Tiba-tiba aku terasa sesak nafas, tidak mampu menyedut oksigen dengan baik, rasa macam hendak pitam. Aku segera menekan punat memanggil jururawat.
Secepat kilat aku sudah dikerumuni belasan jururawat. Dalam sedar tak sedar, aku dengar jururawat-jururawat itu bercakap sesama sendiri mengenai ubat mana yang hendak dimasukkan melalui salur di tanganku. Terasa diriku benar- benar aku kini berada di dalam drama doktor-doktor yang pernah kutonton di kaca televisyen. Bezanya, kali ini akulah pesakit itu.
Dalam banyak-banyak suara itu, aku juga terdengar suara Doktor Anuar Husaini. Entah bila agaknya aku benar-benar sedar daripada keadaan itu semua.
Kala itu, baru aku perhatikan betul-betul keadaan sekelilingku dan aku dapati aku sedang dikerumuni oleh jururawat-jururawat yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia, juga Doktor Anuar Husaini. Ketika itu, barulah aku dapat bercakap dengan baik. Mereka semua meninggalkanku untuk beristirehat setelah mendapati aku benar-benar sudah stabil. Mereka juga berpesan supaya tidak segan-silu untuk memanggil mereka selepas ini jika perlukan apa-apa bantuan.
No comments:
Post a Comment