Selamat Maal-Hijrah 1435H

Selamat Maulidurrasul

Friday, April 24, 2020

Kerana Kasih-Nya


Kerana Kasih-NYA

Malam itu gempar. Seisi keluarga hingar-bingar. Bagai diserang garuda. Ibarat teriakan sang halilintar. Naurah termangu di kamar. Benarkah ini?

            Hati siapa tidak mengilu. Bicara itu membidik telinga. Menusuk mendalam. Kata-kata belati mencarik sekeping hati gadisnya.

            “Kenapa Encik Zainal? Apa salah anak kami?” Suara abah tetap gagah memancung suasana.

            Naurah mengintai di balik tabir. Encik Zainal berpusing tangkas. Ada sinar amarah menyala dari tubir matanya. Apakah itu...?

            “Jangan berpura-pura, Encik Mustaffa. Semua orang dah tahu”, Encik Zainal melampiaskan kata.

            Abah makin tercengang. Emak lebih-lebih lagi. Faizal.. duduk menyepi di atas sofa. Apa yang berlaku? Masih persoalan itu bergurindam di corong dada.

            “Saya tak faham, Encik Zainal. Cuba berterus-terang..” Abah masih cuba mengawal suasana.

            Encik Zainal mendengus keras. Hamburan geram yang tak terucap.
            “Maaf Encik Mustaffa.” Antara getar amarah yang tertahan Encik Zainal meluah kata. “Ini keputusan kami anak-beranak. Akad nikah ini tetap tidak boleh diteruskan.” Encik Zainal bertegas.

            “Encik Zainal..” Suara emak pula mendayu.

            “Kami dah nekad. Minta maaf”, ucap Encik Zainal. “Jom Faizal, Salmah kita balik.”

                                                            *          *          *

Masih membilang titis air hujan yang merintik. Antara debu dosa dan noda.. cuba menghitung diri. Apa salah kami? Naurah merenung sepasang kebaya labuh yang sudah siap untuk perkahwinannya nanti. Baju kurung putih bersih sempena akad nikahnyan malam itu masih tersidai kemas di dalam almari. Curahan air mata buat ke sekian kalinya. Tidak disangka.. Sungguh tidak menduga.. Begini akhirnya..

Sudah berubahkah kasih Faizal kepadanya? Sudah lupakah janji yang pernah dipateri kemas di hadapannya? Memang manusia sukar dipercaya. Lelaki.. lelaki.. Amat sukar mencari lelaki sesejati Rasulullah. Ah, cukuplah Naurah! Jangan menangis lagi… Berkali-kali kalimah itu dibisikkan. Namun hati.. Entah bagai ada dua arus yang berbeza di situ. Antara minda dan suara hati. Seperti ada garis pemisah.

            “Naurah masih marahkan saya?” Selembut sutera suara Faizal setahun dahulu datang menyusup sukma. Tenang. Damai. Mata Faizal merenung penuh prihatin. Ada riak kasih pada wajahnya. Naurah senang menatap wajah itu. Bujur. Kumis nipis beserta sejemput janggut menambah rias sekeping wajah lelakinya. Ada ketegasan terpendam. Ada ciri kelakian sejati pada mata Naurah.

            Naurah diam cuma. Angin yang menderu dibiar terus menampar-nampar wajah sekeping bujur sirihnya. Sesekali matanya yang beralis lentik itu dikerdip-kerdip melawan terik mentari.

            “Nah, ambil ni! Lekap kat tingkap..” Naurah lambat-lambat menyambut.

            “Maaf ya. Air-cond kereta saya ni rosak. Al-maklum, kereta tua macam tuan dia juga kan? Dah rabun.. bawa kereta pun melelong”, ujar Faizal. Naurah cuba senyum. Tetapi entah… Terasa macam ‘senget’ sahaja.

            Sungguh. Faizal berasa amat lega apabila melihat Naurah menguntum senyum. Bimbang benar hatinya kalau-kalau Naurah masih marah. Yelah.. Langgar kereta orang sampai kemek.. pecah lampu belakang. Kira kes tragis tu..!

            “Rumah Naurah nombor berapa?” soal Faizal.

            “Nombor dua puluh lapan”, jawabnya. Faizal tersenyum.

                                                            *          *          *

            Tersenyumlah pulak! Gumam Naurah di dalam hati. Teruk sangat ke suara aku? Naurah bertanya sendiri.

            “Baru dapat dengar suara Naurah..”akui Faizal jujur. “Mahal juga suara Naurah..”
           
            Naurah tahu Faizal cuba menarik perhatiannya. Demi terlihat senyuman di bibir Faizal, Naurah terasa geram. Mengada-ngada!, luahnya di dalam hati. Malu bertimpa-timpa menjelma. Naurah cuba berlagak selamba.

            “Naurah. Apa maksud nama tu ya?” Faizal masih belum jemu mengajaknya berbicara.

            “Naurah dulu sekolah agama kan..?” soalnya sejurus.

            “Aaa.., a’aa” Naurah teragak-agak mengiyakan. “Err.. Encik Faizal, rumah saya dah terlepas.”

            “Oh, maaf!”
            Faizal kembali mengundurkan kereta Volvonya.
            “Kat sini ke?” soal Faizal memberhetikan kereta. Memandang wajah Naurah. Naurah memandang sedetik. Cuba tersenyum. “Em em...”

            “Terima kasih”, ucap Naurah ringkas. Mula berpaling.

            “Naurah”, panggilnya sejurus. Naurah menoleh kembali. Terpegun dengan senyuman manis Faizal. Berdebar jiwa kegadisannya.
            “Kalau Naurah sudi, esok boleh saya datang ambil Naurah..”

            “Er.. tak pe!”
           
                                                            *          *          *

            “Tak pe..?”, giat Faizal. Naurah jadi tak menentu. Faizal menahan senyum. Suka melihat Naurah begitu.

            “Bukan”, sanggah Naurah. Terkial-kial mencari jawapan. Faizal menyembunyikan rasa geli hatinya. Kesian Naurah.
            “Saya boleh naik teksi sendiri”, ujarnya setelah mendapat kekuatan. Memandang Faizal tepat. Melawan getar di hati.

            “Em em..” Faizal mengangguk. Menyembunyikan senyum. Entah kenapa gelagat gadis itu begitu menghiburkan hatinya.
            “Terserahlah, kalau itu keputusan Naurah. Saya pergi dulu. Assalamu’alaikum.”

            Ketukan bertalu di daun pintu mengheretnya kembali ke alam realiti.
            Faizal mengemaskan duduk.
            “Masuk”, ucapnya. Azmin masuk mengadap seperti selalu. Menghadiahkan senyuman. Lebar. Manja. Faizal perasan itu.
            “Tinggalkan laporan itu di atas meja. Biar saya baca sendiri”, tegasnya.

            “Tapi, encik..” Lembut suara menyusup telinga. Calang-calang lelaki boleh tergoda.

            “Saya tak nak diganggu buat masa sekarang. Kalau ada apa-apa saya akan panggil. Awak boleh keluar.”

            Azmin berpusing hendak keluar. Namun, berpaling semula.
            “Encik nak kopi? Saya boleh buatkan”, Faizal mencerlung tajam. Cuba mengawal nada suara.

            “Kalau saya nakkan apa-apa saya akan cakap. Tak payah, awak buat kerja awak.” Daun pintu ditarik. Rapat.

            Bagaimana hendak didefinasi hati ini. Faizal kembali melayan perasaan. Sukar untuk dimengertikan. Sudah tiga minggu wajah itu tidak ditatap. Sepucuk surat bertaip kemas itu sebagai jawapan. Naurah meletakkan jawapan.

            Kau merajuk ke, sayang? Diturutkan kata hati ingin dipujuk gadis manis itu. Rindu. Itu jawapan yang pasti. Luapan rasa yang menggunung. Hatinya masih mesra mengenangkan gadis itu. Malah, bertambah ramah. Kasih yang berputik kian meranum.

            Naurah. Suara hati masih melagukan nama itu. Tetapi.. Akal fikirnya datang mencantas. Naurah telah curang. Menduakan kasihnya. Entah Naurah setia atau tidak. Atau hanya ingin membolot harta.

            “Ayah nampak sendiri, selalu sangat dia berdua dengan lelaki itu.”
            Ah! Rasa cuak itu sengaja dibenamkan kemas-kemas. Cuba membenci. Ya.
            “Mak takut kau menyesal .”
            Faizal memegang kepala. Mindanya berselirat. Cukuplah! Jangan fikir lagi!

                                                            *          *          *

            Naurah bingkas. Sering benar tidurnya diganggu. Mimpi yang menuntut rasa dan kadang-kadang air mata. Dentuman guruh bergempita. Terang-benderang seketika ruang kamarnya.

            Wajah Faizal berpaling menoleh. Menyerahkan dirinya untuk dikahwini oleh orang lain. Faizal mengalunkan azan. Sayu.. Dan.. mimpinya terlerai.

            Naurah mengusap-ngusap wajahnya. Membaca doa untuk menghindarkan diri daripada syaitan la’natuLLAH. Seperti biasa dia berwudhuk mengadap Ilahi. Menunaikan solat setakat termampu. Dan sering air mata mengiringi permintaan doanya.

            Sudah setahun.. Sejak peristiwa malam itu berlaku. Tangan meraba-raba wajahnya. Cengkung. Tulang lehernya timbul. Entahlah.. Bukan sengaja membiar diri sebegitu. Entahlah…

            Teringatkan ujaran si ibu semalam. Membuatkan jiwanya semakin terhiris.
            “Emak harap Naurah terima lamaran Suffian. Emak nak tengok Naurah bahagia”, ujar ibunya.

            Bahagia? Hati.. hati bagai tidak mampu diserahkan kepada insani lagi.
            “Emak buatlah apa yang emak fikir betul”.
            Jawapan yang diberikan amat berlawanan dengan gerak hati. Naurah memejam mata. Rapat. Apa yang terjadi.. tetap terjadi. Pasrah.

            “Naurah.”
            Sekonyong-konyong wajah kasih Faizal menjelma di hadapan kornea. Sayu sepasang matanya merenung.
            “Naurah sihat?’   
            Suara itu berlagu prihatin.
            “Naurah rindu saya ke?” Faizal senyum. Senyuman yang amat dirindukan.
            “Naurah sabar ye”, ujarnya lembut. “Naurah harus kuat… Harus menjadi seperti rumput. Tidak berganjak walaupun dipuput angin puting beliung..”

            Seperti selalu Naurah akan terjelepok di hujung katil. Menangis sendiri. Kadang-kadang teresak-esak. Tanpa pengetahuan sesiapa. Biarlah dia sendiri-sendiri menanggung duka. Bukankah Tuhan masih ‘bersama’?

                                                *          *          *

            “Sesungguhnya aku mengadu kesedihanku dan kesusahanku kepada ALLAH.”

            Maksud ayat al-Quran Surah Yusuf itu dituturnya berkali-kali. Ungkapan yang terucap daripada mulut Nabi Ya’kub ketika menahan kerinduan yang membara terhadap anaknya, Nabi Yusuf. Penderitaan yang bukan boleh dianggap enteng. Hingga membutakan kedua-dua belah mata.

            Oh, Tuhan! Buat ke sekian kali Faizal mengeluh begitu. Biar setahun sudah berlalu. Rindu yang tersemat di dada masih bernadi. Kian bercambah.
            Sudah acapkali benar dia beristikharah, solat Taubat, Hajat dan segala yang termampu dilakukannya. Al-Quran juga sering dibaca, Hanya itu penghibur jiwa.

            Mungkin ini hikmahnya, Naurah. Bicaranya seolah-olah Naurah hadir di situ.
            Diri terasa makin dekat dengan Kalam Allah. Kalau bukan kerana rasa ini, mungkin diri tidak terdorong mengadap-Mu hampir setiap malam. Didorong oleh rasa inilah diri kian bersungguh di dalam solat. Kian khusyuk di dalam doa.

            AlhamduliLLAh.. Aku bersyukur, ya ALLAH.

                                                *          *          *

            “Ayah telah membuat keputusan” Encik Zainal bersuara sebelum menekan pedal minyak.
           
            Ya, keputusan telah dibuat. Faizal harus akur dengan keputusan ayahnya. Kereta menderu laju. Faizal pasrah.

                                                *          *          *

            ‘Hidup ini perlu diteruskan, Naurah!’ suara Faizal masih segar dalam ingatan. Ya, hidup ini perlu diteruskan. Cukuplah cinta Ilahi menemani diri. Cinta Rasul yang masih sebati. Diri harus kuat. Buat sekian kali sekeping wajah miliknya direnung di dalam cermin.

            “Naurah..” suara ibunya memanggil.
            Naurah menapak ke ruang tamu. Naurah tercengang.
            Faizal sedang duduk di atas kusyen, Di sebelahnya Encik Zainal.

                                                *          *          *

            Entahlah. Drama apa yang dilakonkan di hadapannya. Masihkah hati ini sudi menerima setelah disayat hebat?

            “Mereka hendak keputusan itu minggu depan”, ujar ibunya.

            Satu berita gembira buatnya. Mungkin. Tetapi hari itu.. Ya, mereka juga yang meminta supaya pertunangannya dengan Faizal diputuskan. Diikutkan rasa ego di hati tidak mahu lagi dia menerima Faizal. Bagaimana dengan  Suffian..?

            “Encik Zainal dan isterinya sendiri yang meracuni fikiran Faizal. Mereka tidak mahu menyatukan Faizal dengan Naurah kerana pada mereka Naurah tidak setaraf.. Mereka mereka-reka cerita tentang kecurangan Naurah ”

            Begitukah..??

            “Mereka sedar sekarang. Faizal tidak boleh hidup tanpa Naurah. Mereka tak tahan melihat Faizal menderita kehilangan Naurah..”

                                                *          *          *

            “Ini soal masa depan Naurah, saya dan Faizal. Naurah harus membuat keputusan yang bijak. Soal hati tidak boleh dipaksa..” Suara Suffian menjamah telinga setelah diaju tentang kedatangan keluarga Faizal untuk menyambung kembali ikatan.
           
            “Saya dengan rela hati sanggup mengundur diri. Asalkan Naurah bahagia dan saya juga bahagia..”

                                                *          *          *

            Malam itu Naurah menadah tangan ke hadrat Ilahi. Solat Istikharah baru selesai disempurnakannya. Satu keputusan harus diambil. Telapak tangannya diletak ke dada. Ya, benar. Naurah amat menyayanginya.

                                                *          *          *

            Sebentuk cincin terhias pada jari manisnya. Sekejap lagi pengantin lelaki akan datang bertandang.

            Terima kasih, Suffian. Naurah telah membuat keputusan. Harap keputusan ini bertepatan dengan kehendak-Nya.

            Laungan ibu memberitahu bahawa rombongan pengantin lelaki sudah tiba. Naurah merenung wajah di dalam cermin. Ya, Naurah telah menjadi milik Faizal sejak semalam lagi. 













No comments: