MENGETAHUI
sejarah Ahlul Bait atau keturunan keluarga Rasulullah SAW ialah kunci
bagi memahami tamadun, warisan, rahsia dan kekuatan masyarakat silam di
alam Melayu.
Ahlul Bait amat jarang dibincangkan di pentas wacana
intelektual meskipun mereka membentuk jaringan ulama agung dan pendakwah
unggul yang banyak menyumbang kepada kegemilangan masyarakat Melayu.
Pengkaji
yang banyak menerbitkan buku berkaitan sejarah alam Melayu dan Ahlul
Bait, Tun Suzana Tun Othman, berkata kunci paling tepat untuk memahami
masyarakat Melayu adalah dengan kembali menjejak sejarah Ahlul Bait.
"Untuk
Melayu kembali kepada asas kemelayuan adalah dengan melihat semula
sejarah ulama daripada warisan silam kita yang kebanyakannya keturunan
Rasulullah SAW.
"Hal inilah yang saya alami ketika mengkaji Ahlul
Bait sehingga daripada menghasilkan sebuah buku mengenainya, dalam
tempoh enam tahun, ia berkembang kepada 15 judul yang mendedahkan aspek
warisan Melayu, jati diri dan kefahaman agama Islam.
"Ia mendorong
saya untuk terus mengkaji termasuk pada era pra-Islam, zaman Islamisasi
dan kedatangan penjajah terutama British di alam Melayu," katanya pada
BH di Yayasan Restu, Kompleks Taman Seni Islam Selangor, Shah Alam,
baru-baru ini. PENCERAMAH,
Tun Suzana Tun Othman pada Seminar Rantaian Ahlul Bait Di Alam Melayu
dari Perspektif Agama, Sejarah dan Ketamadunan anjuran Akademi Kajian
Rantau Nusantara, di Yayasan Restu, Kompleks Taman Seni Islam Selangor. -
Foto Intan Nur Elliana ZakariaBeliau
berkata demikian selepas Seminar Rantaian Ahlul Bait Di Alam Melayu
Dari Perspektif Agama, Sejarah dan Ketamadunan anjuran Akademi Kajian
Rantau Nusantara dengan kerjasama Pertubuhan Kesedaran Melayu dan Islam
(KEMUDI).
Tun Suzana berkata, misi dakwah Rasulullah SAW tidak
pernah terputus, bahkan diteruskan oleh ulama daripada kalangan
sahabatnya yang mengembara ke seluruh dunia termasuk ke alam Melayu
untuk menyebarkan Islam.
"Manuskrip Hikayat Raja-Raja Pasai
mencatatkan wasiat misi dakwah di Samudera-Pasai yang kebenarannya dapat
dilihat melalui kedatangan Ahlul Bait ke alam Melayu.
"Ulama
berwibawa, Prof Hamka dalam bukunya ada menyebut sebelum abad ke-15,
laluan perniagaan di Lautan Hindi melalui pulau Melayu keseluruhannya
dikuasai orang Arab, bahkan lebih awal sebelum kedatangan penjajah
Portugis, Alfonso de Albuquerque.
"Islam yang dibawa oleh
Rasullullah SAW membawa ajaran, tamadun dan budaya Islam secara
berperingkat ke jaluran dagangan dunia Arab di Timur Tengah yang
kemudian dilanjutkan ke Benua India, China dan Alam Nusantara," katanya.
Menariknya,
kedatangan Ahlul Bait ke alam Melayu kira-kira 900 tahun lalu bukan
saja dengan misi menyebarkan Islam, bahkan membentuk tamadun dalam
lingkungan kebudayaan Islam dengan pelbagai cara antaranya menerusi
perkahwinan dengan anak Raja-raja Melayu yang kemudian memeluk Islam. PENCERAMAH,
Iqbal Zain Al-Jauhari ketika menyampaikan ceramah bertajuk Peranan
Ahlul Bait Rasulullah dalam Islamisasi, Ketamadunan dan Peradaban Alam
Melayu. - Foto Intan Nur Elliana ZakariaKatanya,
sejarah kedatangan Ahlul Bait ke alam Nusantara boleh dijejaki seawal
abad ke-9 Masihi dan banyak faktor yang mendorong kepada kemunculan
mereka terutama kedatangan itu atas titah Khalifah atau Syarif Mekah
untuk mengislamkan negeri tertentu.
"Kemunculan Ahlul Bait di alam
Melayu boleh diklasifikasikan kepada dua gelombang, iaitu gelombang
pertama dan kedua, namun pada permulaan bilangannya agak kecil dan
semakin berkembang secara besar-besaran di rantau ini.
"Pada kurun
ke 13 Masihi, Pasai diiktiraf sebagai kesultanan Islam atas perintah
Syarif Mekah pada era pemerintahan Sultan Al-Malikus Saleh dan baginda
menjalin hubungan diplomatik dengan kerajaan di Arab.
"Keadaan ini
bukan saja memesatkan Pasai sebagai pusat perdagangan Islam yang
terkenal, bahkan turut menerima ramai pengunjung dari dunia Arab, Parsi,
India dan China serta berkembang sebagai pusat dakwah," katanya.
Bagaimanapun,
katanya, keunggulan Pasai sebagai empayar Islam terunggul tidak
bertahan lama sebelum diambil alih oleh Kesultanan Melayu Melaka bagi
menyambung legasi yang tersedia.
"Kesultanan Melaka meletakkan
ulama Ahlul Bait pada satu jawatan agama paling tinggi dan penting,
antaranya Sayyid Abdul Aziz yang mengislamkan Raja Melaka dengan nama
Sultan Muhammad Shah dan menjadi guru agama peribadi kepada baginda
selama lapan tahun.
