Sedalam lautan.. dalam lagi cintaku kepadamu. Seluas langit yang terbentang.. luas lagi ukuran cintaku kepadamu Bagaikan mentari yang memancar.. begitulah ibarat cintaku kepadamu.
Sesekali ‘Iffah Hanin rasa terbuai-buai dengan kata-kata itu.
Ah, budak kampungan! Dia hanya hendak bermain-main!, tingkah hatinya pula. Bunga mawar merah di atas meja diambil pula. Diperhatinya dan ditenung lama. Budak tu..
Sekilas ingatannya tertancap kepada seraut wajah berkumis nipis itu- pelajarnya yang sering membuat hal. Salim… Lelaki itu memang misteri sekarang ini. Dia sudah menjadi seorang yang pendiam sedangkan dulu dialah yang kuat mengusik guru dan pelajar. Kenapa ya? Terasa ingin ditanya soalan itu kepadanya.
Ketika itu, ‘Iffah Hanin melangkah masuk ke dalam kelas Lima Angsana. Hari pertama kehadirannya ke kelas itu disambut dengan lukisan perempuan bogel di atas papan hitam.
Merah padam muka ‘Iffah Hanin dibuatnya. Apabila ditanya siapa yang melukis.. seisi kelas menuding jari ke arah seorang pelajar lelaki yang duduk di hujung kelas.‘Iffah Hanin lantas menyuruh remaja yang bernama Salim itu memadamnya. Kemudian menyuruhnya berdiri di luar kelas sebagai denda akibat sikap tak bermoralnya.
Hati ‘Iffah Hanin semakin panas ketika melewati Salim ketika berjalan keluar dari kelas tersebut apabila Salim tanpa teragak-agak bersiul-siul kecil di hadapannya.
“Beginikah cara seorang pelajar Muslim menghormati guru?!” soal ‘Iffah menyindir.
Salim tersenyum. Ada idea nakal bermain-main di fikirannya.
Tanpa disangka tangan ‘Iffah Hanin disambar lalu dikucup.
“Beginikah caranya menghormati guru?”soal Salim pula.
Pang!!!
Pipi Salim ditampar.
“Kamu jangan biadap ya!!”jerkah ‘Ifffah. Terketar-ketar menahan marah.
Salim tertawa terkekeh-kekeh. ‘Iffah Hanin lantas segera berlalu dari situ dengan perasaan geram.
Keesokan harinya Salim dileteri di dalam bilik guru disiplin, Cikgu Shuib. Dia dihadiahkan sebatan. Kebetulan ‘Iffah Hanin yang melewati bilik itu ternampak Salim. Salim turut melihat ‘Iffah Hanin. Tiada rasa keinsafan pada wajah Salim bagi ‘Iffah.
“Kenapa awak tak buat kerja sekolah?” soal ‘Iffah kepada Salim pagi itu.
“Sebab saya malas, Ustazah.” Selamba jawapan Salim.
“Kalau awak malas macam mana awak nak kerja? Macam mana awak nak hidup kalau awak tak kerja?”
“Saya boleh hidup kalau kahwin dengan Ustazah!” jawab Salim. Wajah ‘Iffah masam mencuka.
“Awak boleh keluar!!” jerkah ‘Iffah sekuat hati.
* * *
“Biar saya tolong Ustazah!” Salim menawarkan bantuan sementelahan melihat ‘Iffah yang terkial-kial mengendong buku-buku di tangannya.
“Tak payah!” Kasar suara ‘Iffah menolak tawaran Salim ‘Iffah cuba juga mengendong buku-buku itu. Tapi, kemudiannya buku- buku itu berderetan jatuh ke tanah.
Sudahnya ‘Iffah terpaksa menebal muka menerima bantuan daripada Salim. Mereka berjalan beriringan di koridor. Masing-masing mendiamkan diri.
Sesampai di bilik guru, Salim masuk meletak buku-buku itu di atas meja. Sebelum Salim berpaling, ‘Iffah memanggilnya:
“Salim.”
Salim berpaling ke arah ‘Iffah.
“Terima kasih.” Ujar ‘Iffah setulus hati.
Salim tersengeh menjawab:
“ Kasih Ustazah sentiasa saya terima.”
Isy! Geram betul ‘Iffah mendengar ayat itu. Rasa macam hendak ditenyeh-tenyeh saja bibir Salim ketika itu. Perasaan suka yang mula menyelinap di hati bertukar menjadi benci yang meluap-luap. Meluat!
Begitulah sikap Salim! Banyak karenah tapi baik hati. Tetapi peristiwa hari itu mengubah tanggapannya terhadap Salim...
‘Iffah pulang lewat hari itu. Sengaja dia menghabiskan waktu sepetang itu dengan menyemak buku-buku pelajarnya.
Setelah selesai kerjanya, dia pun memadam lampu dalam bilik itu. Waktu itu sekitar pukul tujuh malam. ‘Iffah terkejut apabila tiba-tiba dia merasakan sepasang tangan kasar menolaknya dan menindihnya di atas lantai bilik guru tersebut. ‘Iffah menjerit lantang.
Seseorang datang menolong dan bergelut dengan lelaki itu. Mereka berguling-guling hingga keluar dari bilik guru tersebut. Di luar, ‘Iffah cuba mengamati wajah-wajah mereka. Pak Seman, penjaga sekolah tersebut dengan..
