Selamat Maal-Hijrah 1435H

Selamat Maulidurrasul

Tuesday, November 21, 2017

Penawar Sihir

Penawar Terbaik bagi menawarkan sihir@Ilmu hitam



Sihir atau ilmu hitam satu perkara yang amat ditakuti oleh semua manusia kerana sekali kita terkena ilmu sihir atau ilmu hitam maknanya kita akan mengalami penderitaan yang sukar dilafazkan dengan perkataan. Tahukah kita perbuatan sihir ini boleh membuat seseorang itu akan menderita dari segi emosi dan mentalnya kerana sihir ini selalunya akan menyerang otak mangsa dan akan menyebabkan mangsa berada didalam keadaan yang tidak waras dan kadang-kadang tidak dapat mengawal diri mereka. Kadang-kadang pelbagai kaedah rawatan yang diusahakan sama ada dari Ustaz atau tok bomoh tetapi hakikatnya sihir ini amat payah untuk sembuh kecuali dengan izin Allah s..w.t.

Ada yang telah habis beribu wang ringgit semata-mata untuk mendapatkan rawatan angkara sihir atau ilmu hitam. Sihir ini pula tergolong daripada pelbagai jenis. Pengalaman saya sendiri yang telah merentasi pelbagai negerti untuk cuba mendapatkan rawatan dengan pengamal rawatan Islam tidak pernah menemui jalan penyelesaian. Sampai sekarang pun saya masih mengalami gangguan-gangguan mistik walaupun tidaklah seteruk sewaktu mula-mula saya terkenal dulu.

Seorang pengamal perubatan Islam pernah memberitahu saya bahawa seseorang yang terkenal sihir harus memperkuatkan kerohaniannya dengan amal ibadah kerana perawat hanya dapat membantu antara 10 hingga 15% sahaja dalam merawat pesakit sihir selebihnya pesakit itu sendiri harus berusaha untuk merawat dirinya sendiri denga cara mendekatkan diri kepada Allah s.w.t kerana kejahatan sihir ini berlaku dengan izin Allah.

Tahukah anda ubat yang paling mudah dan paling mujarab dalam menyembuhkan penyakit sihir ini hakikatnya terletak pada usaha diri kita sendiri serta pertolongan terus dari Allah SWT tanpa ada perantara seperti bomoh, ustaz, Jin Islam, atau apa-apa perantara yang lain. Bukan menafikan khidmat ustaz atau pengamal perubatan tradisional yang lain tetapi saya sudah banyak kali berubat hampir 50 perawat atau pengamal perubatan tradisional yang telah saya ketemui namun sakitnya hanya hilang sekejap tetapi ianya datang kembali.



Namun berkat dari usaha saya dan dengan pertolongan dari Allah SWT saya menemui amalan atau ilmu yang sangat mujarab bagi merawat penyakit yang saya hadapi selama hampir 4 tahun ini.

Berikut amalan yang saya lakukan, sememangnya amalan ini yang biasa dilakukan apabila setiap kali selesai kita bersolat seharian cuma bezanya di sini kita tambahkan keyakinan sepenuhnya kita kepada Allah SWT serta lakukan dengan bersungguh-sungguh dengan penuh khusyuk dan istiqomah.

Amalkanlah secara istiqomah dan penuh keyakinan bahawa Allah SWT yang sebenar-benarnya menyembuhkan penyakit kita.

1. Pertama sekali kita perlu yakin bahawa penyakit ini datangnya dari Allah SWT sebagai ujian dari-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud ; “Dan kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. (Surah al-Anbiya’: ayat 35)

2. Kosongkan fikiran anda walaupun anda sememangnya mengetahui bahawa sakit anda adalah kerana dianiayai atau disihir oleh si folan bin si folan, kosongkan fikiran anda dan anggap ia satu ujian dari Allah swt dan manusia itu sebagai penyebabnya sahaja. Buangkan semua syak wasangka sesama manusia atau sesama mahkluk tentang penyakit yang dihidapi itu.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: “Apabila aku menguji seseorang dari hamba-hamba-Ku yang mukmin dengan sesuatu penyakit, lalu ia memuji-Ku kerana ujian-Ku itu maka sesungguhnya ia akan bangkit dari tempat baringnya itu seperti masa ia dilahirkan oleh ibunya - bersih dari segala kesalahan”, dan Tuhan Tabaraka wa Taala berfirman kepada Malaikat penulis amal itu: “Aku telah mengikat hamba-Ku itu dan telah mengujinya, maka lakukanlah kepadanya apa yang kamu biasa lakukan untuknya (menulis amal baiknya) semasa ia berkeadaan sihat”. (Hadith Riwayat Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi r.a)

