Selamat Maal-Hijrah 1435H

Selamat Maulidurrasul

Tuesday, April 28, 2020

Salam Ramadhan Ristina


Wajah diraup berkali-kali. Rakaman rancangan untuk tayangan syawal ini ditangguhkan. Bukan kerana dia diserang apa-apa penyakit. Tapi, dikejutkan dengan surat yang begitu menjamah jiwa nuraninya.Kembali diri mencari makna di sebalik tujuan kehidupan ini. Kehidupan yang singkat… yang akan berlalu sekelip mata..diisinya dengan kesibukan di lokasi-lokasi penggambaran.

Ya, Ristina mengakui dia semakin jauh dari petunjuk Ilahi. Alasan rapuh sebenarnya - mensyaratkan keikhlasan untuk menjunjung perintah Tuhan. Dia dulu yang begitu beradab sopan kini bebas berpegangan tangan, berpelukan dan sebagainya di pentas lakonan. Tudungnya yang dulu melepasi dada disingkatkan hinga menampak anaktelinga. Dan kini dia telah membuat keputusan untuk menyingkirkan pakaian menutup rambut itu daripada penampilannya-penampilan yang lebih bersederhana, katanya. Memang dia tidak berani seperti sesetengah artis yang megah mempamerkan sebahagian anggota badan untuk kelihatan lebih seksi dan bergaya. Pakaiannya masih dikatogerikan memenuhi ciri-ciri wanita timur. Tetapi tidak seperti yang dianjurkan di dalam al-Quran.

Bukan dia tak faham al-Quran. Dia faham walaupun tak sepenuhnya. Tapi, Budaya ‘tak pa’ yang mula meresap ke dalam hatinya mendorong dia membuat keputusan berani untuk melangkah lebih jauh lagi dalam bidang lakonan yang diceburinya-biar serasi dengan zaman siber kini.Lakonan? Mungkin kerana menceburi bidang ini, dia tidak lagi kekok untuk berlakon di depan Allah. Kala solat diri dipastikan tidak terdedah walau seurat rambut. Mengaku di dalam solat bahawa “solatku, ibadatku, hidupku, dan matiku hanya kerana Allah” . Allah Yang Maha Besar!, begitu ungkapnya di dalam solat. Tetapi, di luar solat sudah banyak peraturan Tuhan Yang Maha Besar itu dilanggarnya. Sudah banyak accident (pelanggaran) dalam hukum-hukum syariat berlaku dalam hidupnya. Accident yang disengajakan.

Ristina mengulum bibir seraya mengulum perasaan sayu yang bersenandung di hati. Betapa dia tidak dapat menghadirkan diri sebagai hamba-Nya yang taat. Sungguh.. Pengabdian yang dibentangkannya di setiap kali solat, puasa, zakat dan sebagainya hanya topeng yang untuk menutup keengkarannya terhadap beberapa hukum Allah. Hidupnya berceloreng dengan lakonan.. kemunafikan..

Bayu malam itu terasa lain benar elusannya. Dingin elusannya terasa mengusap hingga ke dalam urat-urat sarafnya.. ke ulu jantungnya.. ke segenap tubuh badannya. Ristina merenung bulan. Sudah lima belas hari Ramadhan berlalu. Dia menghela nafas dan menyedut dalam-dalam. Mengumpul semangat baru dengan citra yang berlainan.. yang lebih segar… Di sudut hati mengharap langkahnya kali ini seiring dengan kekudusan.. penyerahan diri zahir dan batin yang penuh ketulusan demi mendambakan reda-Nya.

Ya, dia telah membuat keputusan. Suatu keputusan yang dirasanya amat kena dengan tuntutan jiwa batinnya. Keputusan untuk menghentikan diri dari bidang ‘lakonan’ini.



Lakaran nukilan rasa dari;

Naurah Musyahidah

No comments: