Selamat Maal-Hijrah 1435H

Selamat Maulidurrasul

Monday, February 12, 2018

Menyelami Alam Ciptaan Tuhan


KEUNGGULAN ISLAM

Menyelami Alam Ciptaan Allah

Susunan: Mohd Zamir bin Bahall


Pendahuluan

Kita sememangnya yakin alam yang maha luas dan besar ini bukanlah terjadi dengan sendirinya. Mustahil sesuatu itu terjadi dengan sendirinya melainkan ada yang menciptanya. Dan pencipta alam seluruhnya ini ialah ALLAH Tuhan bagi mereka yang bertaqwa.

Kita meyakini bahawa Allah s.w.t. bukan sahaja semata-mata mencipta bahkan mengatur pula perjalanan alam seluruhnya. Allah lah yang memutarkan bumi dan bulan  pada paksi dan orbitnya, menjadikan matahari bersinar, bulan bercahaya dan sebagainya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Katakanlah: Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang kuasa (menciptakan) pendengaran dan penglihatan, dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup, siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan menjawab: Allah. Maka katakanlah: Mengapa kamu tidak bertaqwa (kepada-Nya)?
(Yunus : 31)


PERLINDUNGAN ALLAH

Allah s.w.t. bukan sahaja mencipta dan mengatur alam sahaja, malah melindunginya juga. Tanpa perlindungan-Nya maka alam tidak mungkin dapat bertahan selama berjuta abad sebagaimana yang kita dapat saksikan pada hari ini. Tanpa perlindungan Allah, tidak mungkin ada kehidupan di atas muka bumi ini.

Untuk mengetahui betapa hebatnya perlindungan Allah maka mari kita perhatikan perkara berikut:


Putaran bumi

Kita semua dapat hidup di atas muka bumi ini kerana bumi berputar di atas paksinya dalam tempoh 24 jam sehari. Cuba bayangkan sekiranya bumi ini tidak berputar, mustahil kita dapat hidup dengan aman dan sentosa di permukaan bumi.

Dari putaran inilah terjadinya siang dan malam. Permukaannya yang menghadap matahari akan mengalami siang manakala permukaan yang membelakangkan matahari akan menjadi malam. Seandainya bumi tidak berputar maka sudah tentu bahagian yang menghadap matahari akan menjadi siang selama-lamanya hingga hari kiamat dan begitulah sebaliknya.

Apakah yang akan terjadi sekiranya siang berlaku terus menerus? Sudah pasti keadaan udara dan hawa dari saat ke saat, dari minit ke minit  dan dari jam ke jam akan menjadi bertambah panas. Dalam tempoh 100 jam sahaja udara akan mencapai takat didih 100ºC sehingga lautan, tasik, danau, sungai dan sebagainya akan mendidih dan menggelegak. Cuba anda bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya seluruh sungai, danau dan samudera mendidih airnya? Begitu juga darah yang mengalir di dalam tubuh kita juga turut mendidih. Dalam keadaan sedemikian, tidak ada satu pun makhluk yang dapat hidup. Semuanya akan mati dan musnah menjadi debu-debu yang berterbangan.

Apa pula yang akan terjadi sesudah 100 jam atau 1000 jam berikutnya? Bukan sahaja semua ini akan mendidih, bahkan semua permukaan bumi ini sama ada benda-benda pepejal atau sebagainya, akan menjadi bara api yang tersangat panas. Ketika itu, bukan setakat manusia sahaja akan mati terbakar malahan bumi ini sendiri akan terbakar menjadi debu dalam sekelip mata sahaja.

Kemudian apa pula yang akan terjadi sekiranya waktu malam berlaku terus menerus sehingga hari kiamat? Hawa dan udara dari saat ke saat dan seterusnya dari jam ke jam akan terus bertambah dingin sehingga dalam tempoh 100 jam sahaja akan mencapai takat 0ºC sehingga seluruh air dan benda yang cair akan membeku menjadi ais yang pejal dan keras. Mungkin di saat itu, manusia dan binatang-binatang masih dapat hidup seperti keadaan di Kutub Utara dan Selatan. Namun begitu, bagaimana pula keadaannya sesudah 100 jam atau 1000 jam berikutnya? Apabila udara dan suhu menjunam turun ke bawah paras 0ºC maka sudah pasti akan lenyaplah segala kehidupan di muka bumi ini.

Kedua-dua ibarat ini harus kita fikirkan sedalam-dalamnya untuk melihat betapa hebatnya kekuasaan Allah dan juga perlindungan-Nya yang diberikan untuk kehidupan setiap makhluk khasnya kita sebagai manusia yang dikurniakan akal fikiran yang sempurna. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Katakan pula, bagaimanakah pendapat kamu sekiranya Allah menjadikan siang terus menerus sampai hari kiamat? Siapakah selain Allah yang akan mendatang malam kepadamu yang kamu dapat beristirehat padanya?  Maka apakah kamu tidak memperhatikannya? Dan kerana rahmatnya-Nya, Dia jadikan untuk kamu malam dan siang supaya kamu beritirehat pada malam itu dan supaya kamu mencari sebahagian dari kurniaan-Nya (pada siang hari) dan agar kamu bersyukur kepada-Nya.
(Al-Qasas: 72-73)

Dengan adanya putaran bumi siang dan malam maka keadaan hawa di permukaan bumi ini menjadi seimbang dan sederhana iaitu tidak terlalu panas dan tidak terlalu dingin. Sehingga manusia, haiwan-haiwan dan tumbuh-tumbuhan dapat hidup dengan selesa di permukaan bumi ini.

Ya... semamangnya kita harus renungkan siapakah lagi selain Allah yang dapat memutarkan bumi sebesar ini? Iaitu planet yang berukur lilit 40,003 km dan beratnya beribu-ibu juta tan itu. Perkara ini hendaklah kita fikirkan sedalam-dalamnya. Seterusnya hendaklah kita selalu mengingati dan berterima kasih kepada Allah s.w.t. Janganlah kita sekali-kali menjadi orang-orang yang seakan-akan tidak mendengar dan melihatnya sedangkan kita mempunyai telinga, mata dan akal untuk bersyukur memuji-Nya.

Peredaran Bumi Mengelilingi Matahari

Selain daripada berputar atas paksinya, bumi juga berputar mengelilingi matahari dalam lingkaran orbitnya yang amat luas. Ingatlah bahawa jarak antara bumi dengan matahari adalah 149,000,000 km dan putarannya mengambil masa selama 365¼ hari iaitu setahun mengikut perkiraan kita.