3. Ingatlah dan yakinlah bahawa sakit yang kita alami ini adalah untuk menghapuskan dosa-dosa kecil kita serta untuk meningkatkan darjat seseorang mukmin itu. Nabi s.a.w pernah bersabda: “Tidak ada sesuatu yang menimpa seseorang Islam sama ada kepenatan, kesakitan, kesusahan memikirkan perkara yang akan datang, kedukaan, sesuatu yang menyakiti, atau kesusahan meningatkan apa yang telah berlaku - sehinggakan tikaman duri yang mencucuknya - melainkan Allah hapuskan dengan sebabnya, sebahagian dari dosa-dosanya.” (Hadith Riwayat Abu Sa’id al-Khudri dan Abu Hurairah r.a)

3. Peliharalah solat 5 waktu anda dan solat tepat pada waktunya, jika boleh solat berjamaah di masjid. Jika tidak mengizinkan maka solat lah tepat pada waktunya. Kerana ketahuilah banyak fadilat solat 5 waktu tepat pada waktunya yang tidak kita ketahui lagi di antaranya ialah serangan makhluk halus ini pada seseorang manusia sering berlaku pada perubahan waktu seperti dari waktu pagi ke tengahari (waktu Zuhor), perubahan waktu tengahari ke petang (waktu Asar), perubahan waktu dari petang ke senja (waktu maghrib) dan waktu maghrib paling banyak atau biasa sekali serangan ke atas manusia. Jadi jika kita sentiasa solat pada waktunya Insyallah dengan izin Allah kita terselamat dari serangan ini.

4. Amalkan wirid di bawah selepas tiap kali menunaikan solat fardhu :
Beristighfar (3 X)
Membaca surah al-Fatihah (1X)
Membaca surah al-Ikhlas (3x) atau (1x)
Membaca surah al-Falaq (1x)
Membaca surah an-Nas (1x)
Membaca ayatul kursy (dengan 7 wakaf - 7 kali tempat berhenti)
Zikir (Subhanallah 33x, Alhamdulillah 33x, Allah hu Akbar 33x)
Berdoa
5. Amalkan solat hajat (2 rakaat) atau lebih pada tiap-tiap kali sebelum tidur atau selepas solat Isyak atau Maghrib dan amalkan pada tiap-tiap hari. Banyak cara mengerjakan solat hajat ini salah satu caranya ialah rakaat pertama baca al-Fatihah (1x) dan surah al-Kafirun (3x) manakala rakaat kedua bacalah surah al-Fatihah (1x) dan surah al-Ikhlas (3x), semasa sujud terakhir bermohonlah di dalam hati (jangan lafazkan) semoga disembuhkan penyakit. Amalkan solat hajat ini secara berterusan sehingga sembuh penyakit.



Mohonlah / berdoalah sepenuh keyakinan anda kepada Allah SWT agar disembuhkan segala penyakit atau gangguan yang anda hadapi. Dari Ibnu Abbas r.a katanya:”Rasulullah s.a.w membuka tirai (kamarnya ketika baginda sakit akan meninggal), padahal ketika itu jamaah sedang solat berjamaah diimami Abu Bakar. Lalu baginda bersabda:”Sesungguhnya tidak ada lagi wahyu kenabian yang ketinggalan yang harus aku sampaikan, kecuali mimpi baik seorang muslim. Ketahuilah! Aku dilarang membaca al-Quran dalam rukuk dan sujud. Agungkanlah Allah Azza wa Jalla di dalam rukuk dan perbanyakkanlah doa di dalam sujud pasti doamu diperkenankan Allah S.W.T.” (Hadith Riwayat Muslim) .

6. Jika mampu amalkan solat sunat witir sekurang-kurangnya (3 rakaat) sebelum tidur. Dan amalkan Surah al-mathurat setiap kali lepas solat maghrib atau isyak.

Semoga dengan amalan ini saya doakan agar penyakit anda akan sembuh dengan pertolongan terus dari Allah SWT. Alhamdulillah saya juga pernah mengalami sakit sebegini dan saya mengamalkannya memang kesannya sungguh menakjubkan. Yang pentingnya keyakinan kita bahawa Allah SWT lah tempat kita bergatung dan hanya Allah SWT sahajalah yang dapat menyembuhkan segala jenis penyakit yang kita hadapi selama ini.
Apa yang harus diingitkan elaklah dari mendapat rawatan  yang terpesong daripada kaedah perubatan Islam kerana dikhuatiri kita akan jatuh hukum mengsyirikan Allah s.w.t kerana saya masih teringat kata-kata Al-Fadzil Ustaz Dato' Haji Ismail Kamus yang menyatakan mati dalam beriman Kepada Allah itu lebih baik daripada hidup dengan menyekutukan Allah s.w.t
Posted by Ajit Kembara Sufi at 10:57 PM

Sumber:
http://ajitkembarasufi.blogspot.my/2011/07/sihir-atau-ilmu-hitam-satu-perkara-yang.html

No comments: