Selamat Maal-Hijrah 1435H

Selamat Maulidurrasul

Tuesday, March 1, 2011

Adab Bergurau

Hidup serius tanpa gurauan, maka akan bosanlah . hidupnya. Maka, oleh itu Islam tidak menyekat umatnya bergurau-senda sebagai perencah dalam kehidupan. Islam menggalakkan muslim supaya sentiasa tersenyum, bersahaja, berbudi tinggi, berkelakuan baik, serta senonoh pergaulannya, sehingga apabila dia bergaul dengan manusia, mereka sentiasa suka dan gembira, tertarik kepadanya, dan memberikan perhatian terhadapnya.
Namun, dalam bergurau ada adab-adab yang perlu dititikberatkan, di antaranya ialah:
(a) Tidak keterlaluan dan melebihi batasan

Diriwayatkan daripada al-Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad, dan juga diriwayatkan oleh al-Baihaqi daripada Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda (yang bermaksud):
Saya bukan dari golongan orang yang suka banyak main, atau yang melalaikan,
dan kedua-duanya juga tidak menjadi sebahagian dariku.

Bergurau yang keterlaluan akan membawa seseorang muslim itu terkeluar dari tujuan hidupnya yang asasi iaitu menyembah Allah Taala. Para sahabat dalam satu riwayat dari al-Bukhari, kitab al-Adab al-Mufrad:
Adalah para sahabat Nabi s.a.w bergurau dengan melempar-lempar buah
semangka, tetapi apabila tiba waktu keseriusan, mereka tegak seperti lelaki

(b) Tidak menganiayai atau memburuk-burukkan orang lain

Bergurau itu tidak ditegah selagi tidak menganiayai atau menimbulkan rasa kurang senang kepada orang lain.
Di dalam Sunan Abu Dawud dan juga Sunan al-Turmuzi tersebut sebuah hadith daripada Abdullah bin as-Sa’ib daripada ayahnya, daripada datuknya bahawasanya dia telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda(yang bermaksud):
Jangan sesekali seseorang kamu merampas harta benda saudaranya secara
bermain-main, ataupun benar-benar. Dan barangsiapa yang mengambil
tongkat saudaranya, hendaklah dia kembalikan

Abu Dawud telah meriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Abu Laila, katanya: Para sahabat telah berbicara bahawa mereka pernah berjalan dengan Nabi s.a.w lalu seorang di antara mereka tertidur. Maka teman mereka telah mengambil tali dan mengikatnya. Apabila dia tersedar, dia terperanjat. Maka Rasulullah s.a.w bersabda(yang bermaksud):
Tidak dibolehkan bagi seseorang muslim untuk menakut-nakutkan seorang
seorang muslim yang lain

al-Bazzar, at-Tabrani serta Ibnu Hibban telah meriwayatkan daripada Amir bin Rabi‘ah r.a, bahawa seorang lelaki telah mengambil kasut temannya, lalu menyembunyikannya secara bergurau. Maka hal itu telah disampaikan kepada Rasulullah s.a.w, lalu baginda bersabda(yang bermaksud):
Jangan kamu memeranjatkan orang muslim kerana sesungguhnya
memeranjatkan orang muslim itu adalah suatu penganiayaan yang besar

Begitu juga dengan orang yang suka bergurau dengan mengejek-ejek atau memaki-maki atau merendah-rendahkan diri orang lain atau memberi gelaran yang tidak disukai oleh orang yang diberi gelaran tentulah dia dikira kurang adab. Sedangkan Rasululllah s.a.w ketika hendak memanggil Abu Hurairah dengan gelaran Abu Hurairah (Bapa Kucing Yang Kecil), baginda meminta izin daripada beliau terlebih dahulu.

(c) Menjauhkan dusta dan cerita bohong

Seringkali terjadi seseorang yang diberi penghormatan memegang majlis bergurau dengan mengada-adakan cerita-cerita palsu untuk mentertawakan orang ramai. Tujuannya untuk menyenangkan mereka dan menimbulkan kegembiraan di dalam hati mereka. Semua ini adalah di antara yang dilarang oleh Islam dan diancam oleh Rasulullah s.a.w terhadap orang yang melakukannya.
Abu Dawud, at-Turmudhi, an-Nasa’i dan al-Baihaqi telah meriwayatkan daripada Buhz bin Hakim, katanya: Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda(yang bermaksud):
Celaka bagi orang yang menyampaikan sesuatu pidato kepada orang ramai
dengan tujuan untuk mentertawakan mereka, padahal di berdusta. Celaka
baginya, dan celaka baginya.

Ahmad dan Abu Dawud pula meriwayatkan daripada al-Nawwas bin Sam‘an r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda(yang bermaksud):
Terlalu besar khianatnya iaitu apabila anda menyampaikan kepada
saudaramu suatu berita, yang mana dia telah mempercayaimu, padahal
engkau telah berdusta.

