Selamat Maal-Hijrah 1435H

Selamat Maulidurrasul

Tuesday, April 17, 2012

Kasih..
Aku umpama pengembara
Tanpa kusangka akan menemuimu
dan cinta bersemi di hati
nan bening
Hadirmu menjadi penting
Sering aku adukan rinduku
pada angin
Lantaran rasa malu untuk
menyatakan apa yang kurasa
Selalu ingin kunyanyikan
rasa riang ini
Selalu ingin ku lukiskan
wajah indahmu
Agar dapat kutatap
saban waktu

Kasih..
Bukan kerana wajahmu
bak putera impian
yang terlalu sempurna
keindahan ciptaannya
Juga bukan kerana bicaramu
yang sentiasa puitis
lalu melemaskanku dengan
bicara indah nian
Juga bukan kerana terpegunnya
diri dengan harta juga permata
yang menjadi milikmu

Sedarlah..
Kasihku hadir lantaran
kesucian hatimu
yang dapat ku lihat dari
raut wajahmu
Lantas hadirnya kagum
buat jiwa penyayangmu
dan juga takdir-Nya
Maha PenCINTA.

nukilan,
Naurah Musyahidah

Sunday, April 15, 2012

Tiada kesempatan

Aduh..banyaknya kerja sekarang. tak sempat hendak menjenguk ke sini :)

Friday, February 3, 2012

Sesuci Kasihmu

Sungguh indah hari ini! Hari dirinya bakal disatukan dengan gadis pilihan keluarganya, Amirah. Di dalam hati tersemai impian untuk membina keluarga-keluarga yang diredhai Allah! Dia sebagai suami juga sebagai ketua keluarga.. akan mentarbiah keluarga semoleknya. Dia akan berusaha menjadi uswah hasanah kepada ahli keluarganya. Dia kan berusaha menjadi suami yang sejati. Rasulullah akan sentiasa menjadi idolanya. Itulah harapannya-moga dikabulkan Tuhan.
Sekali lafaz, Amirah telah menjadi isterinya. Perasaan di hati berbunga riang. Dia berharap begitu juga perasaan Amirah, isterinya yang sah! Akan diwarnainya kehidupan ini dengan bunga-bunga keindahan… seindah suria yang memancar… seindah pelangi yang mencorak.
Sekarang tibalah saat dia atau Faiz menyarung cincin ke jari manis Amirah. Pertama kali kulit gadis itu disentunya. Amirah termalu-malu menerima kucupan suami di dahinya.

Krek!
Pintu terbuka. Faiz sedang berdiri memandang kepada sang isteri yang masih berbaju pengantin. Rambut panjang mengurainya menghiasi sekeping wajah isteri. Dia sedang menanti.
“Assalamu‘alaikum” Faiz bersuara.
“Wa‘alaikumussalamu warahmatullah”
“Maaf, lambat sikit! Abang berbual dengan kawan-kawan tadi.” Pertama kali dia membahasakan dirinya ‘abang’ kepada Amirah.
Amirah tersenyum.
Indah.. . Sungguh indah senyuman Amirah! Faiz sedikit terpegun.
“Amirah pun lambat juga tadi. Melayan saudara-mara.”
“Malam ini kita mesti berterus-terang antara satu sama lain. Apakah kita redha dengan perkahwinan ini..?” ujar Faiz memandang wajah bujur sirih Amirah.
Amirah terdongak, melihat Faiz.
Faiz senyum.
“ Abang dengan setulus hati menerima Amirah. Buat sekarang jiwa abang ini ingin diserahkan kepada Amirah. Apakah Amirah sudi menerimanya?”
Amirah tercengang. Dia menundukkan kepala.
“Amirah senag menerima abang sebagai suami. Amirah juga ingin serahkan jiwa Amirah kepaa abang. Amirah tiada orang lain di hati…”
Pandangan bersabung. Penuh bermakna.

* * *

“Amirah mengandung”, beritahu Amirah menundukkan kepalanya.
Faiz tersenyum bahagia apabila teringat ujaran itu. Benih cinta mereka sedang subur memekar di dalam rahim isteri. Semoga anak yang bakal lahir kan menjadi insan soleh atau solehah. Itulah harapannya.

Terdengar pintu biliknya diketuk. Faiz bersuara menyuruh orang yang dimaksudkan masuk. Pintu dibuka. Salmiah datang masuk menghadap.
“Assalamu‘alaikum, Encik.”
“Wa‘alaikumussalam. Ya?”
“Encik, ada orang nak jumpa encik.”
“Siapa?”
“Encik Imran Hakimi.”
“Imaran Hakimi…” Faiz berfikir seketika…

* * *
Ha!Ha!Ha!
Suara ketawa mereka kedengaran. Teman yang sekian lama lost contact dengannya datang mencarinya di pejabat.
“O, jadi kau bakal menjadi ayahlah!”
“Begitulah! Alhamdulillah..”
“Ini gambar perkahwinan kau?”
Imaran mengambil bingkai gambar dari meja. Dia memandang.. mengamati.

* * *
Bahang amarahnya sedang membakar hati. Faiz memandu laju.
“Maaf, aku nak beritahu kau… isteri kau ni.. aku kenal!” Terngiang-ngiang suara Imran di telinganya.
Faiz gusar dengan ayat Imran. Dia merenung sahabatnya.
“Isteri kau ini sudah tak suci… Aku pernah kenal dia.. Kami bercinta… Kemudian terlanjur..”
Bagaikan guruh memetir dadanya, dia mencerlung sahabat.
“Kau jangan nak mengarut!!!” jerkah Faiz.
“Kalau kau tak percaya kau tanya Amirah..”
Faiz rasa tercabar.
Kereta Gen 2 berhenti di halaman rumah. Dia masuk… mencari susuk tubuh Amirah. Di ruang tamu… tiada! Di dapur… tiada! Dia ke kamar … Didapati Amirah sedang terlantar keletihan.
Amirah perasan ada orang masuk ke kamar. Dia mencelekkan mata.
“Abang… Abang baru sampai?”
Soalan Amirah tidak berjawab.
“Maaf, Amirah letih. Baru lepas muntah. Amirah belum siapkan makan tengahhari…”
Faiz masih diam. Dia merenung isteri.
“Imran Hakimi..” ujar Faiz.
Amirah tersentak. Dia cuba berlagak selamba, berpura-pura bertanya.
“Kawan abang yea?”
Soalan Amirah tidak dijawab. Sebaliknya disambut dengan satu soalan.
“Amirah kenal?”
Amirah terdiam. Tiada jawapan.
“Dia cakap dia kenal Amirah”, beritahu Faiz tanpa ditanya.
Amirah diam jua.
“Dia cakap dia pernah kenal dan bercinta dengan Amirah…”
Amirah keresahan.
“Dia cakap Amirah sudah…”
“Maaf… Maaf, bang.”
Air mata Amirah mengalir ke pipi.
“Kenapa Amirah menangis?” soal Faiz.
“Memang Amirah pernah bercinta dengannya. Tapi, itu dulu. Amirah dah tak ingat dia lagi. Hanya abang yang bertakhta di hati Amirah sekarang…”
“Setelah Amirah sudah tidak suci lagi..?”
Serasa guruh berdentum di dalam dada Amirah. Amirah menangis.
“Maaf bang… Amirah cuma fikirkan kebahagiaan kita. Lagipun, anak di dalam kandungan Amirah ini memang anak abang..”
“Amirah tidak suci lagi… Kemudian terima abang supaya menjadi pak sanggup kepada anak haram Amirah dengan Imran! Amirah perbodohkan abang ya?”
“Tidak!” Amirah masih menangis. “Bukan. Ini anak abang!”
“Betul ke?”
“Demi Allah!”
“Tapi Amirah tidak jujur dengan abang! Amirah menyerahkan jiwa Amirah kepada abang setelah Amirah tidak suci lagi!” Suara suaminya memuncak amarah.
“Amirah dah bertaubat. Amirah tak nak ingat lagi dosa itu. Amirah nak buang dari ingatan. Amirah nak bina hidup baru dengan abang.”
Faiz melanjutkan perbicaraan..
“Amirah dah bertaubat. Tapi, bagaimana dengan abang? Adilkah abang menerima Amirah setelah tidak suci lagi?!”
Amirah terduduk. Menangis.
Faiz berlalu pergi. Dia memandu keretanya keluar dari rumah. Kemudian singgah di masjid… beriktikaf.
Hatinya remuk-redam apabila mengetahui isteri yang disayangainya sebegitu. Kejutan akibat mendengan pengkhabaran mengenai isterinya masih terasa bergegar di dada.
Ya Allah… Isteri yang selama ini kubelai dan dipilih oleh keluargaku rupanya sebagini…? Maaf, hati ini tidak dapat menerimanya ya Allah. Faiz mengadu di dalam doanya.
* * *
Ke hadapan abang yang Amirah cintai walaupun Amirah tahu Amirah tidak layak untuk mencintai abang,

Assalamu‘alaikum, abang. Semoga abang sentiasa sihat sejahtera dan dalam keredhaan-Nya.

Abang,
Amirah minta maaf kerana keluar rumah tanpa izin abang. Amirah tak mampu lagi berada di dalam rumah ini. Amirah malu…Amirah bukan lagi penyeri istana impian abang. Amirah hanya menyemak rumah abang. Amirah tahu Amirah tak layak menjadi racun pun dalam hidup abang. Kerana Amirah tiada erti apa pun di sisi abang saat ini.

Maaf abang kerana merahsiakan perkara itu. Sungguh. Bukan niat di hati ini untuk menipu abang. Amirah cuma melaksanakan perintah Allah. Supaya tidak mengungkit-ngungkit lagi do sa silam apatah lagi kalau kita memang benar-benar bertaubat kepada-Nya. Kerana di sisi Allah orang yang bertaubat kepada-Nya dianggap seperti tidak pernah melakukan dosa. Maaf kalau itu dianggap satu pembohongan bagi abang.

Amirah tahu hati abang tercalar. Maaf kerana membuat abang rasa begitu.

Amirah tak layak untuk berkata apa-apa lagi. Apa yang Amirah tahu.. Amirah harus pergi dan jangan muncul lagi dalam hidup abang.

Maaf seagungnya, halalkan makan minum Amirah.

Yang benar,
Amirah

Faiz melemparkan surat itu ke sisi.

Bukankah itu yang dia mahukan? Supaya Amirah pergi dari hidupnya? Tapi kenapa hati ini seperti diruntun sesuatu. Rumah besar miliknya bertambah sepi. Rumah itu kehilangan serinya. Dan seri itu adalah Amirah…

* * *
Amirah tersenyum melihat air sungai yang mengalir ke kakinya. Amirah tak kesal dengan apa yang terjadi kerana Amirah tahu Amirah memang tidak layak untuk bermimpi hidup bersama Faiz. Dia telah terlepas daripada perasaan bersalah kerana menghadiahkan diri yang tidak sempurna kepada Faiz.
Amirah bermain-main dengan air di kali. Sungguh. Hatinya terasa lega menerima semua itu.
Amirah terdengar derap kaki orang memijak ranting kayu. Amirah kaget. Amirah menyalahkan dirinya kerana pergi kesungai itu seorang diri.
“Assalamu‘alaikum”
Terdengar orang memberi salam.Amirah mengamati suara itu. Kenapa dia rasa seperti mengenali suara tersebut?
Terlihat sekujur tubuh muncul dari rimbunan semak-samun di situ. Amirah terpaku. Pandangan mereka bertentangan.
“Abang..” Amirah menegur. “ Macam mana abang tahu Amirah ada di sini?”
“Abang dapat teka…”
Amirah tersenyum tawar.
“Kenapa Amirah tak balik ke rumah? Itukan rumah Amirah..”
“Di sini rumah Amirah, abang. Rumah itu bukan untuk Amirah lagi..”
“Rumah itu sudah menjadi milik Amirah..”ujar Faiz.
Amirah tersenyum hambar.
“Tak payahlah abang fikir nak beri rumah itu kepada Amirah. Amirah rasa tenang di sini, bang. Biarlah Amirah di sini…”
“Amirah tak sayang abang lagi?”
Amirah terpana. Memandang mata Faiz. Mencari maksud daripada kata-kata itu. Kemudian, memandang sungai. Tersenyum hambar lagi.
“Tak payahlah abang rasa bersalah nak berpisah dengan Amirah. Amirah dah tak ada perasaan untuk bersama abang.”
“Amirah tak cintakan abang?”
Amirah kelu dengan soalan itu. Dia memandang mata Faiz kemudian menundukkan pandangan.
Amirah senyum lagi. Masih hambar.
“Amirah tak layak untuk bercinta dengan abang. Jadi, apa gunanya Amirah mengakui yang Amirah mencintai abang.”
“Abang cintakan Amirah…”
Amirah terdongak. Pandangan mereka bersabung.
“Abang nak Amirah balik. Balik ke sisi abang..”
Amirah diam.
“Betul kata Amirah… Di sisi-Nya orang yang telah bertaubat seperti tidak pernah melakukan dosa. Amirah tetap suci di sisi Allah…”
Faiz tersenyum. Mendepakan tangannya.
Sepantas kilat Amirah sudah berada di dalam pelukan Faiz. Amirah menangis kegembiraan.




Lakaran Rasa daripada;
Naurah Musyahidah
(nama pena)
majalah ANIS

NAMA NABI MUHAMMAD SAW DI DALAM KITAB² AGAMA HINDU



oleh Misteri & Keajaiban Alam (Fake & Fact) pada pada 1hb Februari 2012 pukul 7.57 ptg

Gambaran Kalki Avtar yang berpedang dan menaiki seekor kuda yang ditunggu-tunggu oleh umat hindu. Ia dipahat pada batu dan dijumpai pada kurun ke 18 di Radhanagar, Tripura, India.



Jika umat Islam mempercayai ramalan kedatangan Nabi Muhammad SAW di dalam Kitab Taurat & Injil, bagaimana pula dengan kitab suci Umat Hindu? Mungkinkah kedatangan Nabi Muhammad SAW juga sudah diramalkan oleh kitab suci Umat Hindu? Itulah yang akan kita bahaskan di sini.



Di Antara Firman² Allah SWT Di Dalam AlQuran:



Dalam surah Asy-Syu’ara (26) ayat 196:

“Dan sesungguhnya Al-Qur’an itu benar-benar (tersebut) di dalam kitab-kitab orang² yang terdahulu”.

~Maka di dalam kitab² sebelum Al-Qur’an juga telah terdapat wahyu² daripada Tuhan (Allah SWT) sepertimana Taurat & Injil.



Dalam surah Fatir (35) ayat 24:

~ Dinyatakan bahawa tiada satu kaum pun pada masa dahulu yang berlalu tanpa diberikan seorang pemberi peringatan tentang perintah dan larangan Tuhan (Allah SWT).



Dalam surat Al-Ahzab (33) ayat 40:

~ Dinyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah merupakan Utusan Tuhan dan juga merupakan penutup kepada semua para nabi (Utusan Terakhir)



Dalam surat Al-Anbiya (21) ayat 107:

~ Dinyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW tidaklah diutuskan melainkan untuk membawa rahmat ke seluruh alam semesta.



Dalam surat Saba’ (34) ayat 28:

~ Dinyatakan bahawa Tuhan telah mengutuskan Nabi Muhammad SAW untuk seluruh umat manusia sebagai pembawa khabar gembira dan peringatan tentang dosa, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.



Juga yang terdapat di dalam hadis Bukhari vol 1. Di dalam kitab Solat bab 56, hadis no.429, yang bermaksud Nabi Muhammad telah bersabda:



“Kesemua rasul yang telah diutuskan sebelumku hanya dipertanggungjawabkan untuk umat/bangsanya sahaja tetapi aku telah diutuskan untuk kesemua umat manusia”.



Sekarang kita akan melihat pula ke dalam kitab suci agama Hindu. Terdapat banyak kitab di dalam ajaran Hindu yang diakui sebagai kitab suci mereka. Daripada kesemua kitab tersebut, kitab yang dianggap paling suci sekali adalah kitab yang bernama Kitab Veda (Weda). Apabila di antara kitab² tersebut terdapat percanggahan pendapat berkaitan sesuatu isu, maka pendapat yang harus menjadi rujukan utama pada ajaran Hindu adalah Kitab Veda (Weda) yang juga masih terbahagi lagi kepada beberapa jenis kitab. Kitab² lain selain Kitab Veda (Weda) adalah seperti Upanishad, Smriti, Dharma Sastra, Bhagavat Gita, Puranas dan lain-lain.



Ayat² Ramalan Kedatangan Nabi Muhammad SAW Di Dalam Kitab² Agama Hindu



Disebutkan di dalam Bhavisa Purana –> dalam Pratisarag Parv III, Khand 3, Adhyay 3, Shalokas 10 to 27:



“Aryadarma akan datang ke muka bumi ini. ‘Agama kebenaran’ akan memimpin dunia. Aku telah diutuskan oleh Isyparmatma. Dan para pengikut aku adalah orang² yang berada di dalam lingkungan itu, yang kepalanya tidak dikucirkan (tidak ditocangkan). Mereka akan memelihara janggut dan akan mendengar wahyu. Mereka akan mendengar panggilan solat (azan). Mereka akan memakan apa sahaja kecuali daging babi. Mereka tidak akan disucikan dengan tanaman semak²/umbi-umbian tetapi mereka akan suci di medan perang. Meraka akan dipanggil “Musalaman” (perantara kedamaian).”



Jikalau anda membaca tulisan di atas dengan baik, maka anda akan mendapati bahawa kesemua ciri² daripada pengikut 'agama kebenaran' yang disebutkan di atas adalah ciri² yang umumnya terdapat pada umat Islam (muslim).



Di dalam Atharvaveda book 20 Hymn 127 Shlokas 1-14:

~ Dinyatakan pula tentang Kuntupsuktas yang telah mengisyaratkan bahawa Nabi Muhammad SAW akan terungkap dikemudiannya.



Mantra 1 mengatakan:

Beliau akan digelarkan sebagai Narasangsa. “Nars” membawa maksud orang, “sangsa” membawa maksud “yang terpuji”. Maka Narasangsa bermaksud "orang yang terpuji". Istilah “Muhammad” di dalam bahasa arab juga membawa bermaksud "orang yang terpuji". Maka istilah Narasangsa di dalam bahasa Sansekerta adalah sangat mirip dengan istilah Muhammad di dalam bahasa arab yang juga membawa maksud "orang yang terpuji". Oleh yang demikian, ini telah memberikan sebuah gambaran bahawa kemungkinan besar Narasangsa juga adalah tokoh yang sama dengan seorang manusia hebat di Tanah Arab iaitu Nabi Muhammad SAW. Dan berdasarkan kajian ini, sememangnya Narasangsa itu adalah Nabi Muhammad SAW.



