Persoalannya, adakah benar akan segala tohmahan ini? Jika difikirkan secara logik akal, secara rasional, ada benarnya namun perlu diingatkan bahawa agama tidak berdiri dengan akal tetapi agama berdiri dengan wahyu. Jadi, terkadang akal yang terhad ini tidak dapat menjangkau kehendak Tuhan, maka atas paksi itulah Rasul diutuskan.
KISAH ORANG BUTA DAN GAJAH
Kisah orang buta dan gajah, cukup terkenal. Hampir kesemua orang pernah mendengarnya namun kisah ini belum habis. Ada hikmah yang cuba disembunyikan. Seorang buta terpegang ekor gajah, maka diberitahu kepada rakan-rakannya yang lain bahawa gajah itu bentuknya seperti tali. Tetapi pendapatnya dicanggah oleh seorang buta lain yang terpegang badan gajah. Katanya, “bukan, gajah itu seperti dinding, besar. ”Seorang buta yang lain pula terpegang kaki gajah, lalu diumum bahawa gajah itu bukan seperti tali ataupun dinding, tetapi gajah itu seperti sebatang pokok balak.
Apa yang dinilai oleh orang-orang buta itu, semuanya salah. Tiada seorang pun dapat mendiskripsikan gajah itu dengan bentuk yang sebenar. Kerana apa? Kerana penglihatan mereka terhad, penglihatan mereka terbatas maka apa yang dilakukan oleh mereka juga terbatas.
Si buta yang perbuatannya, penilaiannya terbatas itulah kita. Manusia biasa dengan akal yang terbatas untuk memikirkan perkara-perkara ghaib. Keterbatasan inilah yang menyebabkan manusia menyembah air, api, matahari bahkan kemaluan pasangan masing-masing! Dalam beragama, akal yang logik bukanlah satu alat yang sesuai. Benar, kadang-kadang akal yang logik dan rasional perlu, tetapi ingat bahawa itu hanyalah kadang-kadang. Akal ini bukan sahaja terbatas dalam berfikir hal-hal ghaib,bahkan dalam hal-hal kehidupan seharian pun akal ini terbatas. Jika tidak percaya, cuba jawab soalan di bawah:
- 54 X 54 = ?
Insya Allah anda dapat menjawabnya, tapi bagaimana pula dengan yang di bawah:
5938474903 X 8937575482923748923 = ?
Pasti tanpa bantuan kalkulator anda tidak mampu menjawabnya.
ALLAH TIDAK MAHU HAMBANYA MASUK KE DALAM NERAKA
Islam agama yang menyekat kebebasan? Betul, Islam agama yang menyekat kebebasan penganutnya daripada memilih neraka! Allah tidak ingin walaupun seorang daripada hamba Nya dicampakkan ke dalam neraka. Buktinya, apa sahaja yang kita buat di atas muka bumi ini, jika perkara itu mendatangkan manfaat kepada kita dan orang lain, kita dapat pahala. Senyum, dapat pahala. Makan nasi, dapat pahala. Buang sampah, dapat pahala. Urut badan kawan, dapat pahala. Bahkan,niat baik pun dapat pahala. Senang cerita, semua yang baik, pasti pahala adalah ganjarannya.
Berbeza pula dengan dosa. Dikatakan apabila seseorang melakukan dosa, malaikat Rakib melarang malaikat Atib daripada menulisnya. Disuruhnya tunggu sehingga pelaku melakukan 10 kesalahan. Apabila 10 kesalahan dibuat, Rakib menyuruh Atib melihat adakah si pelaku ada melakukan kebaikan semasa dia melakukan 10 kesalahan. Jika ada, kesalahan - kesalahan tadi diampunkan dan jika tiada, 10 kesalahan tadi ditulis sebagai 1 kesalahan. Istimewanya lagi, si pelaku masih boleh menghilangkan dosa itu dengan bertaubat. Inilah yang dimaksudkan oleh Ibnu Umar dalam satu kisah beliau dengan sahabat-sahabat.
- Suatu hari, Ibnu Umar masuk ke dalam masjid dan mendapati ada sekumpulan sahabat yang sedang mengira dengan anak-anak batu. Maka Ibnu Umar bertanya, “apakah kalian sedang lakukan?” Salah seorang sahabat menjawab, “kami sedang mengira dosa-dosa yang telah kami lakukan.” Mendengarkan jawapan daripada sahabat, Ibnu Umar membalas, “berhenti lah kalian daripada mengira dosa-dosa kalian kerana dosa-dosa kalian pasti hilang. Sebaliknya berzikirlah kerana pahalanya kekal abadi.”
Di akhirat esok, seorang ditakdirkan untuk masuk ke dalam neraka. Apabila dia mendengar bahawa dirinya Ahli neraka, dengan pantas dia berlari ke neraka. Maka Allah bertanya walaupun Allah sudah tahu jawapannya, “Wahai hamba Ku, kenapa kamu berlari ke neraka? ”Orang itu menjawab, “Ya Tuhan ku, semasa aku hidup, aku tidak pernah menunaikan perintah Mu walaupun satu. Maka pada hari ini aku nekad untuk tunaikan perintah Mu dengan bersungguh-sungguh.” Maka dengan nekadnya itu, Allah memasukkannya ke dalam syurga. Pengajaran daripada perlambangan ini ialah betapa Allah tidak ingin hamba Nya masuk ke dalam neraka sehingga di akhirat esok pun,Allah akan beri keampunan Nya. (Perlambangan)
ISLAM ADA PENYELESAIANNYA
Islam adalah satu cara hidup yang menjamin keselamatan penganutnya. Malah, apabila didefinisikan Islam secara bahasa pun, maksudnya selamat. Inilah istimewanya Islam, namanya pun tidak bersandar kepada sesiapa. Berbeda dengan Yahudi yang merujuk kepada Yahuda, Kristian yang berkait dengan nama Yesus Christ dan Buddha yang mengguna pakai nama pengasasnya, Gautama Budda. Tetapi Islam? Islam bebas daripada mana-mana nama, Muhammad mahupun Allah.
Apabila Islam melarang sesuatu, maka ada hikmahnya. Pasti apa yang dilarang itu banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan. Kita tidak nafikan, arak contohnya, arak ada kebaikannya tapi perlu ditulis kembali apa yang ada di dalam Al-quran dalam surah Al-Baqarah, ayat 219:
- “”Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Padakeduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya” dan mereka bertanya pula kepadamu:” Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)?” Katakanlah: “Dermakanlah ( apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu).” Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir”
Allah tahu apa fitrah ciptaan Nya maka Dia ciptakan alternatif untuk hamba-hamba Nya. Alternatif itu apa? Alternatif itu Islam. Allah mengharamkan arak tetapi Dia benarkan air cofee, jus epal, horlick tabur milo dan kopi anak jantan. Allah haramkan babi tetapi Allah benarkan kita makan ayam, ayam belanda, ayam israil dan kambing. Allah haramkan zina tetapi Allah halalkan perkahwinan sehingga 4 orang bagi lelaki. Semua yang diharamkan, ada jalan keluarnya. Masalahnya, kita yang tidak tahu.Kenapa kita tidak tahu sedangkan kita Islam? Kita ego, kita tidak mahu belajar, kita merasakan diri kita sudah cukup dengan ilmu-ilmu.
ISLAM BUKAN AGAMA YANG RIGID
- “Kamu gerak lebih daripada 3 kali,batal solat!”
“Kamu telan air liur banyak sangat, batal puasa!”
“Kamu sentuh babi, haram!”
“Kamu kawan dengan bukan Islam, neraka!”
“Kamu couple,tak masuk syurga!”
“Kamu tertinggal solat, kufur!”
Wah, wah, wah. Strict betul Islam yang kita anuti. Tidak boleh lakukan satu kesalahan walaupun kesalahan itu bukan kesalahan yang disengajakan. Ini kena dapat keistimewaan maksum dahulu baru boleh peluk Islam, barulah tidak kufur, tidak masuk neraka.
Silap, ini merupakan satu kesilapan yang sangat besar.
Islam bukanlah satu peraturan, tetapi Islam merupakan satu cara hidup. Apabila berbicara tentang cara hidup, ia mestilah bersesuaian dengan subjek yang dibicarakan. Contohnya apabila kita berbincang tentang cara hidup kambing. Maka dalam topik ini,kita akan bincang bagaimana kambing makan bukan bagaimana lembu makan. Kita akan bincang apakah kelemahan kambing dan bukan apakah kelemahan hamster. Maksudnya, apabila kita mengatakan Islam adalah cara hidup manusia, maknanya, Islam membicarakan tentang manusia, bukan tentang kambing.
Allah menciptakan manusia sebaik-baik kejadian, bukan sesempurna kejadian maka tidak pelik jika ada di antara manusia yang melakukan kesalahan kerana kita bukanlah sempurna. (rujuk:Yang Sempurna Bukanlah Yang Terbaik) Malah dikuatkan lagi dengan satu hadis nabi yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi yang bermaksud:
- “Semua anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat”
Ana secara jujur begitu sedih apabila mendengar kisah-kisah saudara-saudara baru ketika mereka ingin memeluk Islam. Ada yang berjumpa dengan Imam masjid, Pak Imam cakap kalau nak peluk Islam kena daftar di pejabat agama. Maka si muallaf ini pergi ke pejabat Islam. Di pejabat Islam,ustaz suruh isi borang itu, borang ini, barulah dapat masuk Islam. Yang lebih teruk, Pak Ustaz tanya, “dah bersunat? Kalau belum, kena bersunat dulu baru dapat masuk Islam.” Penat. Susah. Payah. Adakah ini Islam yang diajar oleh Baginda Rasululullah?
- Suatu ketika seorang lelaki datang berjumpa dengan baginda dan menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam tetapi lelaki itu tidak ingin meninggalkan zina. Rasulullah mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah dan dia masuk Islam. Dia bertanya kepada Rasulullah adakah dia kena tinggalkan zinanya? Maka Rasulullah membalas, “jangan menipu.”
Dipendekkan cerita, lama-kelamaan si penzina itu bertaubat dan tidak lagi berzina. Inilah yang Rasulullah ajar!
Fulan seorang peminum arak yang tegar dan ditakdirkan suatu hari dia ingin berubah. Dia berjumpa dengan Imam untuk mengajarnya untuk bertaubat. Pak Imam tua yang berserban sebesar pasu bunga itu menegaskan, “haram minum arak. Jangan minum walaupun setitis.” Si Fulan yang sememangnya kamcing dengan arak tidak dapat berpisah dengan arak, lalu dibuat pilihan antara berubah dan arak, dia pilih arak. Adakah ini yang Allah ajar?
POHONLAH AMPUN DARI YANG MAHA PENGAMPUN
Diriwayatkan oleh Imam Tarmizi bahawa suatu hari Rasulullah mendengar seorang sahabat telah berzina dengan seorang gadis. Maka Rasulullah memanggil sahabat tersebut.
-
“Apakah benar berita yang aku dengar?” Tanya baginda.
“Berita apa yang engkau dengar ya Rasulullah?” Tanya sahabat balik.
“Apakah benar engkau telah bersetubuh dengan si fulan binti si fulan?” Soal Rasulullah dengan sedikit hiba di hati baginda.
“Ya Rasulullah,” jawab sahabat yang dalam ketakutan.
Maka Rasulullah bertanya lagi soalan yang sama sebanyak dua kali dan sahabat membalas dengan jawapan yang sama, juga dua kali. Lalu Rasulullah memalingkan mukanya ke kanan, sahabat pergi ke kanan, Rasulullah memalingkan muka baginda ke kiri. Begitulah sebaliknya sehingga sahabat tadi berkata, ”apakah engkau tidak sudi melihat muka ku?”
Rasulullah menjawab, “adakah engkau gila?”
Tidak kisahlah besar mana dosa kita, jahat mana pun diri kita, ingatlah bahawa Allah sentiasa ada untuk kita. Dia melihat kita walaupun kita tidak melihat Nya. Dia meminati kita walaupun kita tidak meminati Nya. Dia mencintai kita walaupun kita tidak mencintai Nya. Dia ada untuk kita.
Allah sangat sukakan hamba-hamba yang menyesal,yang mengaku kesalahan diri sendiri. Sudah menjadi fitrah manusia suka menyalahkan orang lain, jadi Allah sangat gembira apabila manusia itu mengaku bahawa kesalahan itu berpunca daripada diri sendiri.Allah sukakan hamba-hamba yang ketepikan ego mereka.
- Dalam sebuah negeri, tinggal seorang pembunuh yang telah membunuh 99 orang. Ditakdirkan bahawa dia ingin berubah, jadi dia pergi berjumpa dengan seorang imam dan meluahkan perasaannya yang dia ingin berubah tetapi Imam memberi satu jawapan yang tidak enak didengar. ”Kamu sudah bunuh 99 orang,kalau bertaubat pun sudah tiada guna, terlambat!” Marah Imam. Dek kerana tidak senang dengan jawapan Imam,lalu dia membunuh Imam, lantas mencukupkan koleksi nyawanya menjadi 100 orang. Suatu hari, dia terdengar cerita jika ingin bertaubat,pergilah berjumpa dengan syeikh di Timur Tengah. Dalam perjalanannya ke Timur Tengah, dia meninggal dunia dan dia adalah ahli syurga kerana dia mati dengan niat ingin berubah.
Biasa kita terima, apabila kita ingin berubah menjadi baik, manusia di sekeliling akan menghina kita, membenci kita malah ada yang memulaukan kita. Satu perkara yang tersangat biasa. Nabi juga dihina, dibaling tahi dan dipulau oleh kaumnya sendiri tetapi nabi terus mara ke hadapan dan hasilnya, kita bernama Ahmad, Aida, Atiqah, Alia, Asraff. Andaikata Nabi berundur seperti kita berundur, pasti nama kita Ah Chong, Mutusami, Fei Mau dan Florance. Bersyukurlah kerana nabi bukan macam kita, senang mengaku kalah apabila dihina.
Konklusinya, jadilah Insan seperti nabi,apabila baginda merasakan diri baginda perlu berubah, ditinggalnya kemewahan, ditinggalnya isteri, demi memikirkan nasib kaumnya. Usah dipedulikan apa kata orang, tetapi pedulilah apa yang ALLAH kata.
:::: 6 Rajab 1431 ::::
[ Semua Gambar Adalah Hiasan]
_________________________________
Dipetik Tanpa Suntingan Dari:
azzariyat.com - memberi erti pada diri
http://azzariyat.com/allah-taknak-hamba-nya-masuk-neraka/
Shared By Bicara Hidayah