINTA Dengan Dunia
Pepohon cintaku
Kian merimbun
Semakin dicantas
Makin bertunas
Tidak mampu
Mendustai hatiku
Rasa cinta
Fitrah manusia
Siapalah aku..
Menolak cinta
Yang hadir di jiwa
Tanpa dipaksa
Hidup ini
Tidak akan sempurna
Tanpa Cinta
Dari Tuhan Yang Esa
Lirik lagu “Kalimah Cinta” nyanyian kumpulan In-team ini sering berkumandang di corong radio. Kata-kata yang menyimpan maksud yang tersendiri.
Dustalah manusia yang menyatakan dapat hidup tanpa cinta. Penciptaan kita adalah natijah daripada cinta Allah kepada hamba-Nya. Kalau bukan kerana cinta Allah, manusia tak akan dapat hidup sebegini selesa di atas dunia.
Imam al-Ghazali di dalam Ihya’ ‘Ulumiddin menyifatkan dunia sebagai karya syair Allah dan Allah sebagai ‘Pengarangnya’. Namun, berapa orang yang dapat telusuri nilai cinta yang Allah tamsilkan dengan cinta antara insan.
Cinta termulia cinta kepada-Nya. Cinta terhina cinta kepada dunia. Kecintaan yang melampau kepada dunia membuatkan pemiliknya bertambah hina di sisi manusia, malah lebih hina daripada haiwan. Betapa tidaknya? Manusia berubah menjadi rakus, tamak, zalim dan bengis hanya kerana kecintaan kepada dunia. Ekoran daripada desakan-desakan perasaan ini, manusia merampas hak orang lain dengan mencuri, membunuh, memperkosa dan mengawal kebebasan orang lain.
Berapa ramai orang yang merdeka di dunia, tapi hati dan nuraninya terpenjara. Orang mukmin hatinya merdeka. Kerana dunia hanya berada di tangannya bukan di hatinya. Lihat kisah Asiah, permaisuri Firaun. Biarpun dirinya terkurung, tetapi jiwanya merdeka. Kesanggupannya untuk mati di tangan Firaun demi mempertahankan iman di dada telah membuktikan yang hatinya merdeka dari diterjah ketakutan dan sebagainya.
Berapa ramai orang yang menghayati erti kemerdekaan yang sebenarnya? Apa yang berlaku, sebahagian daripada remaja kita seolah-olah menganggap hukum-hukum Tuhan adalah penjara apabila mereka dengan sebolehnya ingin membebaskan diri dari lunas Ilahi. Mendakap kebebasan pada pandangan mereka yang sebenarnya memenjarakan jiwa mereka dengan nafsu dan emosi.
Sepatutnya gejala-gejala seperti bohsia, bohjan, black-metal, mat rempit, minah rempit dan sebagainya tidak berlaku andai remaja benar-benar menghayati dengan hati dan nurani erti kemerdekaan dari cara hidup Islam itu sendiri. Merdeka dari sudut Islam adalah merdeka dari pautan nafsu dan gejala-gejala yang dimurkai Allah.
Ingat jangan sampai kita jatuh cinta dengan dunia sehingga tiada kesempatan untuk mengenal cinta-Nya yang lebih mulus, luhur dan mulia..
-naurah musyahidah-

Subscribe to:
Posts (Atom)