Beliau akan dipanggil sebagai “Kaurama" yang boleh membawa maksud pangeran kedamaian, dan juga boleh memberi maksud orang yang berpindah (hijrah). Nabi Muhammad adalah seorang pangeran kedamaian yang telah berhijrah dari Makkah ke Madinah. Beliau akan dilindungi daripada musuh yang akan dikalahkannya yang kesemua musuhnya itu berjumlah 60.090 orang. Jumlah itu adalah bersamaan dengan jumlah penduduk Makkah pada masa Nabi Muhammad SAW hidup iaitu sekitar 60.000 orang.



Mantra 2 mengatakan:

Beliau adalah orang suci yang menaiki unta. Ini membawa maksud beliau bukanlah seorang bangsawan India kerana dinyatakan di dalam Mansuriti (11):202 bahawa Brahma tidak menaiki unta ataupun keldai. Maka tokoh ini jelas bukanlah daripada golongan Brahmana (pendeta tinggi Hindu) tetapi beliau adalah orang yang asing daripada bangsawan India.



Mantra 3 mengatakan:

Beliau adalah “Mama Rishi” atau "orang suci yang agung". Ini bersepadanan dengan nabi agung umat Islam iaitu Nabi Muhammad SAW.



Mantra 4 mengatakan:

Beliau adalah Washwereda (Rebb) iaitu "orang yang terpuji". Nabi Muhammad SAW juga telah dipanggil dengan nama Ahmad yang membawa maksud “orang yang terpuji” yang seandainya diterjemahkan ke dalam bahasa Sansekerta, ia akan membawa makna Rebb (orang yag terpuji).



Dalam Beberapa Ramalan Lainnya :



Di dalam Atharvaveda book 20 hymn 21:6;

~ Dinyatakan bahawa di sana ia disebutkan dengan istilah;“akkaru" yang bermaksud “yang mendapat pujian”. Beliau akan mengalahkan 10.000 musuh tanpa pertumpahan darah. Hal ini merujuk pada Perang Ahzab yang mana Nabi Muhammad SAW telah mengalahkan musuh yang berjumlah 10.000 orang tanpa pertumpahan darah.



Di dalam Atharvaveda book 20 hymn 21:7;

~ Dinyatakan bahawa Abandu akan mengalahkan 20 orang ketua. Abandu juga membawa maksud seorang yatim atau seorang yang mendapat pujian. Sesungguhnya hal ini juga telah merujuk kepada Nabi Muhammad SAW yang juga merupakan seorang anak yatim semenjak dilahirkan dan ditambah pula dengan maksud istilah Muhammad/Ahmad yang membawa maksud "terpuji", yang akan mengalahkan ketua² suku kaum daripada suku² kaum yang terdapat di sekitar Makkah yang kesemuanya berjumlah sekitar 20 suku kaum.



Di dalam Rigveda book 1 Hymn 53:9;

~ Nabi dipanggil dengan gelaran “Suslama” yang juga membawa maksud "orang yang terpuji" yang juga telah memberikan maksud yang seerti dengan kata nama "Muhammad" daripada bahasa arab iaitu "orang yang terpuji".



Di dalam Samaveda Agni Mantra 64;

~ Dinyatakan bahawa beliau tidak disusui oleh ibunya. Hal ini sama kisahnya dengaan sirah (sejarah) hidup Nabi Muhammad SAW yang tidak disusui oleh ibunya tetapi sebaliknya telah disusui oleh seorang wanita yang bernama Halimatul Saadiah.



Di dalam Samaveda Uttararchika Mantra 1500:

~ Dinyatakan bahawa Ahmad akan dianugerahi dengan sebuah undang² abadi yang jelas merujuk kepada Nabi Muhammad SAW yang telah dianugerahi dengan sebuah kitab suci Al-Qur’an dengan segala undang² yang termaktub di dalam Al-Quran akan diguna pakai sehingga menjelangnya Hari Kiamat.



Namun disebabkan orang India yang berbahasa sansekerta tidak memahami istilah "Ahmad", maka mereka telah menterjemahkan “a” dan "mahdi” kepada maksud“saya sendiri” yang sekaligus telah mengubah maksud ayat tersebut menjadi “saya sendiri yang akan menerima undang² abadi”. Padahal seharusnya maksud ayat terbabit ialah “Muhammad sendiri yang akan dianugreahi undang² abadi”.



Nabi Muhammad SAW telah diramalkan dengan nama Ahmad pada banyak bahagian di dalam Kitab Veda (Weda). Nabi Muhammad SAW juga telah diramalkan tidak kurang daripada 16 tempat yang berbeza di dalam Kitab Veda (Weda) dengan istilah nama Narasangsa yang maksudnya adalah sama dengan maksud istilah nama Muhammad di dalam bahasa arab iaitu “yang terpuji”.



Kalky Avtar



Salah satu ramalan kedatangan Nabi Muhammad SAW yang sangat terkenal yang juga telah membuatkan seorang professor bahasa dari Universiti ALAHABAD India telah mengajak umat Hindu untuk segera memeluk agama Islam adalah kerana terdapatnya sebuah ramalan penting di dalam kitab suci agama Hindu tentang kedatangan yang ditunggu-tunggu daripada seorang Kalky Avtar (baca : autar). “av” membawa maksud "turun". “tar” membawa maksud "melewati". Maka maksud istilah "Avtar" adalah “diturunkan atau diutuskan untuk turun” . Sementara maksud Kalky Avtar adalah “Utusan Terakhir”.



Pundit Vaid Parkash iaitu seorang professor (yang menulis sebuah buku yang berjudul “Kalky Avtar”) secara terbuka dan dengan alasan-alasan ilmiahnya telah mengajak kesemua para penganut agama Hindu untuk segera memeluk agama Islam dan sekaligus mengimani risalah yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW kerana menurutnya, Nabi Muhammad SAW adalah tokoh yang dinanti-nantikan sebagai tokoh pembaharuan spiritual di dalam agama Hindu selama ini.