Imam Ahmad dan at-Tabrani telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, katanya: Rasulullah s.a.w bersabda(yang bermaksud):
Tidak beriman seseorang hamba dengan sesempurna iman, sehingga dia
meninggalkan dusta dalam bergurau atau berdebat meskipun dia itu benar

Contoh Gurauan Rasulullah S.A.W

Kisah Pertama:

At-Turmudhi meriwayatkan daripada Anas r.a bahawa ada seseorang dari penduduk gurun, namanya Zahir dan dia selalu membawakan hadiah untuk Nabi dari kampungnya. Apabila dia hendak kembali ke kampungnya Nabi akan memberinya bermacam-macam hadiah untuk dibawa balik ke kampungnya. Nabi berkata: Sesungguhnya Zahir ini kampung kita dan kita kotanya. Nabi s.a.w juga sangat suka kepadanya padahal dia seorang yang hodoh rupanya. Suatu peristiwa ketika Nabi datang kepadanya sedangkan dia sedang menjual barang-barangnya, maka Nabi s.a.w pun memeluknya dari belakang, padahal Zahir tidak tahu Nabi yang memeluknya. Maka Zahir berkata: Siapa ini? Lepaskan aku! Kemudian, Zahir menoleh ke belakang dan dilihatnya Nabi yang memeluk, lalu dia melekatkan semula belakangnya dengan dada Nabi s.a.w. Kemudian Nabi s.a.w pun berkata: Siapa yang hendak membeli hamba ini? Zahir lalu menjawab: Wahai Rasulullah! Demi Allah, engkau akan mendapati diriku ini tidak laku. Maka, Nabi menjawab: Tetapi engkau di sisi Allah tidak murah atau katanya: Engkau di sisi Allah adalah berharga.

Kisah Kedua:

Di dalam Sunan Abuu Dawud terdapat hadith daripada ‘Auf bin Malik al-Asyja‘I, katanya: Saya datang kepada Rasulullah s.a.w dalam perang Tabuk, sedang baginda berada di sebuah kubah kecil daripada kulit, maka saya pun memberi salam kepada baginda, dan saya dengan baginda berkata: Masuklah! Saya pun bertanya: Apakah dengan seluruh badan saya sekaligus, wahai Rasulullah? Jawab baginda: Ya, dengan badanmu seluruhnya. Maka saya pun masuklah.

Kisah Ketiga:

At-Turmudhi dan Imam Ahmad telah meriwayatkan daripada Anas r.a bahawa seorang lelaki telah datang kepada Nabi s.a.w meminta seekor binatang tunggangan. Maka Nabi s.a.w berkata: Nanti saya akan berikan engkau tunggang atas anak unta. Orang itu berkata: Wahai rasulullah! Apa yang dapat aku buat dengan anak unta? Nabi berkata: Bukankah unta itu asalnya seekor anak unta.

Kisah Keempat:

Ibnu Bakkar pula meriwayatkan daripada Zaid bin Aslam bahawa seorang wanita namanya Ummu Aiman al-Habasyiah telah datang kepada Rasulullah s.a.w seraya berkata: Sesungguhnya suamiku menjemputmu. Maka Nabi s.a.w berkata: Siapa dia suamimu itu? Adakah dia yang di tengah matanya ada putih? Wanita itu menjawab: Mata suamiku tidak ada putih! Kata Nabi: Bahkan, di matanya ada putih. Wanita it uterus menegaskan: Tidak! Demi Allah, tidak ada putih! Maka Rasulullah s.a.w bersabda:
Tiada seorang pun, melainkan di matanya ada putih.

Kisah Kelima:

At-Turmudhi telah meriwayatkan daripada al-Hassan al-Bishri r.a, katanya: Datang seorang wanita tua kepada Nabi s.a.w seraya berkata; Wahai Rasulullah! Pohonlah kepada Allah supaya dimasukkan aku ke dalam syurga. Lalu dijawab oleh baginda: Wahai Ibu fulan! Sesungguhnya syurga itu tidak akan dimasuki seorang tua. Wanita tua itu beredar dari situ seraya menangis. Maka Rasulullah s.a.w segera menyuruh orang memberitahunya dengan katanya: Beritahu kepadanya bahawasanya dia tidak akan memasuki syurga itu sedang dia dalam keadaan tu sebab Allah berfirman(maksudnya):
Sesungguhnya Kami mereka(gadis-gadis) dengan suatu kejadian yang
istimewa. Dan mereka Kami jadikan semuanya perawan suci; Penuh
kecintaan dan sebaya pula umurnya
(Surah al-Waqi‘ah(56): ayat 35-37)


Daripada:

Naurah Musyahidah

No comments: