Bebola api cetus hijrah Kumaran
Oleh Norhafzan Jaafar
hafzan@bh.com.my
Share
TIDAK pernah terlintas di fikiran Kumaran Nagapa, 37, kunjungannya ke Bestari Jaya, Batang Berjuntai, Selangor, tiga tahun lalu, bagi melanjutkan pengajian di Universiti Selangor (Unisel) menjadi satu hijrah besar dan membuka lembaran baharu yang mengubah seluruh hidupnya.
Beliau yang sebelum ini penganut Hindu, mengakui sejak memeluk Islam dua tahun lalu, beliau terus yakin dengan pegangan hidup yang dipilihnya biarpun melalui pelbagai cabaran dan getir, termasuk kritikan juga cemuhan keluarga serta masyarakat sekeliling.
Malah, anak jati Kuala Lumpur ini menganggap semua dugaan yang dilaluinya menjadi pembakar semangat kepada beliau dan isterinya, Subashini Mariappan, 25, sehingga memberi idea kepada pasangan mualaf ini untuk menubuhkan sebuah pusat masyarakat bertujuan mengurangkan salah faham berkaitan agama dan kaum dalam kalangan masyarakat setempat.
Berkongsi pengalamannya, Kumaran yang lebih dikenali sebagai Kuma dalam kalangan penduduk, di Kampung Jawa, Bestari Jaya, mengakui pengetahuannya mengenai Islam sebelum ini amat cetek walaupun sering bergaul dengan rakan beragama Islam.
"Malah, saya tidak pernah kisah untuk mengambil tahu mengenai Islam sehinggalah pada suatu malam saya menyaksikan satu fenomena bebola api di langit. Ia menyebabkan saya mula berfikir mengenai sebab kewujudan dunia ini.
"Tidak tahu ke mana nak merujuk, saya menemui pensyarah di Unisel ketika itu, Muhammad Salleh, yang kemudian memberikan sebuah buku mengenai ilmu falak untuk saya baca.
KUMARAN Nagapa. - Foto Muhammad Sulaiman
"Ternyata banyak yang saya tidak tahu mengenai Islam, termasuk kaitannya dengan sains sehinggalah saya mula mengetahui mengenai konsep fardu kifayah dalam Islam," katanya.
Kumaran berkata, peristiwa menyaksikan kekuasaan dan kebesaran Allah itu tidak hanya berakhir di situ. Sekali lagi beliau menyaksikan perkara yang sama ketika sedang bermonolog mengenai kewujudan Tuhan.
"Ternyata pengalaman kedua menyaksikan fenomena kekuasaan Allah itu menguatkan lagi jawapan yang saya cari selama ini. Ini membuatkan saya yakin dengan Islam.
"Ia tak berhenti di situ. Sekali lagi, buat kali ketiga saya dapat melihat bebola api ketika bersama rakan. Ia mengukuhkan lagi keyakinan saya terhadap kekuasaan Allah sehingga saya memilih untuk memeluk Islam," katanya yang mengucap dua kalimah syahadah di Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor, pada Ogos tahun 2013
Mengimbau pada tempoh awal pengislaman beliau, Kumaran berkata, sama seperti kebanyakan kisah mualaf lain, hasratnya menukar agama mendapat tentangan keluarga.
"Malah, ibu bapa mempertikaikan tindakan saya yang dilihat seperti cuba mengajar mereka mengenai Islam sedangkan saya ketika itu masih baharu mengenali Islam.
"Perkara itu bagaimanapun menjadi semangat untuk mempelajari Islam dengan lebih mendalam supaya saya boleh memberikan kefahaman sebenar mengenai Islam kepada mereka," katanya yang memilih mengekalkan nama asalnya selepas memeluk Islam.
KUMARAN dan Subashini ketika menyertai kursus di Morib, awal tahun ini.
Kumaran berkata, kemarahan ibu bapanya bertambah selepas beliau memutuskan untuk berkahwin dengan Subashini, yang memiliki bayi perempuan, Jyoshini, yang ketika itu berusia enam bulan.
"Saya mengenalinya selepas membantu dia yang ketika itu sarat mengandung sehinggalah melahirkan bayinya di Hospital Sungai Buloh.
"Kerana mengandung tanpa suami, Subashini dan keluarganya dibenci oleh penduduk kampung sehingga tiada yang mahu membantu mereka," katanya.
Kumaran yang bekerja sebagai guru di sebuah pusat tuisyen di Bestari Jaya, berkata Subahsini memeluk Islam pada Disember tahun lalu, beberapa bulan sebelum beliau memutuskan untuk mengahwini wanita berkenaan pada April lalu.
Beliau berkata, bukan simpati yang menyebabkan beliau memilih mengahwini isterinya itu tetapi rasa tanggungjawab apabila memikirkan nasib Jyoshini, yang mungkin akan terabai dan tidak mempunyai masa depan, jika tiada yang membela ibu dan anak berkenaan.
Kumaran berkata, walaupun Bestari Jaya adalah sebuah pekan kecil yang jauh terpencil, penduduk di situ berhadapan pelbagai masalah sosial yang teruk dan membimbangkan, termasuk penyalahgunaan dadah, keruntuhan moral dan pembabitan dalam kumpulan kongsi gelap.
SUBASHINI (kanan) membantu murid menyiapkan kerja sekolah. - Foto Muhammad Sulaiman
Menyedari permasalahan itu, Kumaran mengambil inisiatif menubuhkan sebuah pusat khidmat masyarakat yang dinamakan sebagai 'Grassroots', yang bukan sahaja berperanan membantu masyarakat setempat dari segi pendidikan dan sosial, malah mengurangkan salah faham mengenai agama dalam kalangan mereka.
"Tujuan kami untuk menyampaikan berita baik mengenai Islam kepada semua lapisan masyarakat menerusi kebajikan dan akhlak," katanya yang memperuntukkan perbelanjaan sendiri bagi menyewa sebuah rumah untuk Grassroots.
Katanya, Grassroot menyediakan kelas tutorial percuma kepada kanak-kanak setempat dengan beliau dan isteri menjadi tenaga pengajar.
"Sambutan kelas tutorial ini di luar dugaan apabila ramai yang menghantar anak mereka belajar dengan kami walaupun pada awal penubuhannya ia mendapat tentangan penduduk kampung.
"Sekarang, kelas yang diadakan tiga kali seminggu bermula jam 6 petang hingga 7.30 malam ini sentiasa penuh, malah ada masanya mencecah sehingga 45 pelajar pada satu masa," katanya.
Selain itu, Kumaran juga sentiasa bersedia menghantar penduduk kampung ke hospital atau pejabat kerajaan jika kecemasan, selain membantu membeli barangan runcit kepada penduduk miskin.
"Ia bagi menunjukkan kepada mereka, Islam adalah agama yang mengeratkan silaturahim dan bukan menjadikan kita saling bermusuhan.
KUMARAN dan Subashini diraikan sempena pernikahan mereka April lalu. - Foto Muhammad Sulaiman
"Kebanyakan konflik dalam masyarakat negara ini terutama membabitkan agama adalah berpunca daripada salah faham. Ia boleh diatasi dengan mudah jika masyarakat Islam sendiri mengambil langkah pertama dengan menunjukkan rasa kasih dan sayang kepada masyarakat yang belum mengenali Islam," katanya.
Kumaran berkata, semua kebajikan yang dilakukannya itu tidak akan terlaksana tanpa bantuan dan sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menerusi Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor, IKRAM Kuala Selangor dan Hidayah Centre Foundation, yang sentiasa memberi sumbangan untuk menjayakan program kendaliannya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada qariah Masjid Al-awwabin, Bestari Jaya; Masjid India Bestari Jaya dan Masjid Unisel Bestari Jaya, yang disifatkan sebagai tulang belakang bagi setiap aktiviti yang dijalankannya.
Sementara itu, Subahsini menjelaskan, beliau memeluk Islam atas kerelaannya sendiri kerana berasakan Islam agama yang amat menghargai dan memberi penghormatan kepada wanita.
Katanya, beliau tertarik dengan kesucian Islam, yang meletakkan wanita di tempat tinggi, selain sentiasa memastikan aib golongan hawa terpelihara.
Ditanya mengenai kesanggupannya untuk berkongsi kisah silam dengan pembaca menerusi pendedahan ini, Subashini berkata, beliau tidak melihat perkara itu sebagai membuka pekung atau aib sendiri.
"Tujuan saya adalah untuk memperlihatkan bagaimana sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang Allah kepada setiap hamba-Nya.
SEBAHAGIAN murid berjalan kaki untuk hadir ke kelas tutorial yang disediakan Kumaran dan isterinya di Kampung Jawa, Bestari Jaya. - Foto Muhammad Sulaiman
"Saya amat berharap sejarah hitam saya boleh menjadi iktibar kepada pembaca supaya masyarakat mengambil tanggungjawab untuk membantu dan bukan hanya pandai menghukum mereka yang menjadi mangsa gejala sosial seperti yang pernah saya alami," katanya.
Malah, Subashini berkata, beliau bersama suaminya kini berusaha untuk mendidik dan membimbing kanak-kanak di kampungnya supaya tidak terjerumus dalam gejala negatif.
"Dulu, saya dihina penduduk kampung kerana kisah silam berkenaan, selain abang saya pula dipenjara kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
"Tetapi kini dengan cara hidup saya selepas memeluk Islam, mereka sudah dapat menerima saya, malah tidak kisah menghantar anak mereka ke pusat bimbingan kami.
"Persepsi masyarakat boleh berubah dan saya harapkan mereka yang dilanda ujian untuk tidak berputus asa, selain mendoakan mereka diberikan nikmat oleh Allah seperti yang saya peroleh," katanya yang turut mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah dan Hari Assyura kepada seluruh umat Islam.
No comments:
Post a Comment