Dinyatakan di dalam Nashpropesy, Nabi Muhammad SAW diramalkan kedatangannya dengan nama Kalky Avtar (Utusan terakhir) dan "Amtim Rishi". Sedangkan di dalam Kitab Puranas disebutkan tentang Kalky Avtar dan perihal kedatangannya.



Diantara ayat² yang menyebutkan tentang kedatangan Nabi Muhammad SAW adalah:



Di dalam Baghavata Purana Khand 12 Adhyay 2 Shloka 18-20:

~Dinyatakan di dalam rumah Visnuyash akan dilahirkan Kalky Avtar yang diramalkan akan menjadi penguasa dunia yang sangat terkenal dengan sifat²nya yang baik & menonjol. Beliau akan diberikan tanda²nya. Beliau akan diberikan oleh malaikat sebuah kenderaan yang sangat pantas pergerakkannya. Beliau akan menaiki kuda putih sambil memegang pedang. Beliau akan mengalahkan orang² jahat dan beliau akan terkenal di seluruh pelusuk dunia.



Di dalam Baghavata Purana Khand 1 Adhyay 3 Shloka 25:

~ Dinyatakan akan datangnya seorang penyelamat di rumah Visnuyash



Di dalam Kalki Purana (2) : 4;

~ Dinyatakan bahawa di dalam rumah Visnuyash, pemimpin kampung Sambala akan lahirnya Kalki Avtar.



Di dalam Kalki Purana (2) : 5;

~ Dinyatakan bahawa beliau akan datang bersama para sahabatnya (4 orang sahabat) untuk mengalahkan orang² jahat



Di dalam Kalki Purana (2) : 7;

~ Dinyatakan bahawa beliau akan dijaga oleh malaikat di medan perang



Di dalam Kalki Purana (2) : 11;

~ Dinyatakan bahawa di dalam rumah Visnuyash dan di dalam rumah Summati, Kalki Autar akan dilahirkan



Di dalam Kalki Purana (2) : 15;

~ Dinyatakan bahawa beliau akan dilahirkan pada tanggal 12 bulan pertama Madhop



Sesungguhnya kesemua ramalan yang disebutkan di atas tadi tiada lain melainkan merujuk kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW bagi Umat Islam. Penjelasannya adalah sepertimana di bawah:



Di dalam rumah Visnuyash telah membawa maksud di dalam "rumah pengikut Vishnu (pengikut Tuhan)" sedangkan ayah Nabi Muhammad SAW adalah bernama Abdullah yang bermaksud "pengikut Allah (pengikut Tuhan)". Orang Islam menyebut “Allah” sebagai Tuhan, sedangkan orang Hindu menyebut “Vishnu” sebagai Tuhan. Maka di dalam rumah Visnuyash adalah membawa maksud di dalam rumah Abdullah iaitu ayah Nabi Muhammad SAW.



Summati pula di dalam bahasa sansekerta bermaksud "orang yang sangat setia". Sedangkan ibu Nabi Muhammad SAW adalah bernama Aminah yang jika diterjermahkan daripada bahasa arabnya akan membawa bermaksud "orang yang setia".



Sambala di dalam bahasa arabnya adalah tempat yang aman & damai. Sementara Nabi Muhammad SAW telah dilahirkan di Makkah yang terkenal dengan nama “Darul Aman” iaitu tempat yang aman & damai. Akan lahirnya di antara ketua² suku Sambala : bermaksud bahawa nabi akan dilahirkan di antara ketua² suku di Makkah.



Dilahirkan pada tanggal 12 di bulan pertama Madhop. Nabi Muhammad SAW telah dilahirkan pada tanggal 12 Rabiulawwal.



Sebagai Amtim Rishi (orang suci terakhir). Nabi Muhammad SAW adalah juga nabi terakhir daripada deretan nabi² yang dikirimkan Tuhan sepertimana yang tercatat di dalam QS. Al- Ahzab : 40.



Beliau akan memperolehi bimbingan di atas gunung dan akan kembali lagi ke arah utara. Nabi Muhammad SAW memperolehi wahyu pertamanya di Gua Hira di Jabal Nur. Jabal Nur bermaksud Gunung Cahaya kemudian akan kembali semula ke Makkah.



Beliau akan memiliki sifat² yang sangat mulia. Ia jelas sama sepertimana sifat² Nabi Muhammad SAW sebagimana yang telah terkadung di dalam QS. Al-Qalam : 14 “Dan sesungguhnya kamu benar-benar seorang yang berbudi pekerti yang luhur”.



Kalki Avtar akan diberikan 8 kemampuan spiritual iaitu kebijaksanaan, punyai kendali diri (kemampuan mengawal hawa nafsu), keturunan yang dihormati, mempunyai pengetahuan tentang wahyu, seorang yang berani, perkataannya menumpukan pada kurikulum, sangat dermawan dan sangat ramah. Kesemua sifat² yang dinyatakan dimiliki oleh Kalki Avtar itu juga telah dibuktikan dimiliki oleh Nabi Muhammad SAW.



Kalki Avtar jug akan diberikan sebuah kenderaan yang sangat pantas bergerak oleh Shiva. Nabi Muhammad SAW juga telah diberikan sebuah kenderaan yang bernama bouraq yang sangat pantas bergerak oleh Allah SWT yang telah membawa Nabi Muhammad SAW ke langit di dalam peristiwa Israj Dan Mikraj.



Beliau akan menaiki kuda putih dengan tangan kanannya sedang memegang pedang. Nabi Muhammad SAW juga telah mengambil bahagian didalam peperangan termasuk dengan menunggang kuda dan bertempur dengan memegang pedang melalui tangan kanannya.



Beliau akan menjadi penyelamat umat manusia. Di dalam QS. Faatir(35) ayat 24 dan QS. Saba(34) ayat 28 ada menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah seorang pembawa berita gembira & peringatan bagi seluruh umat manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.



Beliau akan menjadi pembimbing ke jalan yg benar. Nabi Muhammad SAW telah hidup pada zaman jahiliyah yang penuh dengan kegelapan dimana Nabi Muhammad SAW kembali membawa umatnya ke jalan yang terang benderang melalui agama Islam yang diperintahkan Tuhan (Allah SWT).



Beliau akan dibantu oleh 4 orang sahabat di dalam menyebarkan misinya. Sepertimana yang telah kita umat Islam ketahui, terdapat 4 orang khalifah yang diberikan gelaran Khulafa Ar-Rashidin yang juga merupakan sahabat Nabi Muhammad SAW iaitu : Sayyidina Abubakar, Umar bin Khattab, Utsman bin Affan, dan Ali bin Abi Thalib.



Beliau akan dibantu oleh malaikat di medan pertempuran. Di dalam perang Badr, Nabi Muhammad SAW telah dibantu oleh para malaikat Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan di dalam QS. Ali Imran (3) ayat 123 & 125 :

“Jika kamu bersabar dan bertaqwa kemudian mereka menyerang kamu dengan seketika itu juga nescaya Allah SWT akan menolong kamu dengan 5000 malaikat yang memakai tanda”.



Juga yang terdapat di dalam surah QS. Al-Anfal(8) ayat 9 yang berbunyi:

“…. sesungguhnya Aku akan mendatangkan bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut.”



Subhanallah, ternyata setelah sekian banyak ayat tersebut (yang sebenarnya belum kesemuanya pun ditampilkan di dalam artikel ini) yang meramalkan kedatangan seorang nabi yang ditunggu-tunggu oleh umat Hindu yang begitu sepadan dengan gambaran kisah hidup Nabi Muhammad SAW iaitu nabi terakhir bagi umat Islam.



Mungkin ini juga merupakan pembuktian yang telah diberikan oleh Allah SWT bagi umat manusia termasuk bagi masyarakat India, Cina, Nasrani (Kristian), Yahudi dan lain² bagi menunjukkan bahawasanya Nabi Muhammad SAW adalah sememangnya telah diutuskan oleh Allah SWT untuk seluruh umat manusia di alam semesta ini.



Sumber: ceritasatumalam.blogspot.com/2010/09/muhammad-adalah-nabi-umat-hindu.html

Saturday, December 24, 2011

Setulus Hati Salim

Sedalam lautan.. dalam lagi cintaku kepadamu. Seluas langit yang terbentang.. luas lagi ukuran cintaku kepadamu Bagaikan mentari yang memancar.. begitulah ibarat cintaku kepadamu.

Sesekali ‘Iffah Hanin rasa terbuai-buai dengan kata-kata itu.
Ah, budak kampungan! Dia hanya hendak bermain-main!, tingkah hatinya pula. Bunga mawar merah di atas meja diambil pula. Diperhatinya dan ditenung lama. Budak tu..
Sekilas ingatannya tertancap kepada seraut wajah berkumis nipis itu- pelajarnya yang sering membuat hal. Salim… Lelaki itu memang misteri sekarang ini. Dia sudah menjadi seorang yang pendiam sedangkan dulu dialah yang kuat mengusik guru dan pelajar. Kenapa ya? Terasa ingin ditanya soalan itu kepadanya.

Ketika itu, ‘Iffah Hanin melangkah masuk ke dalam kelas Lima Angsana. Hari pertama kehadirannya ke kelas itu disambut dengan lukisan perempuan bogel di atas papan hitam.
Merah padam muka ‘Iffah Hanin dibuatnya. Apabila ditanya siapa yang melukis.. seisi kelas menuding jari ke arah seorang pelajar lelaki yang duduk di hujung kelas.‘Iffah Hanin lantas menyuruh remaja yang bernama Salim itu memadamnya. Kemudian menyuruhnya berdiri di luar kelas sebagai denda akibat sikap tak bermoralnya.
Hati ‘Iffah Hanin semakin panas ketika melewati Salim ketika berjalan keluar dari kelas tersebut apabila Salim tanpa teragak-agak bersiul-siul kecil di hadapannya.
“Beginikah cara seorang pelajar Muslim menghormati guru?!” soal ‘Iffah menyindir.
Salim tersenyum. Ada idea nakal bermain-main di fikirannya.
Tanpa disangka tangan ‘Iffah Hanin disambar lalu dikucup.
“Beginikah caranya menghormati guru?”soal Salim pula.
Pang!!!
Pipi Salim ditampar.
“Kamu jangan biadap ya!!”jerkah ‘Ifffah. Terketar-ketar menahan marah.
Salim tertawa terkekeh-kekeh. ‘Iffah Hanin lantas segera berlalu dari situ dengan perasaan geram.

Keesokan harinya Salim dileteri di dalam bilik guru disiplin, Cikgu Shuib. Dia dihadiahkan sebatan. Kebetulan ‘Iffah Hanin yang melewati bilik itu ternampak Salim. Salim turut melihat ‘Iffah Hanin. Tiada rasa keinsafan pada wajah Salim bagi ‘Iffah.

“Kenapa awak tak buat kerja sekolah?” soal ‘Iffah kepada Salim pagi itu.
“Sebab saya malas, Ustazah.” Selamba jawapan Salim.
“Kalau awak malas macam mana awak nak kerja? Macam mana awak nak hidup kalau awak tak kerja?”
“Saya boleh hidup kalau kahwin dengan Ustazah!” jawab Salim. Wajah ‘Iffah masam mencuka.
“Awak boleh keluar!!” jerkah ‘Iffah sekuat hati.

* * *
“Biar saya tolong Ustazah!” Salim menawarkan bantuan sementelahan melihat ‘Iffah yang terkial-kial mengendong buku-buku di tangannya.
“Tak payah!” Kasar suara ‘Iffah menolak tawaran Salim ‘Iffah cuba juga mengendong buku-buku itu. Tapi, kemudiannya buku- buku itu berderetan jatuh ke tanah.
Sudahnya ‘Iffah terpaksa menebal muka menerima bantuan daripada Salim. Mereka berjalan beriringan di koridor. Masing-masing mendiamkan diri.
Sesampai di bilik guru, Salim masuk meletak buku-buku itu di atas meja. Sebelum Salim berpaling, ‘Iffah memanggilnya:
“Salim.”
Salim berpaling ke arah ‘Iffah.
“Terima kasih.” Ujar ‘Iffah setulus hati.
Salim tersengeh menjawab:
“ Kasih Ustazah sentiasa saya terima.”
Isy! Geram betul ‘Iffah mendengar ayat itu. Rasa macam hendak ditenyeh-tenyeh saja bibir Salim ketika itu. Perasaan suka yang mula menyelinap di hati bertukar menjadi benci yang meluap-luap. Meluat!
Begitulah sikap Salim! Banyak karenah tapi baik hati. Tetapi peristiwa hari itu mengubah tanggapannya terhadap Salim...
‘Iffah pulang lewat hari itu. Sengaja dia menghabiskan waktu sepetang itu dengan menyemak buku-buku pelajarnya.
Setelah selesai kerjanya, dia pun memadam lampu dalam bilik itu. Waktu itu sekitar pukul tujuh malam. ‘Iffah terkejut apabila tiba-tiba dia merasakan sepasang tangan kasar menolaknya dan menindihnya di atas lantai bilik guru tersebut. ‘Iffah menjerit lantang.
Seseorang datang menolong dan bergelut dengan lelaki itu. Mereka berguling-guling hingga keluar dari bilik guru tersebut. Di luar, ‘Iffah cuba mengamati wajah-wajah mereka. Pak Seman, penjaga sekolah tersebut dengan..
“Salim!” seru ‘Iffah. “Berhenti!!” Mereka terhenti bergelut. Pak Seman cepat-cepat memegang Salim.
“Ini orangnya Ustazah!” beritahu Pak Seman. Salim meronta-ronta sambil berkata:
“Bukan saya Ustazah! Bukan saya!!”
‘Iffah memandang ke arah lain. Perasaan benci yang teramat sangat terhadap pelajar lelaki itu subur di dalam hatinya.
Salim ditangkap polis atas tuduhan cuba memperkosa ‘Iffah. Memang ‘Iffah berasa lega dengan penangkapan itu. Tapi, kelegaan ‘Iffah tak lama ..
“Tolong! Tolong!” ‘Iffah menjerit. Lelaki itu cuba memperkosanya sekali lagi.
Tidak semena-mena, ‘Iffah dapat melepaskan diri dari pegangan lelaki tersebut. ‘Iffah cepat-cepat bangkit membuka lampu. Alangkah terkejutnya ‘Iffah apabila mendapati orang itu bukan Salim, tetapi Pak Seman, penjaga sekolah itu sendiri.
Salim muncul sekali lagi memberi bantuan. Dipukulnya Pak Seman sekuat hati. ‘Iffah menjerit:
“Cukup!!!”
Pak Seman dihadapkan ke balai polis.
“Terima kasih, Salim,” ujar ‘Iffah setelah keluar dari Balai Polis itu. Salim cuma memandang ‘Iffah.
“Kasih Ustazah sentiasa saya terima!” ujar ‘Iffah serentak dengan ucapan Salim. Mereka sama-sama tergelak.
Reda daripada ketawa, mereka sama-sama diam. Salim memandang ‘Iffah.
“Saya minta maaf Ustazah atas kenakalan saya selama ini..”ujar Salim penuh kesedaran. ‘Iffah tersenyum kecil. Dia pula mencerlung Salim.
“Salim, awak sambung belajar balik di sekolah ini ye?”
Salim memandang ‘Iffah lama. Kemudian, baru mengangguk.
Salim semakin rajin, malah kian maju dalam pelajaran. Salim juga tidak kerap mengusik pelajar-pelajar dan guru-guru seperti selalu kerana pada tahun ini dia ada peperiksaan.
Salim memang serius menghadapi pelajarannya. Semua itu tercermin pada wajahnya yang nampak bersungguh-sungguh menadah pelajaran dari guru-guru setiap masa.
Tetapi ‘Iffah jadi keliru dengan sikap Salim apabila menerima sepucuk surat dan sekuntum bunga mawar dari remaja lelaki itu.
Apakah dia hendak bermain-main lagi dengan ‘Iffah? Tak habis-habis hendak mengusik. Mungkin Salim kembali kepada sikap asalnya setelah lama berlakon menjadi ‘baik’. Begitu di fikiran ‘Iffah Hanin
Tiba hari yang ditunggu-tunggu, Salim dan semua pelajar tingkatan lima seluruh Malaysia menghadapi Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bagi tahun 2007.
Pada hari keputusan SPM diumumkan Salim pergi berjumpa dengan Ustazah ‘Iffah Hanin. Salim mendapat kejayaan cemerlang dengan keputusan 7A1 2A2 1C.
“Jadi, selepas ini awak akan menyambung pelajaran ke Universiti Islam Antarabangsa?” soal ‘Iffah.
“Ya. Ustazah doakanlah kejayaan saya.”
“Insya’-Allah.” Mereka terdiam sedetik.
“Ustazah,” panggil Salim.
“Ya?”
“Ustazah dah terima hadiah dan surat saya?” tanya Salim seperti ragu-ragu.
“Surat?” ‘Iffah Hanin berpura-pura bertanya balik.
Salim mengiyakan.
“Tak ada”, jawab ‘Iffah Hanin.
“Saya minta maaf kalau permintaan saya ini dikira melanggar adab seorang murid kepada seorang guru. Tetapi saya memang ikhlas hendak mengambil Ustazah sebagai teman hidup saya”, ujar Salim.
‘Iffah tercengang. Dia tercari-cari ayat untuk membalas ujarannya.
“Tak naklah saya kahwin dengan kamu!” ujar ‘Iffah selamba. “Saya tak larat nak tanggung kamu”
“Ustazah tak payah tanggung saya. Nanti bila saya dah berjaya saya akan tanggung Ustazah. Saya akan tanggung Ustazah seumur hidup.”
‘Iffah Hanin macam hendak ketawa melihat kesungguhan Salim. Dia cuba berlagak serius.
“ Tak mahulah saya tunggu kamu! Nanti saya jadi anak dara tua dulu..” ujar ‘Iffah Hanin.
“Tak apa! Ustazah tak payah tunggu saya. Nanti kalau masa saya dah berjaya Ustazah masih belum ada sapa-sapa saya masih ada peluang kan? ,” tuturnya mengadap ‘Iffah Hanin penuh berharap.
‘Iffah terdiam sedetik sebelum akhirnya mengangguk.
“Yes!!” teriak Salim.
Daripada:

Naurah Musyahidah

Bila Hati Dah Suka

Hati digamit rindu. Jiwa berbunga riang. Serasa seluruh alam turut bernyanyi. Indahnya alam ini. Begini rupanya rasa apabila dilamun cinta.

Nadhrah tersenyum sendirian mengenangkan bait-bait ayat yang ditutur oleh Rayyan. Jiwa terasa kembang..segar… Satu rasa yang selesa..