Semasa beredar mengelilingi matahari, bumi akan berputar di atas paksinya dalam berkeadaan condong. Maka sesetengah negara yang terletak jauh dari garisan khatulistiwa akan lebih terdedah kepada cahaya matahari lalu jadilah musim panas ataupun kurang menerima cahaya matahari lalu jadikan musim sejuk. Sebagai akibat daripada pergantian musim ini terjadilah pelbagai jenis tumbuhan dan buah-buahan di permukaan bumi ini yang menjadi nikmat dan hikmah yang amat besar kepada seluruh kehidupan di muka bumi.

Begitulah keadaannya dari semasa ke semasa dan silih berganti tanpa henti-henti sehingga hari kiamat... akibat peredaran bumi di sekeliling matahari. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

... Dan engkau lihat bumi ini kering tetapi setelah kami turunkan air (hujan) padanya, ia menjadi lembut dan subur dan menumbuhkan pelbagai macam tumbuhan dan buah-buahan yang cantik dan lazat.
(Al-Hajj: 5)

Firmannya lagi yang bermaksud:
Dan kami hamparkan bumi itu dan kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh dan kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah dipandang mata.
(Qaaf: 7)

Jarak Di Antara Bumi Dengan Planet-Planet Lain

Kita sudah pun mengetahui jarak di antara bumi dengan matahari dan semamangnya telah dapat dibuktikan menerusi sains dan nas-nas Al-Quran bahawa jika jarak itu berubah sedikit sahaja maka terjadilah kerosakan yang amat dahsyat di bumi.

Sekiranya bumi mendekati matahari dengan kadar lebih atau kurang dari jarak yang sedia ada sekarang maka sudah pasti akan berlaku mala petaka dan bencana-bencana alam yang tidak terkira dahsyatnya. Begitulah juga bulan dan planet-planet lain, sekiranya terkeluar sedikit dari orbitnya sama ada terlebih atau terkurang nescaya akan berlanggaran antara satu sama lain.

Jarak tertentu yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. bagi bumi di tengah-tengah angkasa raya dan cakerawala-cakerawala ini merupakan perlindungan-Nya yang sangat besar faedah dan manfaatnya kepada seluruh kehidupan di muka bumi. Lebih-lebih lagi untuk kehidupan dan kesejahteraan hidup manusia. Semuanya ini harus kita renungkan. Jangan sekali-kali kita gunakan akal dan fikiran semata-mata untuk perkara-perkara yang kecil dan remeh sahaja seperti soal makan, pakaian, perhiasan dan sebagainya. Mengapa kita tidak gunakan keupayaan sebenar akal yang dikurniakan Tuhan iaitu untuk merenung alam ciptaan-Nya seterusnya mendatangkan kesedaran, keyakinan dan kegerunan kepada kebesaran Allah s.w.t. Ini selanjutnya dapat membina sikap dan akhlak yang sentiasa bertunjangkan ajaran Islam dan syariatnya. Menggunakan akal sedemikian barulah memberi faedah yang sebenar-benarnya kepada manusia yang membawa kepada kebahagiaan hidup dan jauh daripada amalan atau perbuatan yang merosakkan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak... Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.
(Al-Hadid : 20)

Jika kita renungkan sedalam-dalamnya bahawa setiap bintang dan palnet itu bebas bergerak di angkasa raya, bergerak dan berputar dari abad ke abad, masing-masing tetap pada jaraknya yang tertentu maka sedarilah betapa hebatnya kukuasaan Allah s.w.t. dalam mengatur segalanya sehingga saling tidak berlanggaran. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Matahari berjalan di tempat yang ditetapkan baginya. Demikianlah Allah Yang Maha Gagah Lagi Maha Mengetahui. Sedangkan bulan kami tentukan baginya tempat yang tertentu sehingga ia kembali berbentuk seperti pelepah kurma yang kering (bulan sabit). Tiadalah matahari mendekati bulan dan tidak pula malam mendahului siang sedang semuanya beredar pada garis edarannya (orbit).
(Yassin : 38-40)

Air Laut Yang Masin
Hampir ¾ bumi ini diliputi air. Di mana 97% daripadanya merupakan samudera yang luas dipenuhi air dengan rasanya yang masin. Pada waktu siang dan malam, berjuta-juta tan bahan buangan dan kotoran dibuang dan dilemparkan ke dalam laut. Jika sekiranya air laut itu tidak masin, sudah tentu kotoran itu akan mengeluarkan bau yang amat busuk sehingga dalam beberapa waktu sahaja air laut akan menjadi tersangat busuk. Bagaimanakah keadaan ketika itu? Kita tidak mampu menggambarkan apa yang bakal terjadi, hanya Allah-lah Yang Maha Mengetahui. Sekurang-kurangnya tertentu ia akan merosakkan kesihatan penghuni bumi ini.


Terciptanya air yang masin ini akan menjadi bukti betapa Allah s.w.t. melindungi segala kehidupan di permukaan bumi ini. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan), laut yang tawar lagi segar dan laut yang masin lagi pahit. Dan Dia jadikan diantara kedua-duanya dinding dan batas yang menghalangi.
(Al-Furqan : 53)

Laut (air) tawar yang dinyatakan di dalam ayat di atas adalah terdiri daripada sungai, danau, tasik dan sebagainya yang sekalipun berdekatan dengan laut namun ia tetap tidak bercampur dengan air masin. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Maka terangkanlah kepada-Ku tentang air yang kamu minum. Kamukah yang menurunkannya dari awan ataukah Kami yang menurunkan? Kalau kami kehendaki nescaya Kami jadikannya masin, maka mengapakah kamu tidak bersyukur?
(Al-Waqiah: 68-70)

Andainya perlindungan Allah s.w.t. kepada makhluk-Nya kita selidiki, kaji, ulas dan bahas maka sudah pasti ianya tidak akan tamat malahan jika ditulis ia akan menjadi jilidan buku yang tebalnya melebihi tinggi langit dan bumi.

Manusia yang celik mata hatinya dan peka pancainderanya akan mengakui bahawa walau secerdik mana manusia dan setinggi mana ilmu pengetahuannya, mereka tetap tidak mampu menlindungi diri mereka sendiri tanpa bantuan dan perlindungan Allah, lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan bencana alam seperti letupan gunung berapi, taufan, ombak besar (tsunami), gempa bumi dan banyak lagi Maha Suci Allah betapa  kerdilnya manusia dan betapa perkasanya Engkau.

KETERBATASAN ILMU MANUSIA

Bagaimana hebatnya ilmu pengetahuan yang telah dicapai dan yang akan dicapai oleh manusia, namun ianya masih sedikit sekali jika dibandingkan dengan besar dan luasnya alam semesta yang masih belum banyak diketahui dan diterokai oleh manusia. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Dan tidaklah kamu diberi ilmu pengetahuan kecuali sedikit.
(Al-Isra :85)

Tidak perlu kita perhatikan terlalu jauh, cukup dalam diri kita sendiri. Ada sesetengah pihak yang mengkaji tentang nyawa tetapi sehingga sekarang masih belum juga ditemui apakah hakikat nyawa itu. Bagaimana bentuk dan rupanya? Adakah ia  seperti air, udara atau... hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui. Sedangkan tentang diri sendiri pun banyak lagi yang kita tidak ketahui, inikan pula tentang bumi, planet-planet dan ruang angkasa, sekalipun ilmu pengetahuan manusia pada zaman teknologi maklumat ini lebih maju dan terkehadapan berbanding ilmu pengetahuan di zaman silam.

Apabila kita melihat langit, kita dapati ia kelihatan begitu dekat seolah-olah beberapa kilometer sahaja. Akan tetapi setelah ada manusia naik ke bulan maka didapatinya langit itu masih juga jauh. Sehinggakan planet yang terjatuh dari kelompok matahari iaitu Pluto, di sana juga masih terdapat langit. Ya... betapa luasnya alam maya ciptaan Tuhan.

Sejauhmana tinggi sekalipun ilmu pengetahuan seseorang namun ia tidak mampu menerangkan atau akalnya tidak memahami bagaimana sebenarnya rahsia perkembangan sebuah sel yang begitu halus yang bercantum sehingga menjadi makhluk berbentuk manusia, binatang atau tumbuhan. Ilmu yang dikurniakan Allah kepada  manusia adalah sangat sedikit diibaratkan jika kita ambil sebatang jarum lalu kita celupkan ke dalam laut lantas diangkat semula maka air yang terlekat di jarum itulah umpamanya pengetahuan manusia, sedangkan air laut yang masih tinggal di samudera luas adalah umpama luasnya pengetahuan Allah.

Bagi mengelakkan hati kita daripada mati, mata daripada buta dan telinga daripada tuli maka marilah kita menyelami alam semesta ciptaan Tuhan supaya kita tergolong ke dalam golongan yang disebut oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud:

Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka (dari petunjuk dan nasihat), dan penglihatan mereka ditutup (daripada mendapat pengajaran dari al-Quran dan alam semesta). Dan bagi mereka seksa yang amat berat.
(Al-Baqarah : 7)

Seluruh alam yang dapat kita lihat dengan mata kasar adalah terdiri dari kelompok matahari kerana mataharilah yang menjadi induk dan terpenting. Marilah kita renungkan saban hari apabila sang suria memancarkan sinarnya, alam semesta akan menjadi terang benderang. Apabila sang suria beradu di ufuk barat, pada mulanya cahaya kelihatan samar-samar kemudian seluruh alam gelap gelita. Apabila malam terus merangkak, sang bulan pula muncul dan bercahaya dengan dihiasi bintang-bintang yang berkelipan, namun ia tetap tidak dapat menyamai siang yang terangnya diberikan oleh matahari.

Apabila kita pada suatu malam berkunjung ke tepi pantai dengan langit yang cerah dan melihat ke lautan yang luas, kita akan dapat menyaksikan sendiri betapa hebat dan luasnya alam semesta raya ini. Lautan terdampar luas di hadapan kita dengan riak dan gelombangnya yang tidak pernah membosankan, sedang di angkasa raya bertaburan berjuta-juta bintang kecil dan besar dengan sinarnya yang berkedip-kedipan sampai ke mata kita. Ketika dan saat itu, kita dapat rasakan betapa tenangnya jiwa dan perasaan kita tambahan pula diiringi oleh hembusan bayu malam yang dingin. Tiada seorang pun yang tidak merasai kagum dan terpesona melihat keindahan alam di waktu malam yang indah dan permai itu.

Apabila kita melihat ke angkasa dengan kasar, kita hanya dapat menyaksikan sebahagian kecil sahaja alam semesta kerana keupayaan mata kita terbatas. Apabila kita memandang ke angkasa raya dengan menggunakan teleskop maka kita akan menjadi lebih kagum. Angkasa raya terbukti seribu kali lebih hebat dari apa yang dapat kita saksikan dengan mata kasar.

Sememangnya kita sebagai manusia haruslah memikirkan kejadian dan keadaan alam cakerawala yang maha luas ini. Sudah pasti manusia yang merasa kagum terhadap kehebatan dan keluasan alam semesta ini, akan merasai lebih kagum lagi tentang kebesaran Allah yang menciptakannya. Jika masih ada lagi manusia yang kagum dengan alam semesta tetapi tidak kagum langsung terhadap penciptanya maka itulah manusia yang disifatkan Allah lebih hina daripada haiwan lantaran mensia-siakan akal fikiran kurniaan Tuhan.

Ini baru setakat perbicaraan tentang luas dan jarak planet di antara planet-planet yang lain, belum lagi membicarakan susunan dan peredaran bintang-bintang di angkasa raya. Sekiranya kita benar-benar mengkaji dan menyelidik kemudian mencatatkan segalanya tanpa tertinggal walau satu pun nescaya tidak akan cukup samudera yang luas pada pandangan kita ini sebagai dakwat dan tidak cukup seluruh ranting dan dahan kayu untuk dijadikan pena. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Katakanlah: Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat (ilmu) Tuhanku, maka akan habislah lautan ini sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).
(Al-Kahfi: 109)

Jika di bandingkan dengan alam cakerawala yang maha luas ini, bumi adalah ibarat debu yang halus sahaja. Jika bumi merupakan debu, maka air laut yang ada di muka bumi ini hanyalah berupa ¾ debu, tentu sahaja tidak cukup untuk mencatat alam semesta yang luas dan banyak itu. Inilah kekaguman terhadap kehebatan dan luasnya alam semesta ciptaan Tuhan yang tidak dapat dinafikan oleh setiap manusia yang mempunyai akal.