“Salim!” seru ‘Iffah. “Berhenti!!” Mereka terhenti bergelut. Pak Seman cepat-cepat memegang Salim.
“Ini orangnya Ustazah!” beritahu Pak Seman. Salim meronta-ronta sambil berkata:
“Bukan saya Ustazah! Bukan saya!!”
‘Iffah memandang ke arah lain. Perasaan benci yang teramat sangat terhadap pelajar lelaki itu subur di dalam hatinya.
Salim ditangkap polis atas tuduhan cuba memperkosa ‘Iffah. Memang ‘Iffah berasa lega dengan penangkapan itu. Tapi, kelegaan ‘Iffah tak lama ..
“Tolong! Tolong!” ‘Iffah menjerit. Lelaki itu cuba memperkosanya sekali lagi.
Tidak semena-mena, ‘Iffah dapat melepaskan diri dari pegangan lelaki tersebut. ‘Iffah cepat-cepat bangkit membuka lampu. Alangkah terkejutnya ‘Iffah apabila mendapati orang itu bukan Salim, tetapi Pak Seman, penjaga sekolah itu sendiri.
Salim muncul sekali lagi memberi bantuan. Dipukulnya Pak Seman sekuat hati. ‘Iffah menjerit:
“Cukup!!!”
Pak Seman dihadapkan ke balai polis.
“Terima kasih, Salim,” ujar ‘Iffah setelah keluar dari Balai Polis itu. Salim cuma memandang ‘Iffah.
“Kasih Ustazah sentiasa saya terima!” ujar ‘Iffah serentak dengan ucapan Salim. Mereka sama-sama tergelak.
Reda daripada ketawa, mereka sama-sama diam. Salim memandang ‘Iffah.
“Saya minta maaf Ustazah atas kenakalan saya selama ini..”ujar Salim penuh kesedaran. ‘Iffah tersenyum kecil. Dia pula mencerlung Salim.
“Salim, awak sambung belajar balik di sekolah ini ye?”
Salim memandang ‘Iffah lama. Kemudian, baru mengangguk.
Salim semakin rajin, malah kian maju dalam pelajaran. Salim juga tidak kerap mengusik pelajar-pelajar dan guru-guru seperti selalu kerana pada tahun ini dia ada peperiksaan.
Salim memang serius menghadapi pelajarannya. Semua itu tercermin pada wajahnya yang nampak bersungguh-sungguh menadah pelajaran dari guru-guru setiap masa.
Tetapi ‘Iffah jadi keliru dengan sikap Salim apabila menerima sepucuk surat dan sekuntum bunga mawar dari remaja lelaki itu.
Apakah dia hendak bermain-main lagi dengan ‘Iffah? Tak habis-habis hendak mengusik. Mungkin Salim kembali kepada sikap asalnya setelah lama berlakon menjadi ‘baik’. Begitu di fikiran ‘Iffah Hanin
Tiba hari yang ditunggu-tunggu, Salim dan semua pelajar tingkatan lima seluruh Malaysia menghadapi Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bagi tahun 2007.
Pada hari keputusan SPM diumumkan Salim pergi berjumpa dengan Ustazah ‘Iffah Hanin. Salim mendapat kejayaan cemerlang dengan keputusan 7A1 2A2 1C.
“Jadi, selepas ini awak akan menyambung pelajaran ke Universiti Islam Antarabangsa?” soal ‘Iffah.
“Ya. Ustazah doakanlah kejayaan saya.”
“Insya’-Allah.” Mereka terdiam sedetik.
“Ustazah,” panggil Salim.
“Ya?”
“Ustazah dah terima hadiah dan surat saya?” tanya Salim seperti ragu-ragu.
“Surat?” ‘Iffah Hanin berpura-pura bertanya balik.
Salim mengiyakan.
“Tak ada”, jawab ‘Iffah Hanin.
“Saya minta maaf kalau permintaan saya ini dikira melanggar adab seorang murid kepada seorang guru. Tetapi saya memang ikhlas hendak mengambil Ustazah sebagai teman hidup saya”, ujar Salim.
‘Iffah tercengang. Dia tercari-cari ayat untuk membalas ujarannya.
“Tak naklah saya kahwin dengan kamu!” ujar ‘Iffah selamba. “Saya tak larat nak tanggung kamu”
“Ustazah tak payah tanggung saya. Nanti bila saya dah berjaya saya akan tanggung Ustazah. Saya akan tanggung Ustazah seumur hidup.”
‘Iffah Hanin macam hendak ketawa melihat kesungguhan Salim. Dia cuba berlagak serius.
“ Tak mahulah saya tunggu kamu! Nanti saya jadi anak dara tua dulu..” ujar ‘Iffah Hanin.
“Tak apa! Ustazah tak payah tunggu saya. Nanti kalau masa saya dah berjaya Ustazah masih belum ada sapa-sapa saya masih ada peluang kan? ,” tuturnya mengadap ‘Iffah Hanin penuh berharap.
‘Iffah terdiam sedetik sebelum akhirnya mengangguk.
“Yes!!” teriak Salim.
Daripada:
Naurah Musyahidah
No comments:
Post a Comment