“Nadhrah, benarkan Rayyan berkata sesuatu?”
Nadhrah yang sibuk menaip terhenti. Panahan matanya terjunam pada wajah Rayyan.

“Dah lama Rayyan rahsiakan perkara ini..”
Nadhrah masih setia untuk mendengar ayat seterusnya.

“Nadhrah, Rayyan dapat rasa sesuatu selama mengenali Nadhrah. Suatu rasa yang indah. Dan Rayyan yakin yang Rayyan telah jatuh cinta kepada Nadhrah.”

Nadhrah cuba menelan liur. Namun, rasa terlekat. Dia menunduk. Arus darahnya terasa berubah arah.. membuak ke muka. Ketika itu tiada siapa di pejabat. Orang lain semua keluar makan. Tinggal dia berdua dengan Rayyan.

“Adakah Nadhrah rurut rasakan perkara yang sama?”
Nadhrah kelu. Cuba betulkan suara. Segala pergerakan rasa tidak kena. Pandangan mata Rayyan betul-betul menusuk jiwa. Dan jantung Nadhrah mula bergegar. Nadhrah tak betah begitu.
“Tak pelah, Rayyan bagi Nadhrah masa. Nadhrah fikirlah!”

Semenjak itu Nadhrah menjadi tidak menentu. Semenjak itu makan Nadhrah tak pernah lalu. Semanjak itu Nadhrah mula dilambung rindu. Wajah Rayyan bermain di kamar mata Nadhrah. Kenapa Nadhrah rindu? Apakah Nadhrah turut mencintainya?

Nadhrah ingat pertemuan pertama Nadhrah dengan Rayyan. Masa itu Nadhrah baru kerja. Rayyan agak sombong. Nak sembang dengan Nadhrah ..jangan haraplah. Kalau ada pun sekadar tersenyum..bertegur-sapa.

Tetapi sejak mereka dikehendaki bekerja bersama membuat satu tugasan mereka menjadi rapat. Pun begitu Nadhrah tidak pernah menyimpan apa-apa perasaan. Tetapi, kenapa sejak Rayyan meluah perasaannya Nadhrah terasa melayang-layang?

Nadhrah telah jatuh cinta. Suatu bisikan lembut singgah ke telinganya. Indahnya! Indahnya cinta itu!

“Kenapa Nadhrah? Kenapa mak tengok Nadhrah lain macam sekarang?” suara emak bergayutan di corong telinga.

“Tak ada apalah mak. Mungkin banyak kerja.”Nadhrah menipu.
“Nadhrah jangan terlalu fikirkan kerja. Nanti sakit pula”, nasihat ibunya.
“Jangan risau mak. Insya-Allah Nadhrah tak apa-apa.”

Benarkah? Benarkah Nadhrah tak apa-apa? Nadhrah dah bagai nak gila disampuk rasa ini. Tetapi Nadhrah suka. Nadhrah rasa gembira. Semangat bekerja bertambah. Tetapi Nadhrah belum bagi keputusan.

“Nadhrah rasa Nadhrah pun sukakan Rayyan.” Nadhrah mengangkat muka melihat wajah di dalam cermin-wajahnya sendiri. Hampir setengah hari dia berlatih menyebut ayat itu.

Isyh! Malulah! Apa kata Nadhrah tulis surat. Tak malu sangat..Nadhrah segera mencapai pen dan kertas menulis. Hanya beberapa patah perkataan. Cukuplah.

Nadhrah lipat kemas-kemas. Nadhrah masukkan dalam sampul surat biasa. Esok dia akan hantar kepada Rayyan. Sungguh hatinya tak sabar menunggu hari esok.

Nadhrah datang awal ke pejabat hari itu. Harap dapat beri sendiri kepada Rayyan. Nadhrah duduk berteleku di meja. Seorang demi seorang pekerja hadir. Tetapi wajah Rayyan tak nampak-nampak. Nadhrah tunggu lagi. Nadhrah buat kerja seperti biasa. Tetapi hati terkenangkan Rayyan. Apakah Rayyan sakit?

Sampai waktu rehat, Zaiton mengajak Nadhrah pergi kenduri. Pada mulanya, Nadhrah tolak. Tetapi bila diajak berkali-kali Nadhrah ikut. Kata Zaiton, hari ini hari perkahwinan rakan sekerja mereka. Ye ke? Nadhrah tak tengok kad kenduri yang sampai kepadanya. Punya sibuk! Dia tersenyum sendiri.

Sesampai di rumah kenduri, Nadhrah turun dari kereta. Mereka sama-sama beriringan ke tempat makan. Sesudah makan, Zaiton mengajaknya berjumpa rakan sekerja mereka itu. Nadhrah ikut juga.
Zaiton menyapa:
“Wah, segak engkau!”
Nadhrah turut melihat orang disapa sambil tersenyum. Tetapi..
Dentuman guruh terasa bergempita di dada Nadhrah. Senyuman Nadhrah tidak menjadi. Setitis air mata Nadhrah luruh. Di depannya orang yang didambanya saban hari. Pengantin itu ialah Rayyan.

Nadhrah berlari ke kereta. Nadhrah menangis tersengguk-sengguk. Tetapi Nadhrah tahu Nadhrah tidak boleh lari dari kenyataan ini. Nadhrah harus terima. Harus terima walaupun ia perit untuk ditelan. Dan Nadhrah akur..jodoh di tangan TUHAN.

Lakaran nukilan rasa dari;

Naurah Musyahidah

Wednesday, December 14, 2011

Taubat


Tuhan
kerdilnya daku
berbanding hamba-hamba terpilih-Mu
Syukurku yang tercalar
Mehnah ujian-Mu yang menderu-deru
Sebenarnya untuk sedarkan aku
Daripada dodoian dunia
Aku jarang berjiwa hamba kini
Jiwa yang merasa kerdil
Malunya ya ALLAH
Aku yang pernah ‘mencalarkan’ syukur
Aku akan cuba ya ALLAH
untuk menempuh mehnah-MU
Demi satu kemanisan
Kemanisan bersama-Mu
Kemanisan cinta-Mu
Ampunkan daku
Aku ingin selalu bertaubat kepada-Mu

Daripada:
naurah musyahidah
Diterbitkan:Harmoni 15-30NOv2010