Manusia yang merupakan satu unit daripada alam semesta ini tidak kurang juga keajaibannya tersendiri. Jika kita mengkaji sel-sel dalam tubuh badan manusia seperti kromosom maka kita akan dapati bahawa di dalam kromosom terdapat pula gen yang tersangat halus yang akan membawa perwarisan sesuatu keturunan kepada generasi yang akan datang. Untuk melihat sel ini kita perlu menggunakan mikroskop atau mikroskop elektron. Cuba anda bayangkan betapa telitinya Allah s.w.t. mengatur segala kejadian di alam ini. Kesemuanya ini menimbulkan kehairanan dan pertanyaan kepada setiap sarjana-sarjana sains. Apakah yang sebenarnya ada di sebalik keanehan dan keajaiban itu? Mungkinkah keanehan itu sendiri yang melahirkan keanehan tersebut? Walau apa sekalipun, pasti ada pencipta segala keanehan itu. Ya... sudah pasti. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin, dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?
(Az-Zariyat: 20-21)

Cuba kita perhatikan bakteria pula. Bukan sahaja ia merupakan makhluk yang sangat halus, malahan mempunyai pelbagai bentuk pula. Ada yang berbentuk bulat (coccus), ada yang leper (becillus), ada yang panjang (spirillium) dan bermacam-macam lagi, hanya orang-orang yang mengkaji sahaja yang mengetahui. Rasanya jika ahli-ahli sains itu insaf terhadap kejadian-kejadian seumpama ini, maka tentunya mereka akan beriman dan iman mereka pasti lebih kukuh terhadap Allah s.w.t. berbanding orang lain.

KEJADIAN MANUSIA ADALAH NIKMAT

Lazimnya, sesudah memikirkan segala kejadian alam semesta dan keagungan Allah yang menciptakannya, akhirnya kita akan kembali memikirkan kejadian diri kita sendiri. Kita tercipta daripada ibu bapa kita dan sekiranya ibu bapa tiada atau salah seorangnya tiada, tentu sahaja kita tidak mungkin dilahirkan ke dunia ini.

Cuba kita renung dan fikirkan, bagaimana kiranya kita tidak ada, tidak pernah ada, tidak tertulis di Loh Mahfuz atau tidak pernah dilahirkan ke dunia. Jika tidak mencipta kita sudah pasti kita tidak ada. Jika kita tidak ada, sudah tentu kita tidak mengetahui adanya alam semesta yang luas ini. Tentu kita tidak kenal matahari dan bulan, tidak kenal manisnya gula, lazatnya makanan dan hidangan. Kita juga tentunya tidak dapat merasakan indahnya rasa kasih sayang, cinta dan tentunya saat-saat bahagia tidak mungkin kita rasai.

Syukur, alhamdulillah, kini kita telah ada dan wujud. Kita sudah dapat menyaksikan keindahan alam maya, dapat melihat pelbagai warna dan pemandangan, melihat sang suria, bulan dan bintang-bintang yang menghiasai segala ruang angkasa. Kita sudah dapat menikmati pelbagai makanan dan hidangan yang lazat dan enak. Kita juga telah dapat merasai betapa indahnya belaian kasih sayang, cinta dan saat-saat kebahagiaan. Seterusnya kita dapat mengenali siapa pencipta kepada semuanya ini termasuk alam yang maha luas ini. Lalu kita dapat menikmati kasih dan sayang-Nya serta bernaung di bawah lindungan dan rahmat-Nya. Inilah sebenarnya nikmat terbesar yang telah Allah kurniakan kepada kita. Kita seharusnya menggandakan rasa kesyukuran dan berterima kasih kepada Allah kerana bukan sahaja telah menjadikan kita, bahkan telah memilih kita menjadi umat-nya yang beriman dan diberikan petunjuk dan hidayah-Nya. Sehingga kita dapat mengenali Pencipta kepada alam semesta ini yang begitu indah dan teliti sekali.



KESIMPULAN

Oleh itu, kita sebagai insan yang telah diberi panduan hidup iaitu ajaran Islam yang berasaskan al-Quran dan sunnah, haruslah memikirkan dengan sedalam-dalamnya di dalam hati dan sanubari kita tentang kekuasaan Allah dan sifat Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang-Nya yang amat luas ini. Kita hendaklah selalu mengingati dan berterima kasih kepada-Nya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Dan terhadap nikmat Tuhanmu maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (dengan bersyukur).
(Ad-Dhuha:11)

Janganlah kita termasuk di dalam golongan mereka yang lalai dan langsung tidak bersyukur kepada Penciptanya yang Maha Agung. Segala pujian hanya bagi Allah Tuhan semesta alam. Dari Allah kita datang dan kepadanya-Nya jua kita kembali.


Sumber:
http://syededlee.tripod.com/keunggulanislam/id57.html












Friday, February 9, 2018

Bahaya Tidak Tutup Aurat

BAHAYA TAK TUTUP AURAT DARI KAJIAN SAINS
Posted by: Kakilepakz Posted date: 10:05 PM / comment : 23



Bahaya Tak Tutup Aurat Dari Kajian Sains | Rasulullah bersabda, "Para wanita yang berpakaian tetapi (pada hakikatnya) telanjang, lenggak-lengkok, kepala mereka seperti punuk unta, mereka tidak akan masuk syurga dan tidak mencium semerbak harumnya (HR. Abu Daud) Rasulullah bersabda," Tidak diterima solat wanita dewasa kecuali yang memakai khimar (tudung) (HR. Ahmad, Abu Daud, Tirmidzi, bn Majah)

Kajian ilmiah kontemporari telah mendapati perempuan yang tidak bertudung atau berpakaian tetapi ketat, atau telus, akan mengalami pelbagai penyakit kanser di bahagian anggota tubuhnya yang terbuka dan yang mengenakan pakaian ketat-ketat.

Majalah perubatan Britain mengeluarkan hasil kajian ilmiah ini dengan mengutip beberapa fakta, antaranya bahawa kanser milanoma pada usia awal, dan semakin bertambah dan merebak sehingga di kaki.

Sebab utama penyakit kanser ini adalah pakaian ketat yang dikenakan oleh perempuan di bawah terik matahari dalam waktu yang panjang selepas bertahun-tahun. Sarung kaki nilon yang mereka kenakan tidak sedikitpun bermanfaat dalam menjaga kaki mereka dari kanser.