"Agama Islam acuan Ahlul Bait yang bersifat
lembut, ehsan dan berseni serta cenderung kepada kesufian itu akhirnya
membentuk jati diri bangsa Melayu yang unik. IQBAL
Zain Al-Jauhari menyampaikan ceramah pada Seminar Rantaian Ahlul Bait
di Alam Melayu dari Perspektif Agama, Sejarah dan Ketamadunan. - Foto
Intan Nur Elliana Zakaria"Dalam
naskhah Sejarah Melayu sendiri ada memaparkan kisah tokoh sufi Ahlul
Bait yang menunjukkan status mereka yang amat tinggi dan berpengaruh
serta dimuliakan di istana Melaka, antaranya termasuk seorang ulama sufi
yang membantu Sultan Mansur membantutkan cita-cita kerajaan Siam untuk
menyerang Melaka," katanya.
Berbicara mengenai gelombang kedua
kemunculan Ahlul Bait di alam Nusantara, Tun Suzana berkata, ia bermula
sekitar awal abad ke-18 hingga abad ke-20 Masihi dalam suasana Islam
sedang berkembang pesat dan sedang melalui proses kematangan.
"Apa
yang membezakan di antara Ahlul Bait gelombang kedua dengan yang
pertama adalah kemunculan saudagar-saudagar ulama keturunan Rasulullah
SAW yang dalam diam membantu menyediakan dana untuk kos pembinaan
institusi agama seperti madrasah dan pondok.
"Ia adalah sumbangan
yang amat besar khususnya pada zaman penjajahan kerana Belanda dan
British menyediakan infrastruktur pendidikan sekular, selain menghasut
dan menekan Raja-raja Melayu supaya menganaktirikan sistem pendidikan
tradisi termasuk sekolah agama rakyat yang dianggap sebagai ancaman.
"Pada
ketika gelombang pertama masalah ini tidak wujud kerana Raja-raja
Melayu memerintah secara mutlak dengan menyediakan segala kemudahan
untuk alim ulama," katanya.
Bercerita lanjut, katanya gelombang
ketiga kedatangan Ahlul Bait adalah daripada penghijrahan kelompok yang
datangnya dari Hadhramaut, Yaman kerana ancaman diterima daripada puak
Saudi Wahabi dari kaum Arab Badwi yang mempunyai agenda untuk
kepentingan politik hingga membuat pelbagai tuduhan seperti ajaran
dibawa sebagai bidaah. TUN
Suzana dan Iqbal Zain Al-Jauhari (kiri) pada Seminar Rantaian Ahlul
Bait di Alam Melayu dari Perspektif Agama, Sejarah dan Ketamadunan. -
Foto Intan Nur Elliana Zakaria"Akibat
daripada ancaman puak Saudi Wahabi ini, ramai Ahlul Bait yang berhijrah
kerana terdedah kepada ancaman penindasan dan penganiayaan seperti yang
pernah berlaku pada zaman datuk dan nenek mereka dalam pergolakan
dengan Dinasti Umayyah dan Abbasiyyah.
"Sebahagian mereka memilih
untuk berhijrah ke rantau ini atas kesedaran bahawa bumi Nusantara
dihuni kaum kerabat mereka yang ramai bermastautin di sini sejak beratus
tahun dulu, malah kesultanan di alam Nusantara kebanyakan adalah
daripada dinasti Bani Hasyim sendiri," katanya.
Beliau yang pernah
menetap di Hadhramaut selama tiga tahun berkata, banyak budaya di sana
yang mempunyai persamaan dengan masyarakat di Alam Melayu antaranya
budaya memakai serban jenis lillitan, pemakaian kain sarung untuk
lelaki, pembacaan surah Yasin pada malam Jumaat dan penganjuran majlis
Maulidurrasul bagi memperingati hari keputeraan Nabi Muhammad SAW.
Sementara
itu, pengasas Akademi Kajian Rantau Nusantara (AKAR), Mohd Khalid Yahya
berkata, seminar yang membincangkan peranan Ahlul bait di alam Melayu
itu julung kali diadakan dengan matlamat menanggapi pelbagai persepsi
dan salah faham mengenai ulama dalam kalangan masyarakat hari ini.
"Objektif
utama kami dengan penganjuran seminar ini untuk memberi pencerahan,
penjelasan dan peluang kepada khalayak, selain mereka juga berpeluang
untuk bertanya secara langsung kepada ahli panel terhadap persoalan yang
diragui.
"Hari ini media sosial dengan penyebaran maklumat secara
bebas sedikit sebanyak menjejaskan nama ulama terutama dalam kalangan
Ahlul Bait yang menerima tempiasnya, disebabkan itu kami cuba
menghimpunkan pengkaji serta ulama berketurunan Ahlul Bait untuk
bersama-sama dalam satu acara bagi memurnikan semula institusi penting
ini.
"Ahlul Bait sebenarnya adalah komponen penting dalam sejarah
ketamadunan Alam Melayu, justeru kami cuba menarik perhatian masyarakat
terhadap peranannya begitu besar dalam pelbagai aspek dan perlu
ditelusuri semula dengan sebaiknya," katanya.
Mohd Khalid berkata,
AKAR juga sedang merencana dokumentari bertajuk Daulah Melayu yang
membongkar asal-usul Melayu termasuk menjejak sejarah isteri nabi
Ibrahim, Keturah yang dikatakan pernah sampai ke Kemboja.
Beliau
juga bakal melancarkan buku kajiannya bertajuk Nusantara Emas Khazanah
Yang Hilang yang turut menyorot tamadun Melayu, selain bakal tampil
dengan kajian terbaharu yang boleh dikategorikan sebagai sejarah
alternatif kerana tidak dihuraikan dalam teks sejarah sama ada peringkat
rendah, menengah atau universiti.
No comments:
Post a Comment