Majalah perubatan Britain tersebut telah pun telah melakukan undian tentang penyakit milanoma ini, dan seolah keadaan mereka mirip dengan keadaan orang-orang penderhaka (orang-orang kafir Arab) yang di da'wahi oleh Rasulullah.

Tentang hal ini Allah berfirman: "Dan ingatlah ketika mereka katakan: Ya Allah andai hal ini (Al-Qur'an) adalah benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih" (Surah Al-Anfaal: 32) Dan sungguh telah datang azab yang pedih ataupun yang lebih ringan dari hal itu, iaitu kanser di mana kanser itu adalah seganas-ganasnya kanser dari pelbagai kanser.

Penyakit ini merupakan akibat dari sengatan matahari yang mengandungi ultra violet dalam waktu yang panjang disetiap pakaian yang ketat.

Sumber: Malaysian News

Hari Ke-2 Di INS: Selepas Kelahiran Muhammad Jihad Uwais

Tiba-tiba aku terasa sesak nafas, tidak mampu menyedut oksigen dengan baik, rasa macam hendak pitam. Aku segera menekan punat memanggil jururawat.

Secepat kilat aku sudah dikerumuni belasan jururawat. Dalam sedar tak sedar, aku dengar jururawat-jururawat itu bercakap sesama sendiri mengenai ubat mana yang hendak dimasukkan melalui salur di tanganku. Terasa diriku benar- benar aku kini berada di dalam drama doktor-doktor yang pernah kutonton di kaca televisyen. Bezanya, kali ini akulah pesakit itu.

Dalam banyak-banyak suara itu, aku juga terdengar suara Doktor Anuar Husaini. Entah bila agaknya aku benar-benar sedar daripada keadaan itu semua.

Kala itu, baru aku perhatikan betul-betul keadaan sekelilingku dan aku dapati aku sedang dikerumuni oleh jururawat-jururawat yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia, juga Doktor Anuar Husaini. Ketika itu, barulah aku dapat bercakap dengan baik. Mereka semua meninggalkanku untuk beristirehat setelah mendapati aku benar-benar sudah stabil. Mereka juga berpesan supaya tidak segan-silu untuk memanggil mereka selepas ini jika perlukan apa-apa bantuan.

Thursday, February 8, 2018

Saat-Saat Kelahiran Muhammad Jihad Uwais: Ceaser Buat Kali Kedua

Malam itu air berbau busuk warna kehijauan keluar dengan banyak sekali dari rahimku. Kusangkakan air kencing selama ini. Tetapi rupanya air ketuban itu telah lama keluar selama tiga hari dan aku tidak sedar memandangkan aku asyik terkencing selama ini.

Aku jadi gementar. Bimbang akan keselamatan anak dan diri. Aku dan suami bergegas ke INS, dan di sana aku ditahan wad dan disuntik ubat penguat peparu untuk anak. Juga ubat untuk buang air besar.

Malam itu, berkali-kali aku bangun untuk membuang air kecil dan air besar di tandas. Sungguh seksa!

Pukul 9.00 pagi aku terus dimasukkan ke dewan bedah. Dibius sekerat badan. Dalam sedar dan tidak sedar, aku dengar bunyi seperti mesin gergaji dan aku fikir barangkali itu adalah bunyi pisau panas yang digunakan untuk membedahku. Rasa ngilu bertimpa-timpa. Jiwa dan nyawaku masa itu kuserahkan bulat-bulat kepada Allah.

Dalam masa yang sama, kurasakan tangan suamiku memegang tangan kananku untuk memberi kekuatan sambil menepuk berkali-kali. Rasa sedikit lega apabila tahu dia ada di sisi.

Itulah istimewanya bersalin di INS. Suami dibenarkan masuk ke dewan bedah untuk menemani isteri dan tindakan warga INS sungguh pantas bagaikan berada di dalam drama hospital Jepun yang berkisar tentang kehidupan sebenar doktor-doktor dan jururawat-jururawat yang begitu cekap mengendali sesuatu kes kecemasan.

Tiba-tiba aku ternampak wajah Dr Anuar Husaini yang bertutup kepala dengan plastik khas memanggil namaku.
"Rohaida, sudah siap!".Separuh hati aku
sedikit lega.

Seorang jururawat membawakan anakku kepadaku. Aku yang masih separuh sedar melihat sekali lalu anakku itu.
"Tidak mengapalah kulit gelap pun , asalkan dia sihat!" Itu yang terbetik di hatiku ketika itu.

Alhamdulillah segalanya selamat dan aku sedang menunggu masa untuk dihantar ke bilik pesakit. Satu kelegaan hinggap di hatiku.

Sunday, January 28, 2018

Wajah Jesus dan the shroud of turin

waJah JeSuS ChRist @ Isa al-masih

Manisfestasi wajah

Nabi Isa tidak dilahirkan dengan jolokan nama Christ, baginda dilahirkan dengan nama יהשוה (dalam Aramaic) atau Yeshua atau Yishua atau Jehoshua atau juga disebut Isa dalam sebutan Arab, disebut Jesus dalam sebutan Inggeris. Nama jolokan Christ pula diambil dari sebutan Greek iaitu Christos bermaksud penyelamat. Majoriti daripada kita sedia tahu perkara ini.

Berdasarkan sejarah agama Kristian, manifestasi wajah Jesus dibuat oleh dua individu iaitu Sister Marie of Saint Peter di Perancis pada 1840-an dan Saint Veronica Berenice yang dikatakan hidup semasa hayat Jesus. Dalam sumber lain pula, Sister Maria Pierina de Micheli di Milan Itali pada 1930-an juga dikatakan menjadi individu yang melakar wajah jesus bagi mengesahkan lakaran-lakaran sebelumnya selepas dikatakan mendapat visi yang sama. 

Menurut tradisi itu, pada 1843, Sister Marie dikatakan dibayangi wajah seorang lelaki yang mengatakan dirinya adalah Jesus. Marie kemudian dikatakan terus dibayangi wajah lelaki tersebut secara lengkap dan juga dikatakan mengalami visi mengadakan perbualan bersama Jesus dan ibunya Mary. Dalam visi itu, Mary dikatakan diperintah supaya melakar wajah Jesus dan menyebarkannya kepada orang ramai.

Dalam tradisi Kristian melalui kisah Saint Veronica pula, wanita ini dikatakan tinggal di Jerusalem semasa hayat Jesus dan menyaksikan Jesus menanggung kayu salib di belakang badannya sebelum dihukum salib. Veronica dikatakan sebagai saksi yang melihat peristiwa salib. Dalam peristiwa itu, Veronica memberi sapu tangannya kepada Jesus untuk mengelap peluh di dahi Jesus. Selepas Jesus menyerahkan semula kain sapu tangan itu kepada Veronica dan terus menanggung kayu salib, Veronica dikatakan tidak henti-henti dibayangi wajah jesus.  Juga dikatakan, wajah Jesus kemudian terlukis dengan sendirinya di atas kain sapu tangan tersebut dan disimpan Veronica sehingga sentimen kebencian kaum Yahudi terhadap Jesus semakin berkurangan.


Saint Veronica dengan sapu tangannya

Menerusi sumber Katolik, terdapat lebih 100 variasi wajah Jesus yang didakwa sebagai mendapat bayangan daripada ‘Holy Spirit’. Jumlah tersebut juga termasuk bayangan yang dibuat Sister Marie, Saint Veronica dan Sister Maria. Persoalannya, jika semua mengatakan mendapat bayangan daripada bantuan ‘Holy Spirit’, mengapa pula bayangan itu tidak sama. Atau mungkin individu-individu yang mendapat bayangan itu tiada kemahiran melukis? Mana satu wajah yang betul?




Setiap wajah Jesus yang digambarkan pasti mempunyai perbezaan, mana satu yang betul?

{tambahan: siapa yang melakar wajah jesus?}





Kita sebagai umat Islam pula sememangnya ditegah untuk melakar wajah para nabi, para sahabat, malaikat, syurga dan sebagainya bagi menjauhkan akidah Muslim daripada tersesat.

Menurut Gary Petty dalam artikelnya melalui majalah Popular Mechanics bertajuk ‘What Did Jesus Look Like?’ dijelaskan mengenai beberapa ciri yang terdapat pada wajah Jesus.

Kata Petty, di Amerika Utara, wajah Jesus digambarkan sebagai kurus, tinggi, berambut perang, berambut panjang, berkulit cerah, mata hitam. Tambah Petty lagi, wajah Jesus banyak dilakar ketika era Eropah klasik sebagai seorang yang tegap dan tinggi. Manakala di Afrika, Jesus digambarkan dengan penampilan yang tidak sama.

Petty turut memetik hasil tulisan Mike Fillon yang mengatakan, saintis British menggunakan kaedah yang sama dengan kaedah forensik polis dalam membantu ahli arkeologi Israel untuk menjejak dan mencipta semula wajah Jesus melalui peninggalan sejarah yang ditemui.

Melalui kaedah forensik itu, berdasarkan penemuan tulang-tulang orang Yahudi di sekitar Jerusalem, mereka menyimpulkan bahawa seseorang lelaki Yahudi mempunyai purata ketinggian 5 kaki 1 inci, dan Jesus juga mungkin mempunyai ketinggian yang hampir sama manakala purata berat badan pula sekitar 50 kilogram (110 pound).

Petty juga menyangkal tanggapan mengenai rambut Jesus yang dikatakan panjang. Imej berambut panjang adalah tidak secocok dengan penemuan ahli forensik sejarah. Imej berambut panjang adalah tidak sesuai dengan budaya dan kepercayaan Yahudi pada masa itu seperti disebutkan dalam Kitab Bible Corinthians 11:14 versi Revised King James yang menyebut “…it is a shame for a man to have long hair..”.

Dalam versi New American Bible pula disebut “Does not nature itself teach you that if a man wears his hair long it is a disgrace to him” juga dalam Corinthians 11:14.

Dalam Corinthians 11:14 versi King James pula menyebut: “Every man praying or prophesying, having his head covered, dishonoureth his head.”

(Selalu ada orang yang cuba menafikan dengan bertanya kepada saya, “dari Bible versi mana kamu ambil ayat itu? ayatnya berbeza dengan dalam Bible yang saya sedang pegang”. Saya tanya semula supaya mereka berfikir, “jika banyak versi..masih tulenkah ayat-ayat dalam Bible yang didakwa sebagai kata-kata Tuhan?” – Sheikh Ahmed Deedat, semoga Allah merahmati jasad dan rohnya)

Ulas Petty lagi, keterangan dalam Bible juga boleh mewakili budaya masyarakat Yahudi pada zaman Jesus, maka Jesus juga tidak berambut panjang kerana untuk menghormati budaya bagi memudahkan kerja dakwahnya. Jika Jesus berambut panjang, orang Yahudi akan memusuhinya dan dakwah Jesus akan terganggu. Maka. Jesus semestinya berambut pendek demi dakwahnya.

Ulasan Petty tidak berakhir di situ, beliau tetap mengaitkan rambut panjang Jesus supaya selari dengan gambaran perihal wajah Jesus yang ada pada hari ini. Petty menjelaskan, Jesus hanya berambut panjang sekali dalam hidupnya iaitu selepas mengadakan sumpah setia dengan pengikutnya melalui upacara meminum wine. Petty tetap mencari kontradiksi dengan mengaitkan meminum arak adalah salah di sisi perkara yang terkandung dalam sumpah setia itu.

Di sini, kita dapat melihat bahawa penjelasan yang diberikan adalah bersalahan sesama sendiri. Jesus tidak minum arak, tetapi mengapa pula Jesus mesti minum wine dalam melengkapkan upacara sumpah setia itu? Petty terus berusaha menafikan dengan mengatakan Jesus tidak pernah tertakluk kepada sumpah itu. Jadi, bagaimana pula dengan pengikutnya yang dikatakan turut meminum wine dalam upacara itu kerana mereka sememangnya tertakluk dengan sumpah itu?

Bagi kita sebagai umat Islam, para nabi adalah manusia yang taat kepada Allah maka arak atau minuman sejenis dengannya sentiasa dijauhi para nabi. Kita melihat kontradiksi ini melalui perspektif agama yang kita cintai iaitu Islam. Islam ada jawapannya. Dakwaan bahawa Jesus minum arak dan bentuk wajahnya adalah fitnah semata-mata. Ia mungkin sengaja diwujudkan bagi mewakili seorang manusia lain.

Berbalik kepada isu rambut Jesus yang dikatakan panjang, Petty memetik dalam Kitab Revelation 1 yang mengatakan rambut Jesus ‘putih seperti kapas’dan ‘mata bercahaya seperti api’. Masih tidak kukuh, dinyatakan dalam ayat itu ialah rambut putih, bukan panjang. Penanda aras melalui warna dan ukuran juga tidak pernah sama maksudnya.
--
Wajah Jesus yang digambarkan dalam kepercayaan Nasrani adalah sesuatu yang direka-reka, ia bagi membolehkan ingatan terhadap wajah itu melekat pada pemikiran, minda dan memori manusia. Apabila nanti ada seorang lelaki datang dengan wajah yang sama pada akhir waktu, manusia akan membuat tanggapan bahawa itulah Isa yang hadir sebagai penyelamat umat manusia. Imej berambut putih juga sangat secocok dengan imej Merlin. Lelaki yang sama. Ia satu perancangan fitnah yang teratur. Fitnah terhadap Isa, fitnah terhadap Allah, fitnah terhadap agama yang mentauhidkan Allah.



Leonardo da Vinci
(1452-1519)

Didalam kes "shroud of Turin" ( kafan Turin ) dikatakan membaluti tubuh isa@jesus selepas disalib adalah ternyata palsu.Di kain linen tersebut terdapat imej lelaki seperti mati dalam keadaan tersiksa.Namun bagi umat Islam kita telah diberitahu oleh Al-Quran dan Nabi Muhammad bahawa Nabi Isa A.S telah diangkat kelangit serta diselamatkan oleh ALLAH sebelum disalib  dan akan diturunkan ke bumi pada akhir zaman untuk membunuh Dajjal Laknatullah.

Berbalik kepada kisah Shroud Of Turin, dikatakan imej pada kain ini adalah milik Christ , walhal kajian yang telah dilakukan oleh 3 buah University terkemuka menyangkal imej tersebut, iaitu University of Oxford,University of Arizon dan Swiss Federal Institue of Technology. University-university tersebut telah melakukan satu kajian terperinci dari segi fakta sejarah dan sains. Setelah ujian Pentarikhan RadioCarbon ,didapati kain tersebut adalah dihasilkan di sekitar tahun 1260-1390 selepas masihi.

Dan setelah kajian lanjut dijalankan didapati terdapat kaitan diantara kain ini dengan artis terkemuka iaitu Lernardo DaVincci , kajinan juga memutuskan bahawa Leonardo sendiri telah memalsukan kain tersebut dengan meletakkan wajahnya sendiri.Diketahui bahawa Leonardo memang berkebolehan dari segi seni dan sains.


Shroud Of Turin


Dari sini kita dapat lihat terdapat segala macam tipu daya yang telah dilakukan dalam agama Kristian itu sendiri.


Bagi kita pula sebagai umat Islam, kita ditegah sama sekali untuk melakar wajah para nabi. {Malah melukis gambar makhluk bernyawa juga haram - disinilah rasionalnya kenapa Islam tidak membenarkan umatnya melukis atau menyimpan atau mempamirkan lukisan makhluk benyawa - tambahan}. Hanya al-Mahdi yang akan membantu kita mengenali siapa Nabi Isa yang sebenar ketika dunia akan ditamatkan segala episodnya.
Posted by ~sakiNah~ at 1:51 PM
Labels: shroud of turin

Sumber:
http://ceritasatumalam.blogspot.my/2010/07/wajah-jesus-christ-isa-al-masih.html

Tuesday, November 21, 2017

Penawar Sihir

Penawar Terbaik bagi menawarkan sihir@Ilmu hitam



Sihir atau ilmu hitam satu perkara yang amat ditakuti oleh semua manusia kerana sekali kita terkena ilmu sihir atau ilmu hitam maknanya kita akan mengalami penderitaan yang sukar dilafazkan dengan perkataan. Tahukah kita perbuatan sihir ini boleh membuat seseorang itu akan menderita dari segi emosi dan mentalnya kerana sihir ini selalunya akan menyerang otak mangsa dan akan menyebabkan mangsa berada didalam keadaan yang tidak waras dan kadang-kadang tidak dapat mengawal diri mereka. Kadang-kadang pelbagai kaedah rawatan yang diusahakan sama ada dari Ustaz atau tok bomoh tetapi hakikatnya sihir ini amat payah untuk sembuh kecuali dengan izin Allah s..w.t.

Ada yang telah habis beribu wang ringgit semata-mata untuk mendapatkan rawatan angkara sihir atau ilmu hitam. Sihir ini pula tergolong daripada pelbagai jenis. Pengalaman saya sendiri yang telah merentasi pelbagai negerti untuk cuba mendapatkan rawatan dengan pengamal rawatan Islam tidak pernah menemui jalan penyelesaian. Sampai sekarang pun saya masih mengalami gangguan-gangguan mistik walaupun tidaklah seteruk sewaktu mula-mula saya terkenal dulu.

Seorang pengamal perubatan Islam pernah memberitahu saya bahawa seseorang yang terkenal sihir harus memperkuatkan kerohaniannya dengan amal ibadah kerana perawat hanya dapat membantu antara 10 hingga 15% sahaja dalam merawat pesakit sihir selebihnya pesakit itu sendiri harus berusaha untuk merawat dirinya sendiri denga cara mendekatkan diri kepada Allah s.w.t kerana kejahatan sihir ini berlaku dengan izin Allah.

Tahukah anda ubat yang paling mudah dan paling mujarab dalam menyembuhkan penyakit sihir ini hakikatnya terletak pada usaha diri kita sendiri serta pertolongan terus dari Allah SWT tanpa ada perantara seperti bomoh, ustaz, Jin Islam, atau apa-apa perantara yang lain. Bukan menafikan khidmat ustaz atau pengamal perubatan tradisional yang lain tetapi saya sudah banyak kali berubat hampir 50 perawat atau pengamal perubatan tradisional yang telah saya ketemui namun sakitnya hanya hilang sekejap tetapi ianya datang kembali.



Namun berkat dari usaha saya dan dengan pertolongan dari Allah SWT saya menemui amalan atau ilmu yang sangat mujarab bagi merawat penyakit yang saya hadapi selama hampir 4 tahun ini.

Berikut amalan yang saya lakukan, sememangnya amalan ini yang biasa dilakukan apabila setiap kali selesai kita bersolat seharian cuma bezanya di sini kita tambahkan keyakinan sepenuhnya kita kepada Allah SWT serta lakukan dengan bersungguh-sungguh dengan penuh khusyuk dan istiqomah.

Amalkanlah secara istiqomah dan penuh keyakinan bahawa Allah SWT yang sebenar-benarnya menyembuhkan penyakit kita.

1. Pertama sekali kita perlu yakin bahawa penyakit ini datangnya dari Allah SWT sebagai ujian dari-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud ; “Dan kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. (Surah al-Anbiya’: ayat 35)

2. Kosongkan fikiran anda walaupun anda sememangnya mengetahui bahawa sakit anda adalah kerana dianiayai atau disihir oleh si folan bin si folan, kosongkan fikiran anda dan anggap ia satu ujian dari Allah swt dan manusia itu sebagai penyebabnya sahaja. Buangkan semua syak wasangka sesama manusia atau sesama mahkluk tentang penyakit yang dihidapi itu.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: “Apabila aku menguji seseorang dari hamba-hamba-Ku yang mukmin dengan sesuatu penyakit, lalu ia memuji-Ku kerana ujian-Ku itu maka sesungguhnya ia akan bangkit dari tempat baringnya itu seperti masa ia dilahirkan oleh ibunya - bersih dari segala kesalahan”, dan Tuhan Tabaraka wa Taala berfirman kepada Malaikat penulis amal itu: “Aku telah mengikat hamba-Ku itu dan telah mengujinya, maka lakukanlah kepadanya apa yang kamu biasa lakukan untuknya (menulis amal baiknya) semasa ia berkeadaan sihat”. (Hadith Riwayat Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi r.a)

3. Ingatlah dan yakinlah bahawa sakit yang kita alami ini adalah untuk menghapuskan dosa-dosa kecil kita serta untuk meningkatkan darjat seseorang mukmin itu. Nabi s.a.w pernah bersabda: “Tidak ada sesuatu yang menimpa seseorang Islam sama ada kepenatan, kesakitan, kesusahan memikirkan perkara yang akan datang, kedukaan, sesuatu yang menyakiti, atau kesusahan meningatkan apa yang telah berlaku - sehinggakan tikaman duri yang mencucuknya - melainkan Allah hapuskan dengan sebabnya, sebahagian dari dosa-dosanya.” (Hadith Riwayat Abu Sa’id al-Khudri dan Abu Hurairah r.a)

3. Peliharalah solat 5 waktu anda dan solat tepat pada waktunya, jika boleh solat berjamaah di masjid. Jika tidak mengizinkan maka solat lah tepat pada waktunya. Kerana ketahuilah banyak fadilat solat 5 waktu tepat pada waktunya yang tidak kita ketahui lagi di antaranya ialah serangan makhluk halus ini pada seseorang manusia sering berlaku pada perubahan waktu seperti dari waktu pagi ke tengahari (waktu Zuhor), perubahan waktu tengahari ke petang (waktu Asar), perubahan waktu dari petang ke senja (waktu maghrib) dan waktu maghrib paling banyak atau biasa sekali serangan ke atas manusia. Jadi jika kita sentiasa solat pada waktunya Insyallah dengan izin Allah kita terselamat dari serangan ini.

4. Amalkan wirid di bawah selepas tiap kali menunaikan solat fardhu :
Beristighfar (3 X)
Membaca surah al-Fatihah (1X)
Membaca surah al-Ikhlas (3x) atau (1x)
Membaca surah al-Falaq (1x)
Membaca surah an-Nas (1x)
Membaca ayatul kursy (dengan 7 wakaf - 7 kali tempat berhenti)
Zikir (Subhanallah 33x, Alhamdulillah 33x, Allah hu Akbar 33x)
Berdoa
5. Amalkan solat hajat (2 rakaat) atau lebih pada tiap-tiap kali sebelum tidur atau selepas solat Isyak atau Maghrib dan amalkan pada tiap-tiap hari. Banyak cara mengerjakan solat hajat ini salah satu caranya ialah rakaat pertama baca al-Fatihah (1x) dan surah al-Kafirun (3x) manakala rakaat kedua bacalah surah al-Fatihah (1x) dan surah al-Ikhlas (3x), semasa sujud terakhir bermohonlah di dalam hati (jangan lafazkan) semoga disembuhkan penyakit. Amalkan solat hajat ini secara berterusan sehingga sembuh penyakit.



Mohonlah / berdoalah sepenuh keyakinan anda kepada Allah SWT agar disembuhkan segala penyakit atau gangguan yang anda hadapi. Dari Ibnu Abbas r.a katanya:”Rasulullah s.a.w membuka tirai (kamarnya ketika baginda sakit akan meninggal), padahal ketika itu jamaah sedang solat berjamaah diimami Abu Bakar. Lalu baginda bersabda:”Sesungguhnya tidak ada lagi wahyu kenabian yang ketinggalan yang harus aku sampaikan, kecuali mimpi baik seorang muslim. Ketahuilah! Aku dilarang membaca al-Quran dalam rukuk dan sujud. Agungkanlah Allah Azza wa Jalla di dalam rukuk dan perbanyakkanlah doa di dalam sujud pasti doamu diperkenankan Allah S.W.T.” (Hadith Riwayat Muslim) .

6. Jika mampu amalkan solat sunat witir sekurang-kurangnya (3 rakaat) sebelum tidur. Dan amalkan Surah al-mathurat setiap kali lepas solat maghrib atau isyak.

Semoga dengan amalan ini saya doakan agar penyakit anda akan sembuh dengan pertolongan terus dari Allah SWT. Alhamdulillah saya juga pernah mengalami sakit sebegini dan saya mengamalkannya memang kesannya sungguh menakjubkan. Yang pentingnya keyakinan kita bahawa Allah SWT lah tempat kita bergatung dan hanya Allah SWT sahajalah yang dapat menyembuhkan segala jenis penyakit yang kita hadapi selama ini.
Apa yang harus diingitkan elaklah dari mendapat rawatan  yang terpesong daripada kaedah perubatan Islam kerana dikhuatiri kita akan jatuh hukum mengsyirikan Allah s.w.t kerana saya masih teringat kata-kata Al-Fadzil Ustaz Dato' Haji Ismail Kamus yang menyatakan mati dalam beriman Kepada Allah itu lebih baik daripada hidup dengan menyekutukan Allah s.w.t
Posted by Ajit Kembara Sufi at 10:57 PM

Sumber:
http://ajitkembarasufi.blogspot.my/2011/07/sihir-atau-ilmu-hitam-satu-perkara-yang.html

Saturday, November 11, 2017